Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pertama kali Kampong Gelam sertai Jualan Raksasa S'pura, banyak kegiatan menarik dirancang

Sekitar 200 peruncit - iaitu sepertiga daripada sekitar 600 perniagaan di kawasan Kampong Gelam - akan ikut serta dalam kempen jualan murah itu tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buat pertama kalinya tahun ini kawasan Kampong Gelam akan menyertai kempen Jualan Raksasa Singapura ke-26. Jualan Raksasa Singapura bermula esok (21 Jun) dan berlangsung sehingga 28 Julai.

Sekitar 200 peruncit - iaitu sepertiga daripada sekitar 600 perniagaan di kawasan Kampong Gelam - akan ikut serta dalam kempen jualan murah itu tahun ini.

Sebelum ini, Orchard Road menjadi lokasi utama beli-belah ketika musim Jualan Raksasa. Namun tahun ini ia diluaskan ke kawasan Kampong Gelam.

Jualan Raksasa di kawasan Kampong Gelam yang diberi nama 'Experience Kampong Gelam' atau Nikmati Kampong Gelam, hanya berlangsung selama 10 hari - dari 5 Julai sehingga 14 Julai.

Selain menawarkan potongan harga, para pengunjung berpeluang menikmati keindahan dan mengenali sejarah Kampong Gelam.

Setiap hari sepanjang tempoh 10 hari tersebut, enam lorong di sekitar kawasan Kampong Gelam bakal 'hidup' dengan pelbagai kegiatan buat pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.

Bali Lane, Haji Lane, Arab Street, Bussorah Street, Kandahar Street dan Baghdad Street menyajikan pelbagai hidangan lazat, pasar lambak, pertunjukan muzik serta fesyen.

Dengan penyertaan Kampong Gelam ke dalam GSS:ES (GSS: Experience Singapore)ia diharap dapat mengajak para pengunjung - baik warga tempatan mahupun pelancong untuk meraikan salah satu daerah kejiranan tertua di Singapura.

Ini selain menikmati keindahan seni dan budaya, keenakan makanan serta keseronokan membeli-belah di sana.

"Kampong Gelam mempunyai daya tarikan tersendiri. Malah ia merupakan kawasan kejiranan tertua di Singapura. Kami berasa ia menonjolkan warisan, sejarah, daya tarikan serta ciri-ciri kompolitan yang dapat menarik para penduduk tempatan dan juga pelancong," tambah Cik Rose Tong, Pengarah Eksekutif Persatuan Peruncit Singapura (SRA).

Sepanjang tempoh 10 hari itu nanti, para pengunjung boleh menjangkakan program-program seperti Jejak Kawasan Kampong Gelam (KG Precint Tours), di mana anda berpeluang menaiki vespa atau basikal untuk meneroka kawasan yang pernah menempatkan istana raja Melayu Singapura.

ADA PERTUNJUKAN FESYEN DIGAYAKAN 30 MODEL

Selain itu, terdapat pertunjukan muzik dari NADI Singapura dan Ekamatra serta kumpulan-kumpulan teater di Pusat Seni Aliwal.

Jika anda teringin hendak memakan kudap-kudapan, bolehlah mencuba beraneka hidangan tradisional seperti sate dan kuih-muih di trak-trak makanan yang disediakan di Kandahar Street.

Bagi yang gemar kepada kraftangan unik atau barangan antik, terdapat pasar lambak yang boleh membuat anda rambang mata.

Mungkin satu program yang akan mencuri perhatian anda nanti adalah pertunjukan fesyen ekstravaganza 'ProjekGlamway', di mana 30 model akan menggayakan rekaan-rekaan daripada para pereka tempatan, yang menggunakan fabrik-fabrik yang diperolehi dari kedai-kedai di sekitar Kampong Gelam.

"Kita mengharapkan pengunjung dapat menikmati pengalaman yang berlainan. Bererti pengalaman keseluruhan dari segi makan minum, pembelian pakaian dan juga interaksi bersama orang muda, keluarga dan juga teman-teman," anggota Majlis Kampong Gelam, Omar Alattas memberitahu BERITAmediacorp.

Anggota Majlis Kampong Gelam, Omar Alattas.

GSS:ES - SEGALA-GALANYA MENGENAI 'SINGAPURA'

Jualan Raksasa kali ini pastinya satu pengalaman yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Disebabkan itulah namanya juga digantikan daripada Jualan Raksasa Singapura (GSS) kepada Jualan Raksasa Singapura: Experience Singapore (GSS:ES). Ini bagi mencerminkan hala tuju kempen Jualan Raksasa Singapura itu pada masa akan datang.

Pihak penganjur enggan ia dilihat sebagai sekadar sesi membeli belah seperti tahun-tahun sebelumnya.

Gambar hiasan. (Gambar: Lin Yanqin)

Setelah meneliti dapatan tinjauan yang dibuat ke atas GSS sejak 25 tahun lalu, pihak penganjur mahu para pengunjung merasakan pengalaman yang jauh lebih menyeluruh, yang segala-galanya mengenai 'Singapura'.

Lantaran itu, buat pertama kalinya juga SRA bekerjasama dengan lagi empat agensi tempatan untuk mencapai objektif tersebut.

Kelima-lima agensi itu adalah Persatuan Peruncit Singapura (SRA), One Kampong Gelam (OKG), Persatuan Perniagaan Orchard Road (ORBA), Persatuan Restoran Singapura (RAS) dan Majlis Industri Perabot Singapura (SFIC).

"Kami menyedari bahawa membeli-belah adalah satu pengalaman sosial. Terdapat elemen hiburan dan makanan. Kita perlu meneroka. Jadi kerjasama dengan rakan-rakan kami ini mungkin Jualan Raksasa sebagai satu Pengalaman Singapura," kata Cik Tong.

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Seiring dengan keinginan untuk menonjolkan pengalaman lebih 'Singapura' itu, kempen Jualan Raksasa kali ini menonjolkan para pereka, peniaga, makanan, kegiatan tempatan.

Ini juga diharap dapat mengetengahkan identiti Singapura ke mata dunia selain menjadi daya tarikan bagi para pelancong yang tentunya mahukan pengalaman yang tidak dapat diperolehi di negara mereka sendiri.

"Amat baik sekali kempen Jualan Raksasa Singapura atau GSS mempunyai warisan selama 25 tahun. Kami rasa platform ini satu-satunya yang membolehkan para peruncit bersatu dan untuk kami pergiat usaha mengetengahkan identiti Singapura, jenama Singapura, pereka Singapura ke depan," jelas Cik Tong.

Pengarah Eksekutif Persatuan Peruncit Singapura (SRA), Rose Tong.

Jualan Raksasa Singapura bermula esok dengan pertunjukan fesyen dan 'flashmob' gah melibatkan sekitar 300 orang di tengah-tengah jalan raya.

JUALAN RAKSASA SERTAKAN KAWASAN GEYLANG SERAI PULA?

Apabila ditanya BERITAmediacorp adakah GSS:ES akan juga diluaskan bagi meliputi kawasan-kawasan lain di Singapura khususnya kawasan Geylang Serai - yang termasuk Joo Chiat Complex, City Plaza dan Tanjong Katong Complex - Cik Tong tidak menolak kemungkinan itu.

"Dengan pelaksanaan Experience Singapore, mengapa tidak! Kita tidak akan berhenti setakat di Kampong Gelam sahaja.

"Mungkin kita boleh juga ke Little India, di semua kawasan lain kerana Experience Singapore adalah tentang seluruh Singapura, bukan satu kawasan sahaja," tambah beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan