Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Rakyat S'pura miliki syarikat pengurusan acara 'terbaik' di Kemboja dengan aset lebih AS$1 juta

Kemboja memang cukup sinonim dengan daya tarikan monumen keagamaan terbesar dunia iaitu Angkor Wat dan keindahannya yang semula jadi.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat S'pura miliki syarikat pengurusan acara 'terbaik' di Kemboja dengan aset lebih AS$1 juta

Rakyat Singapura Osman Omar sebagai Pengarah Urusan Kilat Events di Kemboja. (Gambar: BERITAmediacorp/Kilat Events FB)

BERITAmediacorp: Kemboja memang cukup sinonim dengan daya tarikan monumen keagamaan terbesar dunia iaitu Angkor Wat dan keindahannya yang semula jadi.

Namun siapa yang dapat melupakan keadaan yang masih kucar-kacir di Kemboja pada tahun 1990-an dek ditakluk rejim Khmer Rouge? Malah, sehingga ke hari ini, masih ada segelintir yang masih tertanya-tanya sama ada ia negara yang selamat dikunjungi.

Bagi lelaki rakyat Singapura bernama Osman Omar, yang ketika itu berusia 20 tahun dan masih 'hijau', Kemboja beliau ibaratkan sebagai medan peluang perniagaan baginya.

Kini selepas 25 tahun bergelumang di Kemboja, beliau bergelar Pengarah Urusan kepada syarikat pengurusan acara Kilat Events. Sebagai syarikat penganjur acara, ia digelar 'terbaik' di Kemboja, menurut majalah Business Insight Cambodia tahun lalu.

(Gambar: Takanori Narumi/Facebook)

Yang pasti, kejayaan dan tuah Encik Osman, 45 tahun, sebagai usahawan cemerlang di bumi Kemboja tidak datang bergolek, malah penuh onak ranjau yang terpaksa dilalui. Namun, cabaran sebenar beliau adalah meyakinkan keluarganya untuk membolehkannya terus menetap dan cari makan di Kemboja.

"Semasa itu saya baru berusia 20 tahun selepas Perkhidmatan Negara (NS), jadi saya bertanya, kenapa tidak Kemboja?

"Pada masa itu, ia masih 'bandar koboi', orang masih membawa pistol dan ia agak berbahaya. Nenek saya tak beri pergi mula-mula dan bapa saya sehingga dua kali datang dan kata, 'Man, balik! Kemboja bukan tempat untuk kamu', tapi saya cakap tidak, saya mesti datang balik dan melakukan sesuatu buat diri saya di Kemboja," cerita Encik Osman kepada BERITAmediacorp, dalam satu wawancara di Phnom Penh.

TERTARIK DENGAN KEINDAHAN ALAM, TAWARAN KERJA

Beliau yang bekerja secara bebas dengan syarikat penerbitan teknikal konsert di Singapura, pada mulanya ditawar bekerja sebagai DJ oleh bos beliau di sebuah kelab malam terbesar di Phnom Penh pada 1994.

Meskipun Penguasa Peralihan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Kemboja (UNTAC) baru sahaja menarik diri, keadaan di negara itu jelas masih kacau-bilau. Akan tetapi, tawaran kerja yang tidak putus-putus dan keindahan alam di Kemboja membuatnya terus tertarik untuk menetap di Kemboja.

Encik Osman mengimbas: "Mula-mula kontrak saya tiga bulan sahaja. Selepas tiga bulan saya tinggal di Phnom Penh, saya fikir Kemboja tempat yang menarik. Salah seorang rakan Kemboja saya mengajak saya keluar bandar dan saya nampak gunung-ganang, sawah padi dan saya tertarik. Ia sangat berbeza dari negara asal saya di Singapura ketika itu."

Beliau kemudian ditawarkan bekerja di sebuah lagi kelab malam. Jadi, bekerja di kedua-dua kelab setiap malam, sebelum tawaran kerja berbeza muncul tanpa disangka-sangka.

"Pada 1996, saya mendapat tawaran di stesen radio di Kemboja untuk program tengah hari Inggeris selama dua jam. Pada masa itu, Kemboja tidak mendengar lagu Inggeris, jadi saya berkongsi muzik Inggeris dan mereka juga mendengar (dan membuat panggilan ke) radio untuk mempelajari bahasa Inggeris," kongsi Encik Osman.

BINA SYARIKAT DI TENGAH-TENGAH KEMELUT

Setahun kemudian, Encik Osman bertekad membuka sendiri syarikat pengurusan acara di tengah-tengah pertempuran Parti Rakyat Kemboja (CPP) dengan parti politik 'royalist' FUNCINPEC.

Namun, ekonomi Kemboja terjejas teruk dan banyak peralatan syarikat dicuri serta ruang pejabat dan penyimpanan dirosakkan. Maka itu, beliau terpaksa bermula dari bawah semula.

"Kami ditawarkan oleh CEO FORTE Insurance untuk bergabung sebagai lanjutan acara bagi pasaran pengiklanan mereka dan kami mengadakan acara bersama-sama selama 10 tahun," kata beliau sebagai syarikat pengurusan acara pertama di Kemboja.

Namun pasaran Kemboja jelas belum bersedia dan ia mejejas syarikatnya kerana klien memilih khidmat lebih murah dan tidak memahami konsep yuran pengurusan yang dikenakan, ujarnya.

(Gambar: Osman Omar/Facebook)

Tawaran demi tawaran, akhirnya Kilat Events dibuka pada tahun 2014. Pada 2016, syarikat penerbitan dan penyewaan peralatan, Three6, pula dimulakan.

Ini kerana Encik Osman sedar adanya permintaan pasaran dan yakin akan kebolehan mereka sebagai satu pasukan. Lantaran itu, beliau terus melatih pekerja dan melabur ke dalam lebih banyak peralatan - dari memiliki aset sekitar AS$40,000 (S$55,240) hingga kini nilainya lebih AS$1 juta (S$1.38 juta)!

Yang pasti, meskipun sudah lama menetap di Kemboja, beliau tetap tidak melupakan jati diri sebagai seorang anak Melayu dan memilih nama 'Kilat' bagi syarikatnya dengan cogan kata 'Strike like Lightning'

"Ternyata benar, kami berhasil dan saya tegas tentang piawai yang harus kami berikan. Kini pasukan kami terdiri daripada lebih 50 orang dengan gabungan pekerja rakyat Kemboja dan rakyat asing.

"Kami berubah dari sifar hingga ke kedudukan sekarang. Tetapi saya harus menderita selama 10 tahun untuk memahami pasaran di sini dan sentiasa terus mencuba. Kini klien tahu mutu dan hubungi kami untuk projek yang tidak begitu mudah untuk dijalankan," kata Encik Osman lagi kepada BERITAmediacorp.

Kilat Events bukan sahaja mahir dalam elemen canggih audio visual dan grafik dinamik, malah turut memiliki cawangan di Siem Reap bagi memenuhi keperluan pasaran korporat MICE (persidangan, insentif, mesyuarat dan pameran).

URUSKAN ACARA BESAR-BESARAN PULANGAN RIBUAN DOLAR

Syarikatnya turut mengendalikan konsert bertaraf antarabangsa bagi penyanyi Amerika Syarikat seperti Demi Lovato dan Charlie Puth. Encik Osman mendedahkan bahawa Kilat Events bahkan dapat menjana sehingga AS$500,000 (S$690,550) bagi konsert Charlie Puth dan juga AS$100,000 (S$138,110) bagi majlis perkahwinan besar-besaran.

Antara klien-klien terkemuka Kilat Events termasuk ONE FC, Audi, Mazda, KIA dan Longchamp.

Pengalaman paling berharga bagi Encik Osman pula adalah projek memperingati ulang tahun muhibah ke-60 Kemboja dan Jepun di Angkor Wat pada 2013.

(Gambar: Kilat Events/Facebook)

"Tawaran kerja datang bertali arus, dan kami ada wang untuk dijadikan sebagai modal.

"Syukur Alhamdulillah, saya sering meminta bantuanNya kerana Kemboja bukan negara saya tetapi sejauh ini, wujud sokongan baik terhadap kerja kami dan kami diiktiraf dalam pasaran ini," jelas beliau, yang kini sudah berkahwin dengan seorang wanita Kemboja dan dikurniakan dua orang cahaya mata.

PERLU FAHAM PASARAN & BUDAYA

Memang resmi seorang peniaga. Jika boleh, mahu mempunyai pelbagai perniagaan. Itu jugalah yang dilakukan Encik Osman, yang turut memiliki restoran Gulai Halal Restaurant, di Phnom Penh. Ini kerana beliau yakin akan keperluan dan pasaran bagi sekitar empat peratus penduduk Islam daripada 16 juta penduduk di sana, masih dapat dipenuhi.

(Gambar: Osman Omar/Facebook)

"Terdapat banyak peluang di sini. Saya mahu juga melihat lebih ramai Melayu di sini. Cuba, tidak ramai usahawan Melayu di Kemboja.

Encik Osman turut yakin kunci kejayaan bagi perniagaan di sana adalah untuk memahami budaya dan pasaran Kemboja.

"Memang dalam perniagaan kita memerlukan modal, tetapi anda tidak memerlukan terlalu banyak modal jika anda tahu cara betul untuk melakukan sesuatu atau berkolaborasi dengan beberapa rakan." 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan