Images
  • novena square
    Velocity@Novena Square. (Gambar fail: Cindy Co)

Perniagaan di sekitar kawasan Novena terjejas, pelanggan batalkan janji temu; bimbang kelompok COVID-19 TTSH

SINGAPURA: Beberapa perniagaan di kawasan Novena menyatakan penjualan merosot sejak beberapa hari kebelakangan ini kerana sesetengah pelanggan memilih untuk tidak melanggani pusat-pusat beli-belah berdekatan dengan Hospital Tan Tock Seng (TTSH) di mana munculnya kelompok terbesar COVID-19 di Singapura.

Terdapat 35 kes yang berhubung kait dengan kelompok itu setakat Isnin (2 Mei). Seorang jururawat yang bekerja di Wad 9D diuji positif pada 27 Apr. Sedari itu, beberapa kakitangan hospital, pesakit dan pelawat juga disahkan positif koronavirus itu.

Empat wad di hospital itu sudahpun ditutup.

Apabila CNA mengunjungi Velocity @ Novena Square pada 1.00 tengah hari tadi (3 Mei), pusat makanannya hanya sekitar 70 peratus penuh.

Meskipun keadaan agak sibuk di aras bawah pusat beli-belah itu, di mana terletaknya cawangan-cawangan makanan dan minuman, keadaanya agak sepi di tingkat-tingkat atas.

Para perniaga yang ditemui CNA menyatakan kelibat pelanggan kurang sedikit sejak keluar berita mengenai kemunculan kelompok TTSH.

Cawangan kedai cermin mata Better Vision di Novena menyaksikan penurunan sekitar 60 peratus pelanggan sepanjang cuti hujung minggu sempena Hari Buruh berbanding hujung minggu sebelumnya.

Perniagaan "tidak sama" sejak keluar berita tentang kelompok itu, kata Encik Wynn Lee, pemilik salon rambut The Vogue.

Encik Lee berkata sebanyak 40 peratus pelanggannya membuat panggilan untuk membatalkan janji temu mereka yang dijadualkan pada Isnin. Sesetengah daripada pelanggan beliau juga menyuarakan keprihatinan tentang kelompok TTSH sebagai sebab membatalkan janji temu.

Meskipun "risau", Encik Lee berkata keadaan itu di luar kawalannya.

Beliau juga tidak merancang untuk mengetatkan langkah-langkah lain selain daftar masuk SafeEntry memandangkan Pemerintah belum mengumumkan sebarang langkah baru.

Encik Joe Chen, pemilik kedai Frida yang menjual pakaian, beg dan aksesori wanita, berkata beliau menerima panggilan daripada para pelanggan tetap untuk memeriksa sama ada keadaan baik-baik sahaja.

Bagaimanapun, tambah beliau, tidak ada banyak perubahan dari segi jumlah pelanggan.

"Tentunya saya bimbang, pertama sekali tentang perniagaan kerana kami sangat dekat dengan Hospital Tan Tock Seng," kata Encik Chen yang menarik perhatian bahawa perniagaannya sebelum ini pernah cuba untuk beroperasi secara online tetapi tidak begitu berjaya.

Cawangan aiskrim Udder, yang terletak betul-betul di luar pusat beli-belah United Square, turut prihatin.

Pengarahnya Wong Peck Lin berkata beliau tidak melihat perubahan yang "sangat ketara" kerana ia masih baru lagi. Beliau menambah faktor-faktor lain mungkin menjejas penjualan seperti cuaca hujan atau cuti sekolah.

Sekolah ditutup pada Isnin sempena cuti Hari Buruh.

Namun, beliau "agak khuatir" bahawa kelompok TTSH akan menjejas perniagaan kerana beliau tidak pasti bagaimana keadaan itu akan berubah. Sekiranya jumlah kes terus meningkat, ia akan akhirnya menjejas perniagaan di seluruh negara.

Udders sudahpun melaksanakan "langkah-langkah jarak selamat amat ketat" di cawangan-cawangannya, kata Cik Wong. Ini termasuk pemeriksaan berkala, pengambilan suhu badan, daftar masuk SafeEntry dan "menguatkuasakan secara ketat" jarak selamat antara kumpulan-kumpulan pelanggan.

Oleh itu, langkah-langkah lanjut "tidak diperlukan" buat masa ini, tambah beliau.

Sebagai respons kepada pertanyaan CNA, UOL Group, yang mengendalikan kedua-dua Velocity @ Novena Square dan United Square, menyatakan ia sudah mengerahkan "sumber-sumber tambahan" untuk menguatkuasakan langkah-langkah jarak selamat dan mengurangkan had kapasiti di dalam pusat beli-belah.

“UOL mengeluarkan peringatan pada Jumaat lalu kepada semua penyewa kami, kedai dan pejabat, untuk memantau kesihatan mereka serta memastikan pematuhan langkah-langkah selamat yang sudahpun dikuat kuasakan termasuk SafeEntry dan catatan suhu badan bagi semua pengunjung pada setiap masa," kata seorang jurucakap UOL.

“Kami juga sudah meningkatkan kekerapan jadual pembersihan kami dan memastikan cecair pembasmi kuman disediakan di pintu-pintu masuk, kaunter serta lif."

Jurucakap itu menambah UOL akan terus kekal berwaspada demi melindungi kesihatan dan keselamatan para pembeli serta pengunjung.  

- CNA/FZ/fz

Top