Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Ramalan IATA perjalanan udara global pulih jelang 2023 'jangka waktu agak tepat', kata CEO Scoot

Unjuran oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) bahawa perjalanan udara sejagat akan kembali ke tahap sebelum pandemik menjelang sekitar hujung 2023 adalah "jangka masa yang agak tepat", kata Ketua Eksekutif syarikat penerbangan kos rendah, Scoot, pada Isnin (28 Jun). 

Anggaran Waktu Membaca:
Ramalan IATA perjalanan udara global pulih jelang 2023 'jangka waktu agak tepat', kata CEO Scoot

Kapal terbang Scoot di Lapangan Terbang Changi. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 28 Jun 2021 10:26PM Dikemas Kini : 28 Jun 2021 10:28PM

SINGAPURA: Unjuran oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) bahawa perjalanan udara sejagat akan kembali ke tahap sebelum pandemik menjelang sekitar hujung 2023 adalah "jangka masa yang agak tepat", kata Ketua Eksekutif syarikat penerbangan kos rendah, Scoot, pada Isnin (28 Jun).

Encik Campbell Wilson ditanya wartawan di satu sidang media maya tentang ramalannya bagi industri penerbangan yang terjejas teruk. Beliau menjawab "tidak akan memilih untuk meragui" unjuran oleh badan industri global itu.

Dalam satu laporan bulan lalu, IATA menyatakan jumlah penumpang akan kembali meningkat kepada 88 peratus tahap sebelum pandemik pada tahun depan dan melebihi paras tersebut dengan sebanyak lima peratus pada 2023.

“Tentunya, ini akan berbeza-beza mengikut geografi dan kemungkinan model perniagaan tetapi sekurang-kurangnya daripada penilaian kami, saya rasa itu adalah jangka waktu yang agak tepat," kata Encik Wilson.

Apabila ditanya jika beliau berpendapat bahawa syarikat tambang murah akan mendahului pemulihan pasca pandemik, beliau berkata "masa akan menentukan berdasarkan pasaran apa yang akan dibuka dahulu".

KEADAAN DI ASIA

Sungguhpun demikian, Encik Wilson menambah bahawa Scoot, sebagai sebuah syarikat penerbangan yang tertumpu kepada Asia, berada di kedudukan baik kerana model syarikat penerbangan itu "terus menjadi pilihan kegemaran" memandangkan keupayaannya untuk memastikan operasi kos yang rendah dan tawaran tambang lebih rendah.

Dalam satu pembentangan awal dari itu, Encik Wilson juga menyebut beberapa peluang baru yang dibuka bagi Scoot akibat pandemik COVID-19.

Namun, beliau enggan memberikan butiran dan hanya berkata bahawa ia adalah "peluang komersil".

"Sebagai sebahagian daripada kumpulan SIA (Singapore Airlines), dengan akses kepada kecairan tunai yang kami nikmati, telah membenarkan Scoot untuk mengambil pandangan jangka panjang... dan melabur dalam sistem dan keupayaan serta kakitangan agar kami dalam keadaan baik - bersedia untuk memanfaatkan setiap peluang atau kelemahan yang mungkin wujud," kata Encik Wilson.

MELABUR DALAM TEKNOLOGI, PESAWAT BARU

Ini termasuk melabur dalam teknologi bagi menambah baik perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan. Antaranya seperti lebih banyak pilihan pendaftaran online serta meningkatkan keupayaan perniagaan.

Keupayaan perniagaan Scoot meliputi sebuah sistem penjadualan baru bagi anak kapal penerbangan dan sebuah sistem perancangan penerbangan dengan pemodelan lebih baik untuk meningkatkan keberkesanan serta mengurangkan pembakaran bahan api.

Ia juga terus melabur bagi memiliki armada pesawat yang moden dan berkesan dengan tambahan terbaru merupakan tiga pesawat baru Airbus A321neo pada Mei lalu. Scoot juga dijangka menerima lagi 13 pesawat baru dengan satu lorong itu menjelang 2024.

Scoot menyatakan A321neo juga lebih mesra alam dengan enjin lebih cekap bahan bakar, 50 peratus kurang pencemaran bunyi dan pelepasan nitrogen oksida. Ia juga melepaskan 5,000 tan kurang karbon dioksida setiap tahun bagi setiap pesawat.

Pesawat baru itu berlepas bagi penerbangan pertamanya ke Bangkok pada petang Isnin dan akan digunakan bagi laluan penerbangan ke Cebu dan Bandar Ho Chi Minh pada Ogos. Demikian menurut Scoot dalam satu kenyataan media berasingan.

Cabang kos rendah SIA itu, kini mempunyai 29 pesawat dengan satu lorong terdiri daripada 21 A320ceo, lima A320neo dan tiga A321neo – serta 20 pesawat Boeing 787 dalam armada operasinya, setiap satu dengan purata usia lima tahun dan 10 bulan.

Ia dijangka meluaskan armada pesawatnya pada tahun-tahun mendatang. Selain daripada 13 pesawat A321neo, Scoot juga mempunyai lagi 28 A320neo dan tujuh Boeing 787 yang masih dalam pesanan.

Dalam pembentangannya juga, Encik Wilson berkata Scoot kini membuat penerbangan ke 26 destinasi di 12 negara dan wilayah. Ini kurang berbanding 68 destinasi di 15 negara sebelum pandemik mencengkam dunia.  

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan