Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Perniagaan F&B diberi bantuan tambahan di bawah JSS susuli langkah COVID-19 diperketat

Bantuan Skim Sokongan Pekerjaan bagi perniagaan F&B akan dinaikkan kepada 50%, selain wang sewa juga diketepikan sebulan.

Anggaran Waktu Membaca:
Perniagaan F&B diberi bantuan tambahan di bawah JSS susuli langkah COVID-19 diperketat

(Gambar fail: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 14 May 2021 04:47PM Dikemas Kini : 14 May 2021 05:02PM

SINGAPURA: Pemerintah akan menambah sokongan bagi perniagaan F&B di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) kepada 50 peratus, menyusuli pengumuman bahawa makan di kedai tidak lagi akan dibenarkan bermula Ahad (16 Mei).

Jumlah bantuan ini adalah satu kenaikan berbanding sokongan 10 peratus gaji yang dibayar hingga Jun 2021.

Bercakap di sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 pada Jumaat, Menteri Pendidikan Lawrence Wong berkata: "Kami sedar bahawa ini akan menimbulkan banyak kesulitan bagi ramai orang. Saya rasa perniagaan yang paling teruk terjejas ialah sektor F&B kerana sekatan makan di kedai."

Sokongan yang ditambah ini hanya akan dilaksanakan semasa tempoh larangan makan di kedai dikuat kuasakan, tambahnya.

Encik Wong juga mengumumkan saiz perhimpunan sosial dikurangkan dari lima orang kepada hanya dua sahaja semasa sidang media itu.

Makan di premis F&B tidak akan dibenarkan, kata Encik Wong termasuk di pusat penjaja dan pusat makanan, di dalam mahupun luar bangunan.

Langkah-langkah tersebut akan dilaksanakan selama sebulan antara 16 Mei hingga 13 Jun, dan Pemerintah akan menyemak semula keadaan dua minggu setelah langkah-langkah dikuat kuasakan.

Dalam satu kenyataan media berasingan, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan Pemerintah akan meningkatkan kadar sokongan JSS kepada 50 peratus daripada S$4,600 pertama gaji bulanan kasar yang dibayar kepada pekerja tempatan untuk tempoh tersebut.

"Ini adalah kenaikan daripada sokongan 10 peratus untuk gaji yang dibayar hingga Jun 2021," menurut kenyataan itu.

SEWA DIKETEPIKAN

Pemerintah juga akan memberikan pengecualian sewa sebulan bagi gerai penjaja dan penyewa di kedai kopi agensi Pemerintah, kata Encik Wong.

"Kami juga sangat mendorong pemilik hartanah komersil supaya menyokong penyewa F&B mereka," tambahnya.

Menjawab sama ada Pemerintah menjangkakan kesan ke atas perniagaan F&B sebanding atau lebih teruk daripada semasa tempoh "pemutus rantaian jangkitan" tahun lalu, Encik Wong menjawab; "sukar untuk diramalkan".

"Kami akan terus memantau hal ini dengan teliti tetapi kami percaya dengan langkah-langkah sokongan, kami dapat melakukan sesuatu untuk membantu perniagaan yang terjejas."

JSS pertama kali diperkenalkan dalam Belanjawan pada Februari 2020, dan memberi subsidi antara 25 hingga 75 peratus gaji untuk perniagaan.

Semasa ucapan Belanjawannya awal tahun ini, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat mengumumkan pelanjutan keempat skim itu, yang menelan belanja S$700 juta. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan