Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Perniagaan terjejas selepas S'pore Flyer ditutup lebih 2 bulan susuli isu teknikal

Sebilangan perniagaan di Singapore Flyer mengalami kerugian setelah roda raksasa itu tidak beroperasi selama lebih dua bulan akibat masalah teknikal.

Anggaran Waktu Membaca:
Perniagaan terjejas selepas S'pore Flyer ditutup lebih 2 bulan susuli isu teknikal

Singapore Flyer. (Gambar fail: Siti Nur Mas Lina)

Diterbitkan : 25 Jan 2020 10:09AM Dikemas Kini : 25 Jan 2020 10:12AM

SINGAPURA: Sebilangan perniagaan di Singapore Flyer mengalami kerugian setelah roda raksasa itu tidak beroperasi selama lebih dua bulan akibat masalah teknikal.

Tempoh penggantungan itu adalah antara paling panjang bagi Singapore Flyer, yang dibuka pada 2008.

Operasi Singapore Flyer digantung pada 19 Nov tahun lalu setelah pasukan penyenggaraan mengesan isu teknikal pada salah satu kabelnya.

Lawatan Mediacorp ke Singapore Flyer pada Rabu (22 Jan) mendapati roda gergasi itu masih ditutup, meskipun kedai-kedai dan restoran di bangunan Singapore Flyer masih dibuka kepada orang ramai.

Seawal permulaan tahun 2018, satu lagi isu teknikal dikesan yang menyebabkan operasi Singapore Flyer digantung selama lebih dua bulan.

Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) memberitahu Mediacorp pada Khamis (23 Jan) bahawa siasatan masih dijalankan berhubung masalah teknikal yang terkini.

"Roda raksasa itu akan ditutup sehingga siasatan selesai dijalankan dan pihak pengendali selesai menjalankan kerja-kerja pembaikan sewajarnya seperti yang disarankan oleh jurutera profesional, jika ada, mengikut piawai BCA," kata jurucakap berkenaan.

Namun, tidak jelas bila daya tarikan itu akan dibuka semula namun seorang jurucakap bagi Singapore Flyer mengatakan pakar-pakar bertauliah sedang membantu mencari kabel ganti yang sesuai.

HASIL PENJUALAN MENJUNAM

Penggantungan itu juga menyebabkan jumlah pengunjung ke Singapore Flyer semakin berkurangan dan sebilangan perniagaan memberitahu Mediacorp bahawa hasil penjualan mereka merosot sebanyak 50 peratus atau lebih.

Perniagaan di restoran makanan India, Bhandari's Saffron Dining and Event merosot sebanyak 30 hingga 50 peratus, menurut pengurus restoran Siti Zulaiha.

Kumpulan-kumpulan pelancong merupakan antara pelanggan restoran berkenaan. Jika dahulu restoran itu menerima antara 500 dengan 600 pelancong setiap hari bagi jamuan tengah hari dan makan malam, sekarang ia hanya menerima sekitar 200 pelancong.

Bagi membantu meringankan beban, Cik Siti mengatakan pihak pengurusan Singapore Flyer akan mengurangkan kos sewa semasa tempoh penggantungan itu.

SATU KEHAMPAAN BAGI PARA PELANCONG

Para pelancong mengatakan mereka kecewa akan khabar penggantungan operasi Singapore Flyer.

Meskipun terdapat kenyataan mengenai penggantungan itu di laman dan akaun Facebook Singapore Flyer, sesetengah pengunjung hanya mengetahui tentang penggantungan itu apabila mereka tiba di lokasi.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menyatakan ia sedang memantau perkembangan di Singapore Flyer.

Apabila ditanya jika agensi itu prihatin sekiranya penggantungan operasi roda raksasa berkenaan akan menjejas sektor pelancongan Singapura, pengarah eksekutif daya tarikan, hiburan dan pembangunan konsep pelancongan STB Cik Jean Ng mengatakan kedatangan pengunjung masih mencatatkan pertumbuhan yang baik.

Sedang Singapore Flyer adalah sebuah daya tarikan yang dikenali ramai, Cik Ng mengatakan Singapura menawarkan banyak daya tarikan lain bagi memenuhi pelbagai minat serta beberapa lagi daya tarikan baru dan segar yang masih dalam perancangan.

Sementara itu, Singapore Flyer menyatakan ia sudahpun melantik seorang jurutera profesional dan mendapatkan khidmat beberapa konsultan teknikal dan pembekal kabel.

Menurutnya lagi, mereka sedang menyiasat hal tersebut dan memberi nasihat berhubung kerja-kerja pembaikan.

Seorang jurucakap bagi Singapore Flyer menambah siasatan dan ujian awal mendedahkan beberapa masalah teknikal yang menjejas bahagian kecil lapisan luar salah satu kabel.

Menurut jurucakap berkenaan, Singapore Flyer sedang mencari kabel ganti yang sesuai bagi kabel tersebut meskipun ia tidak membawa kepada keprihatinan keselamatan atau struktur. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan