Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

RCEP akan ditunda ke 2020, menurut draf kenyataan ASEAN

Penandatanganan perjanjian perdagangan terbesar dunia, RCEP, mungkin akan ditunda ke 2020, menurut satu draf kenyataan oleh para pemimpin Asia Tenggara. Ini melengahkan perjanjian yang diharapkan China untuk mengimbangi kesan perang tarifnya dengan Amerika Syarikat.

Anggaran Waktu Membaca:
RCEP akan ditunda ke 2020, menurut draf kenyataan ASEAN

Bendera ASEAN (kanan) dan negara-negara anggotanya (Gambar: AFP/Tang Chhin Sothy)

Diterbitkan : 03 Nov 2019 08:13PM Dikemas Kini : 03 Nov 2019 08:18PM

BANGKOK: Penandatanganan perjanjian perdagangan terbesar dunia mungkin akan ditunda ke 2020, menurut satu draf kenyataan oleh para pemimpin Asia Tenggara. Ini melengahkan perjanjian yang diharapkan China untuk mengimbangi kesan perang tarifnya dengan Amerika Syarikat.

Perkongsian Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) meliputi negara-negara dari India hingga New Zealand dan merangkumi 30 peratus Hasil Dalam Negara Kasar (GDP) global dan separuh daripada rakyat dunia.

Bantahan oleh India memusnahkan harapan untuk memuktamadkan perjanjian itu pada sidang puncak Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di Bangkok, di mana para anggota blok 10 negara itu disertai oleh Perdana Menteri India dan China.

"Kebanyakan rundingan akses pasaran sudah selesai dan beberapa isu dua hala yang tertunda akan dihuraikan menjelang Februari 2020," menurut satu draf perjanjian yang diperolehi AFP.

Rundingan sudah diadakan selama beberapa tahun, namun menurut kenyataan itu teks kesemua 20 bab kini sudah lengkap, sementara "menanti ketetapan satu" ahli, yang dipercayai adalah India.

Namun ia menyatakan semua anggota "komited untuk menandatangani RCEP" tahun depan di Vietnam, yang akan mengambil alih giliran sebagai pengerusi ASEAN.

New Delhi bimbang perusahaan-perusahaan kecilnya akan terjejas teruk oleh pembanjiran barangan murah China yang akan mencetuskan "defisit perdagangan tidak mampan" - kata Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam wawancara yang diterbitkan oleh Bangkok Post.

Beijing menganggap RCEP sebagai tunggak utama strategi perdagangannya untuk rantau Asia, disokong oleh pemimpin-pemimpin ASEAN dan yang mewakili pasaran seramai 650 juta penduduk.

Usaha memuktamadkan perjanjian itu menjadi semakin mendesak ekoran perang perdagangan dengan Amerika Syarikat yang menyekat pertumbuhan China, ekonomi kedua terbesar dunia.

RCEP - merangkumi blok 10 negara ASEAN bersama China, India, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand - menyumbang kepada 40 peratus perdagangan global.

Tindakan saling berbalas Amerika Syarikat dan China dalam mengenakan tarif ke atas barangan bernilai berbilion dolar boleh melembapkan pertumbuhan negara ke tahap terendah dalam tempoh sedekad, menurut IMF.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata beliau berharap untuk menandatangani perjanjian dengan Presiden China Xi Jinping untuk menarik balik beberapa tarif. Encik Trump memberitahu beberapa pemberita pada hujung minggu ini perjanjian itu mungkin ditandatangani di Iowa, Amerika Syarikat.

Perdana Menteri China Li Keqiang berkata awal hari ini negaranya tetap "komited untuk menyokong keutamaan ASEAN" sebagai sebahagian daripada hubungan serantaunya.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan