Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pertikaian Kashmir cetus ketegangan dagangan minyak sawit M'sia-India

Sektor gergasi minyak kelapa sawit Malaysia kini menghadapi satu lagi ancaman setelah para pedagang India diarah menghentikan pembelian, di tengah-tengah pertikaian diplomatik berhubung Kashmir.

Anggaran Waktu Membaca:
Pertikaian Kashmir cetus ketegangan dagangan minyak sawit M'sia-India

Ladang kelapa sawit di Asia Tenggara. (Gambar: AFP/Romeo Gacad)

Diterbitkan : 27 Oct 2019 03:31PM Dikemas Kini : 27 Oct 2019 03:37PM

KUALA LUMPUR: Sektor gergasi minyak kelapa sawit Malaysia kini menghadapi satu lagi ancaman setelah para pedagang India diarah menghentikan pembelian, di tengah-tengah pertikaian diplomatik berhubung Kashmir.

Langkah tersebut menambah tekanan yang dihadapi industri tersebut sedang pasaran Eropah turut merancang untuk mengurangkan pembelian.

Malaysia adalah pengeluar kedua terbesar selepas Indonesia bagi kelapa sawit, yang dikritik golongan pelindung alam sekitar sebagai pendorong kemusnahan hutan.

Dengan syarikat-syarikat Barat mengurangkan penggunaan komoditi tersebut, kedua-dua pengeluar terbesar itu semakin bergantung kepada permintaan India dan China.

Namun, ucapan yang dibuat Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) bulan lalu yang menyebut bahawa New Delhi "menceroboh dan menjajah" Kashmir, mencetuskan tindak balas dari India yang boleh menjejas teruk sektor minyak kelapa sawit.

Warga majoriti Muslim Malaysia bersimpati terhadap penduduk Kashmir setelah pemerintah nasionalis Hindu New Delhi melucutkan status autonomi bagi wilayah majoriti Muslim itu pada Ogos dan mengenakan tindakan keras untuk mengekang pergolakan.

Kashmir dibahagi dua di bawah pentadbiran India dan Pakistan sejak 1947. Sejak itu beberapa peperangan dan pertempuran tercetus antara kedua-dua negara berhubung wilayah dipertikai itu.

Ucapan Dr Mahathir mencetuskan seruan oleh warga India untuk memboikot produk Malaysia. Terdapat desas-desus bahawa New Delhi akan menaikkan cukai tarif ke atas minyak kelapa sawit Malaysia.

Awal minggu ini, satu badan besar perdagangan minyak sayuran di India menyeru 875 anggotanya untuk mengelak daripada membeli minyak kelapa sawit dari Malaysia sambil menyatakan pihak pemerintah sedang merancang langkah tindak balas.

PASARAN BERNILAI BERBILION DOLAR

Ia satu tamparan hebat buat Malaysia kerana India adalah pasaran ketiga terbesar minyak dan produk minyak kelapa sawit negara itu pada 2018, bernilai RM6.84 bilion (S$2.3 bilion)

Ia cabaran terbaru sektor di Malaysia itu setelah Kesatuan Eropah sebelum ini mengumumkan akan secara bertahap mengeluarkan minyak kelapa sawit daripada kategori bahan bakar bio menjelang 2030.

Malaysia dan Indonesia berikrar membantah tindakan itu, sambil menyatakan ia boleh menjejas kehidupan jutaan petani berskala kecil.

"KITA BERCAKAP JUJUR"

Meskipun di tengah-tengah ketegangan, Dr Mahathir tidak menunjukkan sebarang kekesalan di atas ucapannya. Malah minggu lalu beliau dilaporkan berkata kepada para wartawan: "Kita bercakap ... secara jujur dan tidak menarik balik atau berbolak-balik."

Dengan api kemarahan berbaur nasionalis semakin membuak di India, pertikaian ini tidak dijangkakan dapat dileraikan dalam masa terdekat.

"Ia bukan sekadar isu minyak kelapa sawit," James Chin, seorang pakar ehwal malaysia di Universiti Tasmania memberitahu AFP.

"Ia berhubung kait dengan ego ... dan sifat nasionalis." 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan