Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Restoran Saffrons yang terkenal di Tampines kini tembusi pasaran India; buka hotel dan restoran

Di sebalik roti prata dicecah sambal dan beriani dam Saffrons yang begitu popular di Singapura, terutama sekali dalam kalangan penduduk kawasan Tampines, adalah seorang wanita bersemangat waja.

Anggaran Waktu Membaca:
Restoran Saffrons yang terkenal di Tampines kini tembusi pasaran India; buka hotel dan restoran

Cawangan Saffrons di Tampines. (Gambar: Ridjal Noor/Facebook)

SINGAPURA: Di sebalik roti prata dicecah sambal dan beriani dam Saffrons yang begitu popular di Singapura, terutama sekali dalam kalangan penduduk kawasan Tampines, adalah seorang wanita bersemangat waja.

Cik Beevi Ayoob sebelum ini hanyalah seorang suri rumah. Malah beliau bertahun-tahun tidak bekerja sehinggalah pada tahun 1994 iaitu tahun beliau memutuskan untuk membuka cawangan pertamanya di Tampines.

Dalam tempoh 25 tahun, beliau kini seorang usahawan cemerlang. Cik Beevi mengendalikan tiga kedai di Singapura di samping menawarkan khidmat katering. Tidak terhenti di situ, beliau kini menebarkan sayab ke luar negara.

(Gambar-gambar: Saffrons)

"Saya memulakan perniagaan ini pada 1994 kerana cinta kepada keluarga, untuk menyediakan kehidupan lebih baik kepada keempat-empat anak saya," kata Cik Beevi.

TEMBUSI PASARAN INDIA

Pada hujung bulan lalu, beliau membuka 'Hotel Saffrons' di India. Bayangkan anda menginap di sebuah hotel yang menawarkan semua makanan kegemaran anda. Setiap kali anda ingin bersarapan, anda hanya perlu ke restoran dalam bangunan hotel yang menyajikan thosai dan prata Saffrons.

Hotelnya dibuka di tingkat dua sebuah bangunan. Syarikatnya membuka enam bilik penginapan yang dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan seperti hotel lain.

Hotel yang dibuka di India. (Gambar: Saffrons)

Restorannya pula dipimpin seorang ketua tukang masak yang menjalani latihan di Singapura. Ini bagi memastikan makanan yang ditawarkan di restoran tersebut sama dengan hidangan-hidangan 'asli' Saffrons.

Hakikatnya, bukanlah mudah untuk terus bertahan dalam bidang perniagaan. Namun, Cik Beevi membuktikan sebaliknya. Bukan itu sahaja, beliau menguruskan ramai pekerja yang sebahagian besarnya kaum Adam.

"Saya sangat minat menghasilkan makanan-makanan sedap dan saya gembira apabila melihat keluarga-keluarga datang bersama dan menikmati makanan kami. Makanan yang sedap, bagi saya, berhubung rapat dengan rasa sayang dan semangat kekeluargaan - nilai-nilai yang saya jaga dengan baik," kata Cik Beevi.

Cik Beevi diiktiraf Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) pada 2016 atas semangat keusahawannya. Beliau juga menerima anugerah keusahawanan Dewan Perniagaan dan Perusahaan India Singapura pada 2016 dan 2018.

"Sepanjang 25 tahun ini, saya rasa Saffrons sudah menyajikan makanan kepada 10 juta pelanggan. Selepas menembusi pasaran India, saya rasa Saffrons dapat menyajikan makanan bagi berjuta-juta lagi pelanggan," ujar Cik Beevi.

HOTEL DI INDIA TERLETAK DI TEMPAT STRATEGIK

Hotel Saffrons yang dibuka Cik Beevi di India terletak berdekatan sebatang lebuh raya yang selalu sesak.

Lebih tepat lagi, ia terletak di Mellur Road berdekatan Lebuh Raya Madurai Trichy yang menghubungkan dua bandar utama negara itu. Ini sekaligus menjadikan hotel itu tempat persinggahan terbaik bagi para pelancong untuk berehat.

Pada hari pertama ia dibuka sahaja, ramai yang memuji makanan-makanan yang disajikan. "Semua pelanggan yang datang pada hari istimewa ini hanya mempunyai kata-kata baik tentang beriani dan makanan kami," kata rakan perniagaan India Cik Beevi, Encik Kumar.

"Malah, ramai pelanggan datang ke restoran kami sebelum ia dibuka. Mereka tidak sabar."

Pada hari pertamanya juga, kesemua enam bilik hotelnya habis ditempah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan