Images
  • heng swee keat (1)
    Menteri Kewangan Heng Swee Keat.

Rakyat mesti bersatu padu sedang cabaran global, populisme meningkat: Heng Swee Keat

DAVOS-KOLSTERS, SWITZERLAND: Menteri Kewangan Heng Swee Keat menggesa rakyat Singapura supaya terus bersatu padu sedang cabaran global dan populisme semakin meningkat. 

Encik Heng berkata semangat perpaduan semakin lemah di banyak negara di dunia sedang masyarakat semakin berpecah-belah.

Encik Heng berkata mereka yang berpendapat bahawa mereka tidak meraih manfaat daripada globalisasi mencari cara untuk menghentikannya, dan tindakan itu meninggalkan kesan negatif terhadap sistem politik.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara bersama media Singapura hari ini (25 Jan) di akhir rangka lawatannya selama empat hari ke Davos bagi menghadiri Forum Ekonomi Sedunia.

Salah satu cara untuk memastikan rakyat Singapura bersatu padu, menurut Encik Heng, adalah untuk terus menekankan pentingnya sistem pendidikan negara ini dan menggalak semua orang untuk menerima dengan terbuka pembelajaran sepanjang hayat.

Beliau menambah syarikat-syarikat perlu meningkatkan usaha penyusunan semula dan keupayaan para pekerja, di samping menekankan kepada mereka bahawa pembelajaran sepanjang hayat "bukan setakat satu slogan sahaja, tetapi satu realiti". 

"KITA HARUS BERTINDAK PANTAS," KATA ENCIK HENG BERHUBUNG KETEGANGAN DAGANG AS-CHINA

Di forum itu, Encik Heng membincangkan mengenai ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China di satu sesi panel dan mesyuaratnya bersama para pemimpin China, Amerika dan Eropah.

"Semakin ramai yang sedar bahawa ini bukan isu perdagangan. Ia merupakan isu persaingan strategi untuk jangka lebih panjang, dan adalah penting persaingan ini tidak bertukar menjadi permusuhan strategik kerana ia boleh menjejas kestabilan rantau itu dan seluruh dunia," katanya.

Encik Heng berkata beliau sudah mengadakan perbincangan dengan sebilangan pemimpin Eropah ketika di Davos, dan mereka memberitahunya terdapat keprihatinan yang kian meningkat mengenai pertumbuhan ekonomi yang semakin lembab di negara mereka disebabkan Brexit dan kebangkitan populisme di Eropah.

"Ramai pemimpin melahirkan keprihatinan bahawa kami perlu melakukan sesuatu untuk menangani perkara ini dan kami perlu bertindak dengan segera," katanya.

Encik Heng berkata Singapura berupaya menangani risiko-risiko perdagangan ini, dengan adanya perjanjian perdagangan seperti Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) yang akan terus menyediakan sokongan dan mengatur rentak globalisasi.

Perubahan struktur juga penting - dan bagi Singapura, negara ini sudah memanfaatkan Rancangan Perubahan Industri untuk mengubah dan menyusun semula ekonomi.

Beliau menambah, dengan melakukan demikian ia akan memperkukuhkan sektor-sektor utama supaya ia kekal berdaya saing di peringkat global.

PERANAN SINGAPURA DALAM PEMBANGUNAN SEJAGAT

Encik Heng juga berkata Singapura perlu mendampingi pertubuhan-pertubuhan berbilang pihak seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia bagi memacu pertumbuhan ekonomi sejagat, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan prasarana yang penting bagi meluaskan potensi pembangunan.

Beliau berkata Singapura boleh memainkan peranan dalam inisiatif Prasarana Asia, yang bertujuan menyediakan negara-negara Asia yang baru muncul dengan khidmat perbankan dan guaman bagi projek-projek prasarana.

Encik Heng menambah Singapura juga menerima banyak saranan daripada para pemimpin di serata dunia yang ingin bekerjasama dengan negara ini.  

- CNA/AI/ai

Top