Images
  • motorcycle

Premium COE motosikal sekali lagi catat harga rekod tertinggi

SINGAPURA: Premium Sijil Hak Milik Kenderaan (COE) ditutup bercampur-campur dalam bidaan terkini yang dikeluarkan hari ini (7 Feb). Namun harga COE bagi motosikal sekali lagi mencatat jumlah yang tinggi.

Premium motosikal ditutup pada S$8,451 berbanding S$8,001 pada bidaan sebelum ini. Harga tertinggi yang pernah dicatat sebelum ini adalah S$8,081 pada 29 Mac 2017.

Bagi Kategori A, untuk kereta 1,600cc ke bawah dengan kuasa kuda tidak melebihi 130bhp, premiumnya ditutup pada harga S$40,000 iaitu naik dari S$36,890 sebelum ini.

Premium bagi kereta-kereta besar dan berkuasa tinggi dalam Kategori B jatuh dari S$42,661 kepada S$42,322.

COE kategori terbuka, yang boleh digunakan untuk semua jenis kenderaan tetapi biasanya digunakan untuk kenderaan besar, jatuh dari S$44,000 kepada S$39,903.

COE bagi kenderaan komersil, termasuk kenderaan muatan dan bas, jatuh kepada S$38,303 dari S$39,000 dalam bidaan sebelum ini.

Sebanyak 6,429 bidaan diterima dan hanya 4,392 kuota disediakan.  

- CNA/SM/sm

Top