Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pertumbuhan ekonomi S'pura susut kepada 0.7% dalam 2019

Ekonomi Singapura tumbuh 0.7 peratus tahun lalu, kelembapan ketara berbanding pertumbuhan 3.1 peratus pada 2018. Ini sekalipun ramalan kilat oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menunjukkan pertumbuhan lebih rancak pada suku keempat. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Jan 2020 09:27AM Dikemas Kini : 02 Jan 2020 09:36PM

SINGAPURA: Ekonomi Singapura tumbuh 0.7 peratus tahun lalu, kelembapan ketara berbanding pertumbuhan 3.1 peratus pada 2018. Ini sekalipun ramalan kilat oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menunjukkan pertumbuhan lebih rancak pada suku keempat.

Bagi tempoh tiga bulan terakhir 2019, Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) tumbuh 0.8 peratus daripada tempoh sama setahun lalu, naik berbanding pertumbuhan 0.7 peratus selepas disemak semula pada suku ketiga.

Ramalan awal suku keempat, sebahagian besarnya dihitung berdasarkan perangkaan yang dikumpul dalam dua bulan pertama suku tersebut, sejajar dengan ramalan Reuters.

Berdasarkan penyesuaian musiman secara tahunan dari suku-ke-suku, ekonomi tumbuh pada rentak lebih perlahan iaitu 0.1 peratus. Ini jauh lebih rendah berbanding pertumbuhan 2.4 peratus dalam suku sebelumnya dan di bawah jangkaan 0.4 peratus yang diramalkan para pakar ekonomi.

Ekonomi Singapura yang dipacu eksport beransur lembap pada 2019 di tengah-tengah perang perdagangan berlarutan antara Amerika dengan China serta kemerosotan dalam sektor elektronik.

Para penggubal dasar menyemak semula ramalan pertumbuhan ekonomi bagi keseluruhan tahun sebanyak tiga kali dan anggaran awal yang dikeluarkan pada Rabu (1 Jan) adalah di antara 0.5 peratus dengan 1 peratus.

Dalam amanat Tahun Baru beliau, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata Singapura telah terjejas oleh kelembapan ekonomi sejagat. Meskipun kemelesetan ekonomi dapat dielakkan tahun ini dan masih berkembang, ia tumbuh "lebih perlahan daripada yang kita inginkan".

Belanjawan yang bakal dibentangkan akan meliputi langkah-langkah sokongan bagi perniagaan untuk meningkatkan daya pengeluaran dan untuk para pekerja menjalani latihan semula selain membantu keluarga-keluarga menampung kos hidup.

Dalam satu amanat Tahun Baru yang berasingan, penolong pertama setiausaha agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) Heng Swee Keat juga menarik perhatian akan keprihatinan berhubung kelembapan ekonomi serta ketidaktentuan global yang kian meningkat.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan