Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Restoran Mamanda ditutup jelang April 2019; tempoh sewa ditamatkan

Restoran Mamanda di Kampong Gelam akan ditutup menjelang April 2019 selepas tempoh sewanya ditamatkan oleh Yayasan Warisan Melayu (MHF).

Anggaran Waktu Membaca:
Restoran Mamanda ditutup jelang April 2019; tempoh sewa ditamatkan

(Gambar: Laman web Mamanda)

Diterbitkan : 26 Dec 2018 02:23PM Dikemas Kini : 26 Dec 2018 02:27PM

SINGAPURA: Restoran Mamanda di Kampong Gelam akan ditutup menjelang April 2019 selepas tempoh sewanya ditamatkan oleh Yayasan Warisan Melayu (MHF).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini (26 Dis), jurucakap MHF berkata tempoh sewa itu ditamatkan atas "beberapa sebab yang dikesali".

"Kami menghargai usaha Mamanda untuk melestarikan adat dan tradisi budaya Melayu, serta warisan masakan kita di pekarangan itu sepanjang enam tahun lalu.

"Bagaimanapun atas beberapa sebab yang dikesali, kami memutuskan untuk menamatkan tempoh sewa Mamanda di 73 Sultan Gate.

"Kami tidak boleh mendedahkan sebab-sebab tersebut kerana para peguam kami sedang menanganinya ketika ini. Sungguhpun demikian, kami terus memuji usaha Mamanda dan kami juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Mamanda," menurut kenyataan itu lagi.

MHF menyatakan pihaknya akan mencari rakan-rakan kerja baru. Kampong Gelam adalah salah sebuah daerah yang membentuk sebahagian daripada daerah peningkatan perniagaan (BID) yang dirintis oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Notis tender bagi tapak itu diterbitkan pada 14 Disember. Taklimat tender dan lawatan ke tapak itu dijadualkan pada 10 Januari.

Pada Isnin (24 Dis), Mamanda menyatakan berita mengenai tempoh sewa yang ditamatkan itu "dikeluarkan dalam masa yang singkat" dan pihaknya "terkejut" setelah mendapat tahu bahawa MHF sudahpun mengiklankan tawaran tender secara terbuka bagi lokasi itu, yang merupakan sebuah bangunan warisan.

"KAMI TIDAK PERNAH TIDAK MEMBAYAR SEWA"

Pengasas dan Pengarah Urusan Mamanda, Zulkarnine Hafiz, berkata restoran itu tidak berdepan dengan masalah bayaran sewa tertangguh ketika diberikan notis itu.

"Kami tidak pernah tidak membayar sewa," kata Encik Zulkarnine semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

"Kami tidak mengalami masalah bayaran sewa yang tertunggak semasa menerima surat guaman. Kami sudahpun membayar sewa sehingga Februari 2019. Bagaimanapun, MHF tetap menamatkan kontrak kami."

Encik Zulkarnine berkata masalah komunikasi antara pihaknya denga MHF timbul selepas perubahan pada pihak pengurusan.

Beliau turut mendedahkan bahawa restorannya "sentiasa menjangkaui Petanda Prestasi Utama MHF dan buat masa ini, ia tidak mempunyai sebarang rancangan untuk berpindah ke lokasi lain.

Menurut laporan Berita Harian, empat pihak sudah menyuarakan minat bagi lokasi itu - The Landmark Group, Boon Lay Power Nasi Lemak, Islamic Restaurant dan Pondok Abang.

Sementara itu, Encik Zulkarnine mengesahkan bahawa restoran tersebut sedang membantu para pelanggan yang sudahpun membuat tempahan bagi majlis perkahwinan dan acara-acara lain selepas tarikh 1 April 2019 untuk mencari lokasi lain yang sesuai.  

Sumber : CNA/AI/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan