Images

Restoran Islamic rancang buka 10 hingga 15 cawangan francais

BERITAmediacorp: Restoran Islamic yang terkenal dengan nasi berianinya di Singapura merancang membuka antara 10 hingga 15 buah francais restoran itu.

Ini bermakna, pertama, restoran Islamic yang kini hanya terletak di North Bridge Road, akan terdapat juga di tempat-tempat lain di Singapura dalam masa beberapa tahun lagi. Mungkin antara tiga hingga lima francais Restoran Islamic di negara ini, menurut restoran itu.

Kedua, Restoran Islamic akan juga ada di luar negara. Demikian dedah pemilik restoran itu, Encik Kalilnoor Rahaman Abdul Wahab, kepada BERITAmediacorp. Menurut beliau pihaknya sudahpun berbincang dengan sebuah syarikat dari Malaysia yang mahu membeli francais Restoran Islamic.


Pemilik generasi ketiga restoran Islamic, Kalilnoor Rahaman Abdul Wahab. (Gambar: BERITAmediacorp)

Penubuhan fancais itu tambah beliau mungkin bermula pada tahun 2022, kata Encik Kalil, sedang restorannya bakal menyambut ulang tahun ke-100 pada 4 April ini. Yang pasti, restoran-restoran francais itu akan menggunakan nama Islamic.

“Bagi francais ia akan diberi nama Islamic. Bergantung kepada lokasi, ia mungkin sebuah restoran, kiosk - contohnya di satu lokasi yang bagus. Kami juga merancang untuk membuka Islamic Express - khidmat pantas, ambil dan pulang,” dedah Encik Kalil lagi memberikan perincian.

“Di luar negara kami mahu bekerjasama dengan kumpulan francais (dari Malaysia). Bukan melakukannya sendiri.”


(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

3 RANCANGAN KEMBANGKAN PERNIAGAAN

Francais Restoran Islamic itu adalah salah satu daripada tiga perancangan bagi mengembangkan lagi perniagaan nasi beriani.

Restoran Islamic juga bakal membuka sebuah dapur pusat menjelang suku ketiga tahun ini dan memulakan projek bungkusan makanan siap dimasak (Ready To Cook atau RTC) dan siap dimakan (Ready To Eat atau RTE).

“Kami sudahpun merintis projek ini. Ini akan menjadi projek utama kami pada 2022. Kami merintisnya sejak tiga tahun lalu dan ia berjaya.

“Projek ini akan ke peringkat global. Jadi ia lebih kepada pengagihan eksport dan tempatan. Jenama Islamic adalah jenama Singapura, kini ia akan lebih global,” kata Encik Kalil, sambil menambah ia akan dijual di pasar raya juga.

Beliau memberitahu BERITAmediacorp, bungkusan makanan RTC dan RTE itu bukan sahaja menawarkan nasi beriani tetapi juga pelbagai hidangan lain.

Sejak tahun 1921, hidangan beriani restoran Islamic dimasak sepenuhnya di restoran itu sendiri - dari restoran pertama yang terletak di 791-797 North Bridge Road sebelum ia berpindah ke lokasi baru di 735 North Bridge Road sekarang.


Restoran pertama Islamic. (Gambar: Kalilnoor Rahaman Abdul Wahab)

Dari dapur restoran itu, Encik Kalil mendedahkan mereka menyediakan sekitar 3,000 hingga 5,000 pinggan beriani sehari. Seiring dengan perniagaan yang semakin berkembang, Encik Kalil bakal membuka sebuah dapur pusat menjelang hujung tahun ini supaya dapat menghasilkan lebih banyak hidangan.

“Semua kami lakukan di sini (restoran). Saya rasa sekarang sudah tiba masanya untuk mengadakan dapur pusat. Sejauh ini kami dapat memenuhi keperluan kami. Tapi kami tetap perlu berpindah (ke dapur pusat)."

LEBIH 30 TAHUN KEMUDI ISLAMIC

Encik Kalil yang mengambil alih perniagaan restoran itu daripada bapanya pada tahun 1990, mempunyai visi besar untuk restoran Islamic.

Di bawah kepimpinan Encik Kalil, ia terus berkembang maju. Antara usahanya adalah mengadakan divisyen katering Islamic, divisyen ‘Dial-a-Briyani’ bagi penghantaran ke rumah dan divisyen Sarapan Briyani.

Beliau juga mewujudkan konsep ‘fine-dining’ di restoran itu serta sebuah Akademi Memasak di mana semua orang, malah kanak-kanak juga, boleh datang belajar memasak pelbagai hidangan.


(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Restoran Islamic juga mempunyai 10 anak syarikat atau subsidiari di bawah nama yang berbeza-beza, yang turut menjual beriani.

"Kami hanya ada satu restoran. Kami ada juga beberapa jenama lain. Kami ke pusat-pusat penjaja menggunakan jenama (seperti) Dubai Express. Kami juga ke kedai kopi. Ada satu di Makan Empire di Kaki Bukit di bawah jenama Briyani King. Ini semua anak syarikat kami," jelas Encik Kalil.

Selepas 30 tahun mengemudi restoran Islamic dan berinovasi agar ia kekal relevan dan digemari segenap lapisan masyarakat hingga kini, Encik Kalil berkata beliau mungkin akan terus bekerja lagi 10 tahun sebelum anak lelakinya mengambil alih perniagaan itu.

Oh ya, ini satu trivia tentang restoran beriani pertama Singapura ini.

Sejak Restoran Islamic dibuka 100 tahun lalu, ia sehingga hari ini terus menerus menggunakan kain untuk mengalas meja makannya, walaupun ia bukan restoran lima bintang. Sedangkan restoran-restoran lain lazimnya banyak yang kini tidak lagi menggunakan kain alas meja.


(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Cuba anda periksa berapa banyak lagi restoran bukan mewah lain yang masih lagi menggunakan kain alas meja.    

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAmediacorp/nk

Top