Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Restoran Hjh Maimunah, I Am Cafe, The Malayan Council antara restoran Halal tawar khidmat tempahan, penghantaran ke rumah susuli COVID-19

Sejak sekian lama, restoran Hjh Maimunah di Geylang Serai menikmati hasil perniagaan yang sangat laris. Restoran itu dikunjungi ramai pelanggan semasa Ramadan - dengan jumlah rekod 2 juta orang melanggani Bazar Raya Geylang Serai yang diadakan di kawasan itu pada tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Restoran Hjh Maimunah, I Am Cafe, The Malayan Council antara restoran Halal tawar khidmat tempahan, penghantaran ke rumah susuli COVID-19

(Gambar: Hjh Maimunah)

Diterbitkan : 04 Apr 2020 09:42AM Dikemas Kini : 04 Apr 2020 09:58AM

SINGAPURA: Sejak sekian lama, restoran Hjh Maimunah di Geylang Serai menikmati hasil perniagaan yang sangat laris. Restoran itu dikunjungi ramai pelanggan semasa Ramadan - dengan jumlah rekod 2 juta orang melanggani Bazar Raya Geylang Serai yang diadakan di kawasan itu pada tahun lalu.

Namun tahun ini, buat pertama kalinya, bazar-bazar tahunan dan banyak lagi acara Ramadan yang dirancang di merata Singapura terpaksa dibatalkan ekoran penularan COVID-19.

Dengan langkah-langkah terkini bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 diumumkan pada Jumaat (3 Apr), perniagaan restoran-restoran Halal sudah mula merasakan kesan tempiasnya.

Cik Mastura Didih, salah seorang pemilik generasi ketiga restoran Hjh Maimunah mengatakan penjualan di semua cawangannya merosot sebanyak 20 peratus pada Februari. Ia merosot lagi kepada sebanyak 30 peratus pada minggu lalu.

Menurut Cik Mastura, kesan terhadap penjualannya memang sudah dijangkakan, memandangkan sebilangan besar pelanggan restoran itu adalah para pelancong dan mereka yang bekerja di sekitar kawasan kejiranan tersebut, namun langkah jarak selamat - dengan langkah-langkah lain yang dikuatkuasakan sejak penularan itu bermula pada Januari - berlaku dengan begitu pantas.

"Semuanya berlaku dengan begitu pantas sehingga kita perlu mengadakan mesyuarat tergempar pada hari cuti para kakitangan. Kami harus memberitahu mereka bahawa kita perlu menukar cara kita menguruskan perniagaan," katanya.

Sebelum pengumuman baru yang dibuat pada Jumaat, Cik Mastura memberitahu Mediacorp bahawa syarikatnya menjangkakan kemerosotan pada jumlah pelanggan yang mengunjungi restoran itu dan oleh itu, keputusan diambil untuk memperluaskan khidmat penghantarannya.

Restoran Hjh Maimunah kini menawarkan khidmat tempahan melalui Deliveroo untuk sesetengah kawasan di Singapura dan turut menyediakan khidmat katering bagi tempahan bernilai S$150 dan ke atas.

Namun mulai minggu depan, para pelanggan boleh membuat tempahan menerusi wadah online Hjh Maimunah sendiri yang diksokong oleh Oddle, dengan tempahan minimum ditetapkan pada S$35 dan harga penghantaran bermula dari S$7. Syarikat itu juga berharap dapat menawarkan tempahan mangkuk tingkat (makanan tengah hari atau malam selama seminggu) menerusi wadah itu.

"Kami telah merancang untuk melancarkannya pada bulan Ramadan kerana kami menerima permintaan bagi khidmat penghantaran harian tetapi disebabkan situasi COVID-19, kami memutuskan untuk melancarkannya lebih awal," kata Cik Mastura.

Keputusan untuk memperluaskan khidmat penghantaran juga dibuat pada masa yang tepat, sedang langkah-langkah bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dijangka berkuat kuasa pada 7 April.

Hjh Maimunah juga merupakan salah satu pilihan popular bagi tempahan jamuan Hari Raya, di mana hidangan dihantar ke rumah pelanggan atau diambil sendiri daripada restoran tersebut pada malam Raya.

Namun, disebabkan oleh langkah jarak selamat, Hjh Maimunah kini perlu mengurangkan jumlah tempahan bagi tahun ini.

"Bagi penghantaran pada malam Raya, kami mungkin akan menghadkan tempahan kepada 50 pelanggan saja - siapa yang dahulu, dia akan didahulukan. Bagi tempahan yang mahu mengambilnya sendiri, kami menyediakan 500 tempahan tahun lalu, namun tahun ini kami hanya akan mengambil 200," katanya.

Ekoran jumlah tempahan yang lebih kecil tahun ini, syarikat itu mula berjinak-jinak dengan perniagaan baru iaitu penjualan makanan beku.

"Kami membuka kilang yang kedua baru-baru ini yang kami gunakan untuk memproses makanan beku bagi dapur-dapur kami sendiri. Kami akan mula menjual makanan beku yang dihasilkan daripada kilang-kilang itu pada Mei semasa bulan Ramadan, bagi mereka yang tidak dapat membeli-belah di Geylang," kata Cik Mastura.

DAYA TARIKAN ARAB STREET MAKIN MALAP ANGKARA VIRUS

Di kawasan sekitar Arab Street yang merupakan daya tarikan popular dalam kalangan pengunjung dan pelancong semasa bulan Ramadan, sekurang-kurangnya tiga restoran membuat peralihan dan menawarkan khidmat tempahan.

(Gambar: Instagram/TheMalayanCouncil)

Setelah hasil penjualannya meningkat menyusuli pelancaran khidmat penghantaran pada Mac, eksekutif pemasaran dan komunikasi bagi Fatpapas', Annabelle Francis mengatakan pasukannya memutuskan untuk melancarkan khidmat yang sama bagi satu lagi cawangannya iaitu Wakuwaku Yakiniku. Sebelum ini, kedua-dua restoran itu menarik jumlah pelanggan yang menderu-deru hingga mereka terpaksa menggunakan sistem giliran.

"Kami mengalami kemerosotan pada jumlah pelanggan akibat COVID-19, tetapi permintaan bagi khidmat tempahan kami telah meningkat. Ia amat laris sehingga kami memutuskan untuk menawarkan khidmat tempahan bagi Wakuwaku Yakiniku mulai 1 Apr. Bagi bulan Ramadan, kami tetap positif dan merancang untuk menawarkan menu tempahan yang menyeronokkan sempena musim perayaan," kata Annabelle.

Sebuah lagi kedai makan yang terjejas teruk di kawasan itu ialah I Am Cafe, yang mengalami kemerosotan 90 peratus pada jumlah pelanggan berbanding sebelum penularan COVID-19.

Lazimnya, para pelanggan akan beratur panjang di kaki lima dekat restoran itu yang terletak di simpang antara North Bridge Road dan Haji Lane.

Namun kini, kawasan yang popular dalam kalangan pelancong kini bertukar menjadi "lengang", kata pemilik kedai tersebut, Jamuri Busori yang juga mengatakan beliau tidak tahu apa yang harus beliau jangkakan bagi bulan Ramadan.

(Gambar: Facebook/I Am Cafe)

"Kedai kami selalunya penuh sesak dengan pelanggan semasa berbuka puasa, tetapi ia kini menjadi tanda tanya sama ada para pelanggan akan mengunjungi kedai kami untuk makan di luar semasa bulan Ramadan. Orang ramai takut untuk keluar rumah. Meskipun kami sudah mengambil langkah berjaga-jaga tambahan, seperti membuka ruang acara untuk menawarkan lebih banyak ruang antara tempat duduk, para pelanggan masih tidak mengunjungi kedai kami. Saya tidak tahu bagaimana situasinya semasa bulan Ramadan," keluh Encik Jamuri.

I Am Cafe mendigitalkan operasinya sejak 2018, dengan para pelanggan digalak untuk membuat tempahan dalam kedai menerusi telefon bijak masing-masing.

Namun di tengah-tengah situasi COVID-19, khidmat penghantaran kini ditawarkan di merata Singapura, dengan tawaran istimewa S$10 dan potongan harga 20 peratus daripada bil keseluruhannya.

Koh Nang Kam, sebuah restoran Thai di kawasan Kampong Gelam pula menyatakan dengan hasil pendapatannya merosot sebanyak sepertiga pada hari-hari biasa dan sebanyak 80 peratus pada hujung minggu yang sebelum ini biasanya penuh sesak, ia berharap dapat menawarkan khidmat penghantaran ke merata Singapura tetapi rancangan ini terpaksa ditangguhkan kerana wadah-wadah penghantaran pula dilanda dengan permintaan yang meningkat dengan sungguh mendadak.

"Kami sedang berunding dengan Oddle untuk menyelaraskan khidmat penghantaran merata Singapura dalam laman rasmi kami. Kami mungkin dapat melancarkan khidmat itu dalam dua minggu akan datang kerana pasukan teknikal mereka dibelenggu dengan masalah permintaan yang mendadak bagi khidmat sedemikian," kata pengurus syarikat, Abdul Hadi Jamalludin yang juga mengatakan restoran itu sudah membuat permohonan kepada GrabFood dan sedang menantikan responsnya.

Namun, tidak semua yang mempunyai harapan bahawa khidmat penghantaran adalah jalan penyelesaian.

Bagi Rasa Istimewa, jumlah tempahan tidak mencatat peningkatan, meskipun semua khidmat tempahan di semua cawangannya ditawarkan menerusi aplikasi pihak ketiga seperti Deliveroo dan Foodpanda sejak sebelum berlaku penularan.

"Saya tidak akan katakan jumlah tempahan telah meningkat. Orang ramai kini duduk di rumah jadi mereka mungkin mempunyai lebih masa untuk menyediakan hidangan sendiri, jadi tempahan tidak naik dengan begitu banyak," kata pemilik syarikat Larry Tan.

Rasa Istimewa mempunyai tiga cawangan termasuk satu di SAFRA Jurong, yang terkait dengan salah satu kelompok terbesar COVID-19 di Singapura.

"Cawangan kami di SAFRA Jurong lebih teruk terjejas berbanding cawangan yang lain di Woodlands dan Pasir Ris. Kami menyaksikan kemerosotan hampir 70 peratus pada jumlah pelanggan," kata Encik Tan.

Sungguhpun demikian, syarikat itu masih bertahan, menawarkan potongan harga dan penghantaran percuma melalui sesetengah platform.

"Ia agak melemahkan semangat," kata Encik Tan. "Kami berharap Pemerintah akan menghulurkan lebih banyak bantuan daripada apa yang ditawarkan sekarang. Meskipun lengkung dapat diratakan dan keadaan menjadi stabil, ia akan mengambil masa selama beberapa bulan sebelum keyakinan pelanggan dapat dipulihkan. Kami mahu berniaga untuk jangka panjang." 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan