Images
  • rosli main
    Encik Rosli dan isteri tawar hidangan asli Melayu menarik seperti Daging Maut dan Ayam Melecur. 

Restoran 'Daging Maut' & 'Ayam Melecur' peniaga S'pura ini paling lama bertahan di Publika, KL

BERITAmediacorp: Walaupun bersaing sengit dalam landskap perniagaan makanan Melayu yang cukup kompetetif di Malaysia, sebuah restoran milik sepasang warga Singapura berjaya mengukir nama menjadi restoran paling lama bertahan di sebuah kawasan mewah, iaitu di gedung beli-belah Publika, Kuala Lumpur.

Bahkan perniagaan Encik Rosli Bidin dan isterinya, Cik Norhayani Mohd Noor, kini sudah berkembang dengan sebuah lagi cawangan restoran itu dibuka - juga di Kuala Lumpur.

BERITAmediacorp berkunjung ke Kuala Lumpur untuk mengetahui apakah tukikan 'restoran Singapura' itu serta apakah rahsia kejayaan perniagaan pasangan tersebut.


Encik Rosli bersama keluarga yang menjadi tunggak kejayaannya. 

Sebaik sahaja anda menjamu hidangan di restoran bernama Tumis (atau nama penuhnya Tumis@Teak5) yang terletak di kawasan Mont Kiara, anda akan terasa seperti menikmati masakan di rumah - lebih tepat lagi, masakan di rumah dari Singapura! Menu restoran ini juga dipenuhi dengan masakan-masakan gaya Singapura. 

Sudah lebih sembilan tahun perniagaan mereka bertapak dan bertahan di sana.

Makanan-makanan dijual semuanya masakan asli Melayu yang kaya dengan rempah ratus, diolah menjadi resipi tersendiri.


"Ada orang Singapura datang. Dia tidak tahu yang kita warga Singapura. Dia rasa makanan kita, dia cakap: 'Eh ini lain, macam nenek saya masak.' Saya tanya dia dari mana dan rupa-rupanya dia dari Singapura," cerita Encik Rosli, 52 tahun, kepada BERITAmediacorp.

"Saya cakap, we are fellow Singaporeans (kita sama-sama warga Singapura)," selorohnya. 


Antara pelanggan dari Singapura yang disambut mesra Encik Rosli dan isteri. 

PILIH NAMA 'MEMANGGIL' BAGI HIDANGAN "TIDAK LOKEK REMPAH"

Strategi pemasaran Encik Rosli sedikit berlainan tetapi terbukti berjaya memikat hati ramai pelanggan tidak kira usia.

Pelanggan yang baru pertama kali menjejakkan kaki di Tumis@Teak5 akan terkejut melihat menu restoran itu.

Daging Maut, Udang Meletop, Ayam Melecur!

Itulah antara nama-nama unik tetapi mudah diingati, yang dipilih Encik Rosli bagi hidangan-hidangannya yang benar-benar pedas 'maut'.


Udang Meletop Tumis@Teak5.

Selain taktik nama, semestinya yang lebih utama adalah rasa hidangan yang disajikan. Ramai pelanggan benar-benar tergoda dengan masakan isterinya. Wartawan BERITAmediacorp sendiri sudah mencubanya dan lauk daging tersebut memang pedas 'maut'.

Pelanggan yang berulang-kali kembali ke restorannya termasuk mereka yang datang sejauh Jerman, Jepun dan Perancis. Malah, ada juga pelanggan yang membawa 'rombongan' satu bas dari Singapura semata-mata untuk menyambut hari jadi di restorannya.


Bukan daging masak kicap biasa, inilah Daging Maut.

"Saya tidak tipu rencah. Masak kena ada bawang yang lebih, tumis yang lama. Bila masakan kita lain, sedap, orang akan ingat. Orang akan sentiasa datang. Kalau tidak, saya rasa kami tidak boleh bertahan di Publika sampai sembilan tahun," jelas Cik Norhayani.

Encik Rosli pula menambah, beliau dan isteri tidak pernah menitikberatkan tentang harga barang pasar yang naik.


Ayam Melecur Tumis@Teak5.

"Bila kita ke pasar, naik turun harga kita tidak peduli. Kalau kita perlu pakai rempah yang banyak, mesti gunakan juga," kata Encik Rosli tentang peri pentingnya menjaga mutu makanan.

MAKANAN KITA AGAK MAHAL SEBAB IA MASAKAN ASLI...

Ditanya mengapa beliau memilih untuk membuka restoran di Publika, Encik Rosli berkata bahawa beliau terdahulu sudah meninjau-ninjau kawasan yang berpotensi membolehkan perniagaannya terus berkembang.


"Kita nak pandai memilih kawasan. Saya pilih di mana ada ramai yang dari golongan pertengahan dan ke atas kerana makanan kita agak mahal sebab ia masakan asli. Di Publika tidak ada banyak masakan asli Melayu yang ditawarkan, " ujar Encik Rosli.

Harga set makanan di restorannya dijual sekitar RM20-25 (S$6.50-$8.00), tergantung hidangan yang dipilih pelanggan.


"Kedai kami bertahan paling lama di sini (Publika Solaris). Banyak kedai dah tutup. Ada bukak empat bulan, enam bulan. Yang paling lama setahun," kata Cik Norhayani. Restoran mereka merupakan antara perintis yang mula-mula berniaga di pusat beli belah itu.

DARIPADA REKAAN DALAMAN & PERABOT, KEPADA MAKANAN

Hakikatnya, tidak mudah bagi warga asing berniaga di Malaysia.

Lebih RM200,000 (S$65,000) yang dilaburkan untuk membuka restoran adalah daripada simpanan pasangan itu sendiri.

Encik Rosli sebelum ini menceburi bidang reka bentuk dalaman dan perabot. Selepas mendapat tawaran bagi projek di sebuah resort di Malaysia, pasangan itu bersama tiga anak mereka berhijrah ke Malaysia. Malangnya, projek tersebut tergendala.


Hanya dengan wang simpanan dan hasil penjualan perabot, mereka membuka Tumis@Teak5. 

"Untuk kita dapatkan pinjaman bank di sini memang susah. Bila nak buka syarikat di Malaysia, mesti ada warga Malaysia yang pegang 60 peratus. Jadi kami tidak mendapatkan pinjaman," jelas Cik Norhayani.


Siapa sangka, tanpa sebarang kemudahan yang sedia ada semasa titik permulaan Tumis@Teak5, restoran itu bertahan sehingga kini, walaupun kos sewa di Publika sekurang-kurangnya RM10,000-RM15,000 sebulan.

ANAK PILIH IKUT JEJAK SAMA

Sekitar 10 bulan lalu pula, cawangan kedua Tumis dibuka di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan dikendalikan dua orang anak pasangan Singapura itu, Muhammad Fadhil Irfan (25 tahun) dan Nur Farah Aqilah (18 tahun). 

Kedai itu dinamakan Luth by Tumis.


"Anak sulung saya balik daripada Perkhidmatan Negara (NS) tanya mengapa tidak kita buka lagi satu untuk membuktikan kepada orang ramai bahawa kami rakyat Singapura, tanpa sebarang pinjaman dengan hasil titik peluh berniaga, mampu buka kedai lagi satu," kata Cik Norhayani yang sempat terharu melihat azam anaknya.

Pada waktu itu juga, anak kedua mereka, Farah, sudah bergelar 'chef' pada usia 17 tahun dan sudah memasak untuk beratus-ratus orang.


Maka itulah, Encik Rosli bersetuju dan yakin bahawa sudah tiba masanya untuk membuka cawangan kedua. Malah, beliau memberi ruang bagi mereka untuk menawarkan hidangan-hidangan baru tapi mengekalkan resipi ibunya.

"Mereka beruntung kerana kita ada 'template' (contoh) yang boleh mereka rujuk. Kita sudah bangunkan ini selama 9 tahun. Mereka hanya perlu meneruskan perniagaan ini dan membawanya ke peringkat lebih tinggi," kata Encik Rosli.


Antara hasil daya inovasi anaknya adalah piza Melecur, Maaouut dan Ka-Bomb - iaitu piza yang bukan dihidangkan dengan sos tomata tetapi rempah-rempah yang lazim digunakan dalam masakan Melayu.

"Bila dia masak, dia ambil kita punya daging maut untuk piza. Marvellous. Saya beritahu mereka, kalau ingin buat piza, bersaing dengan Pizza Hut memang susah. Mereka perlu cipta makanan sendiri baru mereka boleh berjaya. Jadi mereka tidak menghasilkan piza seperti di Perancis. Mereka ada Piza Maut, Piza Melecur."

RANCANGAN PADA MASA AKAN DATANG

Ditanya sama ada Encik Rosli ada rancangan untuk kembali dan membawa Tumis@Teak5 ke Singapura, beliau dengan seloroh berkata: "We would love to."

Lebih-lebih lagi, beliau masih mempunyai ramai teman-teman di Singapura.


Namun, beliau ingin merancang dengan teliti sebelum mengambil langkah seterusnya.

"Saya tidak ingin buka cawangan baru lepas tu tutup dua tahun kemudian. Perlu ada semangat untuk memastikan perniagaan kita terus bertahan," tambah Encik Rosli.

"Mungkin pada masa akan datang, insya Allah jika semua berjalan lancar, kami akan sediakan Daging Maut dan Ayam Melecur kami dalam bungkusan yang dipek vakum. Itu antara perancangan selanjutnya."

Yang pasti, semangat keusahawanan yang membara dalam keluarga ini menjadi resipi kejayaan perniagaan mereka.  

- BERITAmediacorp/aq

Top