Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

PPIS, DPPMS lancar kursus asas niaga mikro khas untuk kaum Hawa

Satu program berstruktur yang menumpukan perhatian kepada usaha membina keupayaan pemilik perniagaan mikro dalam kalangan wanita tempatan dilancarkan hari ini (22 Jul), hasil kerjasama PPIS dan DPPMS.

Anggaran Waktu Membaca:
PPIS, DPPMS lancar kursus asas niaga mikro khas untuk kaum Hawa

Gambar fail barangan jualan HBB di gerai fizikal di Hab Tampines Kita pada Apr 2020 (Gambar: Afiqah Hussain/BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Satu program berstruktur yang menumpukan perhatian kepada usaha membina keupayaan pemilik perniagaan mikro dalam kalangan wanita tempatan dilancarkan hari ini (22 Jul).

Program Asas Perniagaan Mikro (MBFP) adalah hasil kerjasama antara Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dengan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dan disasarkan terutamanya kepada keluarga berpendapatan rendah atau yang terkesan secara ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Dalam satu kenyataan bersama pada Khamis (22 Jul), PPIS dan DPPMS menjelaskan bahawa program itu direka sedemikian rupa selepas trend berniaga kecil-kecilan dari rumah atau Home Based Business (HBB) menunjukkan peningkatan pada tahun lalu sedang ramai peniaga seumpama itu cuba menambah pendapatan masing-masing.

DPPMS mendapati lebih 1,400 pemilik HBB cuba mendapatkan bantuan pada April dan Mei tahun lalu semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Bilangan individu yang menceburi bidang HBB terus meningkat setelah sekatan-sekatan koronavirus dilonggarkan sekitar Jun, menurut DPPMS, dengan kebanyakannya memanfaatkan trend jual beli secara online dan modal lebih rendah untuk memulakan perniagaan di rumah.

"Namun trend HBB yang berkembang ini menekankan betapa perniagaan sedemikian perlu dilengkapi dengan pengetahuan yang tepat serta kemahiran pengurusan perniagaan yang baik untuk memastikan perjalanan keusahawanan mereka lebih cekap dan menguntungkan," menurut PPIS dan DPPMS dalam kenyataan bersama itu.

"Menerusi Program Asas Perniagaan Mikro (MBFP), DPPMS dan PPIS berharap untuk mempertingkatkan lagi keupayaan usahawan wanita menerusi siri bengkel agar mereka lebih cekap dalam topik-topik perniagaan yang penting dan terdedah kepada isu-isu penting bagi masyarakat perniagaan."

Program itu juga merupakan satu wadah untuk para usahawan HBB yang berjaya untuk menyumbang semula kepada masyarakat sebagai mentor, dengan harapan ia akan membangunkan sebuah ekosistem perniagaan mikro yang berkesan.

Presiden DPPMS Farid Khan berkata: "Pelancaran MBFP PPIS menjadi wadah untuk DPPMS menumpukan usaha kami untuk menyalurkan dengan tepat bantuan relevan kepada masyarakat perniagaan mikro dan membina keupayaan mereka untuk menubuhkan sebuah ekosistem yang berstruktur di Singapura."

Presiden PPIS Hazlina Abdul Halim pula berkata: "Kami berharap MBFP PPIS akan menggalak lebih ramai wanita untuk merebut peluang bagi merealisasikan aspirasi keusahawanan mereka atau menjadikannya sebagai ikhtiar untuk menyara kehidupan keluarga mereka sambil menjaga mereka di rumah."

Berikut adalah antara syarat-syarat penyertaan:

  1. Wanita warga Singapura atau Penduduk Tetap
  2. Sudah memiliki HBB yang beroperasi antara 0-2 tahun atau bercadang untuk memulakan HBB dalam masa enam bulan akan datang
  3. Perniagaan belum didaftarkan di ACRA
  4. Isi rumah berpendapatan rendah atau terjejas oleh pandemik COVID-19.

Mereka yang berminat boleh menyertai MBFP secara perseorangan atau secara berkumpulan, terhad kepada tiga anggota setiap satu.

Program tersebut akan dijalankan melalui tiga fasa dari Oktober hingga November, dengan tiga kumpulan paling cemerlang akan ditawarkan dana pemula oleh PPIS.

Maklumat lanjut boleh didapatkan secara online di pautan berikut https://www.protegekita.smcci.org.sg/ppis-microbusiness-foundation-programme.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan