Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Rezeki cuaca panas: Keropok cepat kering, permintaan aiskrim meningkat

Fenomena cuaca panas yang melanda kebanyakan negeri di Malaysia seperti Kelantan ketika ini memberi kelebihan kepada beberapa jenis perniagaan, termasuk perusahaan membuat keropok dan penjaja aiskrim.

Anggaran Waktu Membaca:
Rezeki cuaca panas: Keropok cepat kering, permintaan aiskrim meningkat

Fenomena cuaca panas yang melanda kebanyakan negeri di Malaysia memberi kelebihan kepada beberapa jenis perniagaan. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 23 Feb 2019 12:13AM Dikemas Kini : 23 Feb 2019 12:18AM

KOTA BHARU: Fenomena cuaca panas yang melanda kebanyakan negeri di Malaysia seperti Kelantan ketika ini memberi kelebihan kepada beberapa jenis perniagaan, termasuk perusahaan membuat keropok dan penjaja aiskrim.

Pengusaha keropok, Zainab Abdullah, berkata sejak beberapa minggu lalu, proses mengeringkan keropok dilakukan dalam tempoh lebih singkat berbanding sebelum ini.

"Biasanya proses mengeringkan keropok memakan masa sekurang-kurangnya dua hari, namun sejak dua minggu lepas, keropok sudah kering sepenuhnya hanya dalam tempoh tiga jam," katanya ketika ditemui agensi berita Bernama di Kampung Sabak pada Jumaat (22 Feb).

Cik Zainab, 62 tahun, berkata keadaan itu membantu menjimatkan masa penghasilan keropok kerana proses pembungkusan boleh dilakukan dengan segera.

Katanya, keropok yang dihasilkan pada musim panas juga lebih berkualiti, tidak mudah patah dan tahan lebih lama.

Cik Zainab, yang mengusahakan perniagaan tersebut sejak 30 tahun lalu, berkata beliau mengambil kesempatan musim panas untuk menghasilkan lebih banyak keropok sebagai stok simpanan bulan puasa atau pada musim tengkujuh.

"Sejak seminggu lalu, enam pekerja saya berjaya menghasilkan kira-kira 2,000 kilogram keropok sehari. Selain dijual untuk pasaran semasa, saya akan asingkannya sebagai stok simpanan kerana aktiviti pembuatan keropok dihentikan pada bulan puasa dan musim hujan," katanya.

Sementara itu, penjaja aiskrim potong dan aiskrim baba, Mat Abdullah, berkata permintaan jualannya meningkat sekali ganda sejak seminggu lalu berikutan cuaca panas.

Encik Mat, 52 tahun, berkata biasanya dalam tempoh sehari, beliau hanya menjual satu peti aiskrim sahaja.

"Memandangkan jualan habis lebih awal, saya mengambil peluang menambah hasil jualan kepada dua peti sehari," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini dipetik sebagai melaporkan bahawa cuaca panas akan berlaku di kebanyakan negeri berikutan monsun timur laut yang bakal berakhir menjelang bulan depan.

Bagaimanapun, dilaporkan fenomena tersebut adalah perkara lazim yang berlaku setiap tahun di negara itu.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan