Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Ringgit cecah 3.10 - paling rendah berbanding SGD dalam hampir 8 bulan

Ringgit Malaysia susut ke parasnya yang terendah dalam masa hampir lapan bulan, berbanding dolar Singapura. Dalam perdagangan pasaran mata wang hari ini (20 Apr), ringgit dibuka pada paras RM3.10 berbanding dolar Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ringgit Malaysia susut ke parasnya yang terendah dalam masa hampir lapan bulan, berbanding dolar Singapura. Dalam perdagangan pasaran mata wang hari ini (20 Apr), ringgit dibuka pada paras RM3.10 berbanding dolar Singapura.

Ia terus berlegar-legar di atas paras 3.10 sepanjang hari ini sehingga satu ketika mencecah 3.1038, sebelum akhirnya ditutup pada paras 3.0996, menurut data Bloomberg.

Ini merupakan kadar paling lemah mata wang Malaysia itu dibandingkan mata wang Singapura sejak 31 Julai tahun lalu, di mana itulah kali terakhir ia ditutup pada kadar 3.09.

(Carta dari Bloomberg)

Sejak awal tahun lalu, kadar ringgit yang paling kukuh adalah pada 14 Februari 2020 di mana ia ditutup pada kadar 2.9779 bagi setiap dolar Singapura.

Ketua FX Research & Strategi, Maybank Singapura, Saktiandi Supa'at mengulas pengukuhan ringgit yang terus ditutup pada kadar 3.09 sejak 15 April:

"Mengapa mata wang Singapura berbanding mata wang ringgit Malaysia lebih kuat adalah kerana mungkin pembendungan COVID-19 di Singapura dan juga pemvaksinan di Singapura lebih baik berbanding negara lain di rantau ini pada masa ini.

Ketua FX Research & Strategi, Maybank Singapura, Saktiandi Supa'at.

"Selain itu juga ada kerisauan tentang impak COVID-19 ini dari segi vaksinasi dan impak-impak seperti lain di dalam negara Malaysia, dari segi pemulihan ekonomi."

Di pihak Singapura juga, ekonominya semakin rancak dipacu oleh naratif pertumbuhan ekonomi sedunia yang semakin baik.

Baru minggu lalu, ekonomi Singapura dilapor tumbuh 0.2 peratus dari tahun ke tahun dalam suku pertama 2021, setelah menguncup tiga suku berturut-turut. Hasil kasar dalam negeri kasar (GDP) pula naik dua peratus antara Januari dengan Mac, menurut anggaran awal Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

SEKARANG MASA TERBAIK TUKAR KEPADA RINGGIT?

Dengan ringgit nampaknya terus melemah, persoalannya, adakah sekarang ini masa terbaik untuk menukar kepada ringgit?

Mentelah lagi pembukaan sempadan Malaysia-Singapura dijangka menjadi agenda perbincangan antara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan PM Lee Hsien Loong awal bulan depan, menurut media seberang tambak.

Ini komen Encik Saktiandi: "Kami meramalkan mungkin masih akan melihat kukuhnya ringgit pada suku kedua, ketiga dan keempat. Mungkin akan turun kembali kepada sekitar 3.05 berbanding mata wang Singapura, berbanding dengan ringgit. Mungkin akan berakhir dengan 3.05 hingga 3.08 pada hujung tahun ini."

Ini kerana pada suku-suku mendatang, harga komoditi seperti minyak dan minyak sawit dijangka kukuh, sekali gus menguntungkan Malaysia selaku pengeluar sumber-sumber tersebut dan menjadikan ringgit lebih kukuh lagi.

Lantaran itu Encik Saktiandi menyarankan agar pelabur mata wang, ataupun orang ramai yang mahu menukar kepada RM, "boleh membeli sedikit ringgit buat masa ini". Ini peluang mempelbagaikan portfolio mata wang kepada ringgit, berbanding mata wang lain, kata beliau.

Gambar fail ringgit Malaysia.

Mentelah lagi, nilai tukaran ringgit kini masih dianggapnya sebagai 'undervalued' - atau di bawah nilai - bagi jangka panjang.

"Kami mendapati asas ringgit Malaysia sekarang 'undervalued' sebanyak -8%, atau -8 hingga -6%. Bermakna ada kemungkinan jika ekonomi negara dunia pulih dan ekonomi Malaysia lebih banyak pendedahan kepada pengilangan global.

"Kenaikan harga minyak pada masa akan datang, mungkin memberi lonjakan kepada mata wang ringgit buat masa pertengahan ke jangka panjang, bermakna dalam masa 2, 3, 4 atau 5 tahun akan datang."

Bagi jangka pendek pula, pakar kewangan itu berkata nilai ringgit akan naik turun kerana kesan COVID-19 dan impak kepada ekonomi global masih begitu ketara, kata beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan