Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Proton X70 dijangka tembusi pasaran Thailand, Indonesia

Syarikat pengeluar kereta Malaysia, Proton Holdings Bhd, sedang membangunkan arahan suara dalam bahasa Thailand dan Indonesia untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya, X70, memberi gambaran bahawa kedua-dua negara itu dijangka menjadi antara destinasi eksport pertama untuk kenderaan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Proton X70 dijangka tembusi pasaran Thailand, Indonesia

Proton X70 akan menawarkan ciri keselamatan terkini. (Gambar: Proton Edar Johor Branch – Zamil/Facebook)

Diterbitkan : 12 Oct 2018 10:13AM Dikemas Kini : 12 Oct 2018 10:18AM

PETALING JAYA: Syarikat pengeluar kereta Malaysia, Proton Holdings Bhd, sedang membangunkan arahan suara dalam bahasa Thailand dan Indonesia untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya, X70, sekaligus memberi gambaran bahawa kedua-dua negara itu dijangka menjadi antara destinasi eksport pertama untuk kenderaan tersebut.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Proton, Abdul Rashid Musa, yang enggan mendedahkan butiran mengenai rancangan eksport syarikat berkenaan, berkata Proton turut mendapat hak pembangunan teknologi pemanduan sebelah kanan (RHD) dan pengeluaran daripada rakan strategiknya dari China, Zheijang Geely Holding Group Co Ltd (Geely).

Menurut Encik Abdul Rashid, langkah itu sejajar dengan perjanjian yang dimeterai antara DRB-Hicom Bhd dengan Geely, di mana Malaysia akan menjadi hab serantau pengeluar kereta dariChina itu untuk teknologi RHD.

“Malaysia akan menjadi hab (untuk RHD) kerana Geely Group hanya mengeluarkan kereta dengan pemanduan sebelah kiri,” kata beliau kepada para wartawan menyusuli majlis pratonton Proton X70 yang kedua pada Khamis (11 Okt).

Di majlis itu, Encik Abdul Rashid berkata Proton X70 akan dilengkapi dengan Geely Smart Ecosystem - iaitu sistem interaksi kokpit bijak yang mempunyai monitor skrin sentuh berukuran lapan inci, arahan suara, sambungan telefon bijak, aplikasi maklumat hibur dalam talian Android dan tetapan peribadi.

“Ia akan turut dilengkapi dengan ciri-ciri kawalan jauh yang membolehkan pemilik kereta memeriksa dan mengawal kenderaan itu di mana sahaja, pada bila-bila masa, melalui aplikasi mudah alih,” kata beliau sambil menambah bahawa Proton akan bekerjasama dengan Celcom bagi sistem e-kad SIM SUV.

Dijana dengan enjin 1.8 liter Turbo Gasoline Direct Injection (TGDI), Proton X70 akan menawarkan ciri-ciri keselamatan terkini, termasuk brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, sistem maklumat titik buta, amaran pertukaran lorong dan kawalan lampu tinggi pintar.

Encik Abdul Rashid berkata syarikat itu menerima sambutan yang menggalakkan daripada bakal pembeli sejak kenderaan berkenaan dibuka untuk tempahan pada 8 September, dan Proton komited untuk menyerahkan beberapa kenderaan itu pada tahun ini.

Beliau turut berkata tempahan secara dalam talian boleh dibuat mulai 17 Oktober.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan