Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Putu Piring Haig Road buka cawangan pertama di pusat beli-belah; tawarkan perisa durian

Dari perniagaan kecil-kecilan di sebuah pusat penjaja sehingga membuka beberapa cawangan di seluruh negara, Putu Piring Haig Road kini semakin berkembang maju.

Anggaran Waktu Membaca:
Putu Piring Haig Road buka cawangan pertama di pusat beli-belah; tawarkan perisa durian

Putu Piring Haig Road membuka cawangan pertama di sebuah pusat beli-belah. (Gambar-Gambar: Annette Tan/8 DAYS/TODAYonline)

Diterbitkan : 31 Dec 2018 06:31PM Dikemas Kini : 31 Dec 2018 06:56PM

SINGAPURA: Dari perniagaan kecil-kecilan di sebuah pusat penjaja sehingga membuka beberapa cawangan di seluruh negara, Putu Piring Haig Road kini semakin berkembang maju.

Pada lewat November, Putu Piring Haig Road membuka cawangan terbarunya di pusat beli-belah East Village di Upper Changi Road.

Buat julung-julung kalinya, perniagaan kuih tradisional yang bersandarkan sejarah selama 80 tahun itu membuka sebuah lagi cawangan baru - kali ini bukan di sebuah pusat penjaja atau kedai kopi tetapi di sebuah pusat beli-belah yang lengkap berhawa dingin!

Selain putu piring tradisional yang mengandungi gula melaka, cawangan terbaru itu akan menawarkan perisa baru seperti durian, coklat dan kelapa.

"Kami juga menjual rojak kerana ia membantu membayar kos sewa dan kos tidak langsung yang lain," kata Nooraisha Mohammad Hashim, 35, pemilik generasi kelima, kepada majalah 8 Days.

Para pelanggan juga boleh menjangkakan minuman seperti teh, kopi, bandung dan chendol di cawangan baru itu dalam masa terdekat.

Oleh kerana cawangan terbaru ini ditempatkan di dalam sebuah pusat beli-belah, ini bermakna kos operasi lebih tinggi. Maka itu, harga putu piring yang dijual juga dinaikkan sejajar dengan kos sewa yang lebih tinggi.

Misalnya, sebuah kotak yang mengandungi empat keping putu piring gula melaka dijual pada harga S$3.20 berbanding S$2.50 di cawangan-cawangan lain.

DARI 1930AN HINGGA SEKARANG

Perniagaan turun-temurun ini bermula pada tahun 1930an semasa moyang Cik Nooraisha mula menjual putu piring di Lorong 1 Jalan Besar.

Beliau kemudian mengajar dan menurunkan kemahiran membuat putu piring kepada anak perempuannya, Mislama Basri, yang menjual kuih tradisional itu di Kampong Kapur dekat Sungei Road selepas Perang Dunia Kedua.

Bagaimanapun, putu piring keluarganya itu tidak begitu popular ketika itu. Cik Nooraisha memberitahu majalah 8 Days bahawa orang ramai hanya mula beratur untuk membeli kuih tradisional itu pada tahun 1995.

Malah, keluarganya sendiri tidak tahu sama sekali apakah sebenarnya yang membuat ramai orang melanggani gerai mereka, namun ternyata ramai yang berpendapat bahawa putu piring mereka amat enak sekali!

Sekarang, Cik Nooraisha mengendalikan perniagaan tersebut bersama suaminya, Mohd Nizam Iskandar, 33 tahun.

Pasangan tersebut sebelum ini membuka cawangan di Pasar Geylang Serai, Ang Mo Kio dan Onan Road.

Ibu bapa Cik Nooraisha masih menguruskan gerai di Haig Road, yang sudah berpindah ke Blok 14, di mana mereka hanya menjual putu piring tradisional yang mengandungi gula melaka.

"Ibu bapa saya dan kakitangan mereka di cawangan itu sangat tradisional. Mereka tidak begitu berminat untuk mencuba perisa-perisa baru," katanya kepada 8 Days. "Kakitangan saya di cawangan-cawangan lain adalah daripada generasi muda. Oleh itu, mereka lebih bersikap terbuka kepada idea-idea dan perisa baru."

Selain perisa gula melaka, Cik Nooraisha akan menawarkan pelbagai perisa baru. "Kami memperkenalkan perisa coklat kerana kanak-kanak selalu datang ke gerai dan berkata, 'Saya mahu coklat, saya mahu coklat'," katanya.

Selain coklat, para pelanggan terutamanya mereka yang 'hantu durian' juga boleh menikmati putu piring berperisa raja buah itu kerana siapa yang tidak gemar makan durian?

Namun, Cik Nooraisha berkata putu piring gula melaka tetap menjadi kegemaran ramai, dengan perisa coklat menjadi pilihan kedua para pelanggan.

Cik Nooraisha mengongsi bahawa beliau dan suaminya bercadang untuk membuka sebuah cawangan baru di pusat beli-belah Northpoint di Yishun pada awal tahun depan.

Meskipun pasangan itu ingin terus mengembangkan perniagaan, mereka juga sedang berusaha untuk menstabilkan operasi di cawangan East Village sebelum meninjau-ninjau peluang baru.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan