Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Risiko ekonomi AS meleset melonjak ekoran perang dagang Trump: Tinjauan

Kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat selewat-lewatnya tahun depan meningkat secara mendadak, sedang tekanan akibat dasar-dasar perlindungan perdagangan kekal sebagai ancaman ekonomi utama.

Anggaran Waktu Membaca:
Risiko ekonomi AS meleset melonjak ekoran perang dagang Trump: Tinjauan

Bursa Saham New York di Wall Street, 23 Mei 2019. (Gambar: AFP/Johannes Eisele)

Diterbitkan : 03 Jun 2019 02:51PM Dikemas Kini : 03 Jun 2019 03:01PM

WASHINGTON: Kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat selewat-lewatnya tahun depan meningkat secara mendadak, sedang tekanan akibat dasar-dasar perlindungan perdagangan kekal sebagai ancaman ekonomi utama, menurut satu tinjauan perniagaan pada Isnin (3 Jun).

Hampir kesemua responden dalam tinjauan yang dijalankan setiap suku tahun oleh Persatuan Nasional bagi Ekonomi Perniagaan meramalkan pertumbuhan lebih perlahan pada 2019 namun mereka mempunyai pandangan kurang pesimis terhadap risiko ramalan mereka itu.

Namun, tinjauan melibatkan 53 penganalisis ekonomi dari syarikat-syarikat dan universiti-universiti utama Amerika Syarikat itu dilakukan pada separuh pertama bulan Mei, semasa hubungan perdagagan antara Amerika Syarikat dengan China tiba-tiba bertambah teruk tetapi sebelum Presiden Amerika Syarikat Donald Trump membuat ancaman terbaru untuk mengenakan cukai baru dari 5 hingga 25 peratus ke atas Mexico sebagai respons kepada pertikaian imigrasi.

"Dasar-dasar perlindungan perdagangan yang meningkat dianggap sebagai risiko utama yang menjejas pertumbuhan oleh kebanyakan responden, diikuti oleh tekanan pasaran kewangan dan kemerosotan ekonomi sejagat," kata Encik Gregory Daco dari syarikat penganalisis Oxford Economics, yang mempengerusi tinjauan tersebut.

"Risiko kemelesetan ekonomi dianggap rendah pada jangka terdekat tetapi dijangka meningkat mendadak pada 2020."

Para panelis menilai risiko berlakunya kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat sebelum akhir 2020 sebanyak 60 peratus - hampir dua kali ganda berbanding ramalan 35 peratus dalam tinjauan tiga bulan lalu.

Hampir 90 peratus responden berkata mereka merendahkan ramalan pertumbuhan ekonomi pada bulan-bulan kebelakangan ini akibat dasar perdagangan Amerika Syarikat, yang terbabit dalam pertikaian dengan kesemua rakan perdagangan utama Amerika Syarikat.

Para panelis kini meramalkan Hasil Kadar Dalam Negeri (GDP) tumbuh lebih perlahan, iaitu 2.6 peratus tahun ini dan 2.1 peratus pada tahun depan, berbanding 2.9 peratus pada akhir 2018.

Sumber : AFP/ZM
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan