Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Ramalan GDP S'pura bagi 2020 dianggar antara -5% hingga -7%

Singapura menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi bagi 2020 kepada antara -5% hingga -7%, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Selasa (11 Ogos), dengan data menunjukkan kemerosotan yang sangat ketara pada suku kedua di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Ramalan GDP S'pura bagi 2020 dianggar antara -5% hingga -7%

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 11 Aug 2020 09:32AM Dikemas Kini : 11 Aug 2020 09:33AM

SINGAPURA: Singapura menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi bagi 2020 kepada antara -5% hingga -7%, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Selasa (11 Ogos), dengan data menunjukkan kemerosotan yang sangat ketara pada suku kedua di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Pada Mei lalu, ekonomi negara diramal menguncup antara -4% hingga -7%.

"Walaupun julat ramalan sudah diturunkan, keadaan masih tidak menentu berhubung bagaimana situasi COVID-19 akan berubah dalam masa beberapa bulan akan datang, dan begitu juga, arah kebangkitan ekonomi, baik ekonomi global mahupun domestik," menurut MTI dalam laporannya.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa ramalan bagi permintaan luaran Singapura sudah melemah "sedikit" sejak Mei lalu, dengan kebanyakan pasaran utama bagi permintaan akhir mengalami gangguan ekonomi lebih buruk daripada yang dijangkakan pada suku kedua.

Pasaran-pasaran itu dijangka mengalami rentak kebangkitan secara beransur-ansur pada separuh kedua 2020, disebabkan oleh ancaman berlakunya penularan baru dalam negeri dan perlunya langkah-langkah sekatan berterusan bagi membendung penularan seterusnya.

Ekonomi sejagat juga menyaksikan ketidakpastian yang sangat ketara, menurut MTI, sambil menukil bagaimana peningkatan semula kes-kes COVID-19 boleh menyebabkan langkah-langkah kesihatan awam diperketatkan atau dikuatkuasakan semula perintah berkurung di ekonomi-ekonomi maju dan ekonomi-ekonomi baru.

Sementara itu, terdapat risiko yang meningkat disebabkan oleh ketegangan geopolitik dan sentimen antiglobalisasi, seperti dasar fahaman perlindungan yang meningkat yang boleh menyebabkan gangguan selanjutnya pada rantaian bekalan global. Ini mungkin akan menjejas perdagangan global dan pemulihan ekonomi sejagat, tambah MTI.

PEMBUKAAN SEMULA SEMPADAN ANTARABANGSA YANG LEBIH PERLAHAN

Beralih kepada Singapura, MTI menyatakan persekitaran ekonomi luaran yang lemah akan terus menjejas beberapa sektor yang bergantung kepada pasaran luar seperti pengangkutan dan penyimpanan serta perdagangan borong.

Pembukaan semula sempadan antarabangsa pula dijangka dilakukan secara bertahap-tahap berbanding apa yang dijangkakan sebelum ini, sedang situasi COVID-19 dijangka berlarutan di seluruh dunia, yang berkemungkinan akan menjejas masa hadapan sektor-sektor yang bergantung kepada pelancongan dan perjalanan udara.

Selain itu, penyambungan semula aktiviti bagi sektor-sektor yang bergantung kepada pekerja asing yang menetap di dormitori juga lebih perlahan daripada yang dijangkakan, menurut MTI.

Ini disebabkan oleh masa yang lebih lama diambil untuk mengisytiharkan para pekerja itu selamat untuk kembali bekerja serta cabaran-cabaran yang dihadapi oleh para majikan dalam mematuhi langkah pengurusan selamat yang ditetapkan di tempat kerja sebelum dibenarkan untuk menyambung semula operasi.

KEKUATAN S'PURA

Sungguhpun demikian, MTI menekankan bahawa terdapat beberapa kekuatan dan kelebihan pada ekonomi Singapura, seperti bagaimana ramalan bagi kelompok elektronik dan kejuruteraan jitu semakin bertambah baik di samping permintaan yang lebih kukuh daripada yang dijangkakan bagi semikonduktor dan peralatan semikonduktor.

Kelompok pengilangan bioperubatan juga dijangka terus berkembang, disokong oleh penghasilan produk farmaseutikal dan biologi.

Selain itu, sektor kewangan dan insurans, infokom turut diramal berkembang tahun ini, menurut MTI.

KEMEROSOTAN GDP SUKU KEDUA

Laporan MTI juga memberikan kemas kini mengenai data pertumbuhan bagi suku kedua, yang terjejas teruk oleh langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Ekonomi Singapura menguncup sebanyak 13.2 peratus pada suku kedua berbanding tempoh yang sama setahun lalu, lebih buruk daripada kemerosotan 12.6 peratus yang diunjurkan dalam ramalan awal Pemerintah dan jauh lebih teruk berbanding penguncupan 0.3 peratus yang dialami pada suku sebelumnya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan