Images

Rekod baru: 850 peserta dari 100 universiti terkemuka sertai pertandingan niaga SMU

SINGAPURA: Rekod baru penyertaan dicatatkan dalam edisi ke-10 satu pertandingan perniagaan anjuran Universiti Pengurusan Singapura (SMU), apabila sebanyak 850 peserta dari 100 universiti terkemuka dunia mengambil bahagian.

Dua pemenang utamanya menerima hadiah S$250,000 setiap satu.

Syarikat yang berpangkalan di Melbourne, Relectrify menang bagi ciptaannya yang memberi nafas baru kepada bateri kenderaan elektrik. Ia mengalahkan empat peserta lain dalam kategori syarikat yang menjana pendapatan.

Syarikat tempatan Polybee pula muncul antara lapan finalis yang mendapat hadiah di mana mereka mendapat akses kepada ekosistem inovasi DBS.

Ia menggunakan dron untuk proses automasi pendebungaan ke atas buah-buahan yang ditanam di kawasan tertutup.

Satu lagi juara ialah Iterative Scopes yang menghasilkan peralatan diagnostik kecerdasan buatan (AI) untuk pengesanan awal barah usus. Syarikat berpangkalan di Boston itu diterajui pengasasnya yang merupakan rakyat Singapura.

Dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata laluan untuk pemulihan ekonomi adalah rapuh.

Lantas, keupayaan rakyat untuk membuat penyesuaian dan berinovasi adalah kritikal bagi membolehkan kita mengharungi COVID-19 dan bangkit lebih kukuh selepas pandemik itu berakhir.

- CNA/SY/tq

Top