Images

Perniagaan di Geylang Serai dijangka lebih baik Ramadan ini

BERITAmediacorp: Peniaga di Geylang Serai lebih yakin perniagaan mereka sepanjang Ramadan ini kembali pulih daripada kesan COVID-19.

Tinjauan kami ke atas peniaga di Geylang mendapati mereka optimis ada peluang untuk meraih jualan lebih baik meski berdepan persaingan daripada e-dagang.

Menurut para peniaga yang ditemui, suasana di dalam Joo Chiat Complex hampir seperti sebelum pandemik COVID-19 semasa hujung minggu cuti Good Friday (2-4 Apr).


Mereka berharap keadaan itu akan berterusan sepanjang Ramadan akan datang meskipun bazar raya sekali lagi diadakan secara maya.

"Hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, suasana begitu 'bertenaga', jumlah pengunjung tiga kali ganda banyaknya. Memang ramai pengunjung," kata Cik Bibiq dari butik RH Fashion.

Pekedai lain yang kami temui turut meluahkan rasa positif mereka bagi Ramadan akan datang.

"Walaupun sekarang dalam keadaan COVID-19, mudah-mudahan jualan akan lebih baik. Kami harus berfikiran positif," kata Cik Kurnia Hartika Abdul Rashid dari butik Hanul.

Cik Juriana Mohammed dari Pesona Silk Collection pula berkata "Saya rasa jualan pada Ramadan tahun ini agaknya naik sikitlah."

Justeru, mereka tidak mahu melepaskan peluang dengan menawarkan promosi jualan Ramadan.

JUALAN HANYA S$50, S$100 SEHARI SELEPAS 'CIRCUIT BREAKER'

Antaranya ialah Cik Faikha Yahiya, 60-an tahun yang perniagaannya terjejas teruk akibat tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 tahun lalu.


"Lepas empat bulan itu (selepas kedai dibuka semula), perniagaan sangat teruk. 20 peratus saya nak cakap pun kata orang kita duduk saja. Satu hari tak ada jualan pun. Kadang-kadang jualan, S$100, kadang-kadang S$50," kata Cik Faikha, yang sudah lebih 30 tahun dalam dunia perniagaan.

Cik Faikha sudah berniaga di Joo Chiat Complex sejak 12 tahun lalu menjual pakaian Melayu dan muslimah.


Sebelum pandemik COVID-19, butiknya menikmati perniagaan rancak mencecah ribuan dolar setiap menjelangnya Ramadan.

Tahun ini beliau menjangkakan mampu memperoleh keuntungan sekitar 20 hingga 30 peratus.

LAKAR STRATEGI KHAS UNTUK HADAPI KESIBUKAN RAMADAN

Bagi restoran Walaku, jika Ramadan lalu, ia hanya dapat melakukan penghantaran makanan ke rumah sahaja, tahun ini ia turut menerima pelanggan untuk berbuka di restorannya di Joo Chiat Road.


Sepanjang minggu ini, kakitangan Walaku sibuk memastikan langkah-langkah pengurusan selamat dipatuhi selain memperkenalkan sistem pesanan makanan dan tempahan slot di restoran.

"Kami buat tempahan sepenuhnya supaya boleh mengawal jumlah pelanggan dan mengelakkan beratur panjang. Kerana keterbatasan kapasiti tempat duduk, jadi saya akan ada dua sesi," kata pemiliknya, Encik Hairul Hidayat Isa, 38 tahun.


Bagi Ramadan tahun ini, Encik Hairul juga akan mengenakan had tempoh makan di kedainya iaitu sehingga 90 minit buat setiap sesi tempahan. Ini bagi memberi peluang kepada pelanggan lain untuk duduk berbuka.

Bagi melancarkan lagi pengurusan dan waktu makanan disediakan di restorannya, Encik Hairul akan mengurangkan pilihan menu makanan ala 'fusion', barat dan laut daripada 40 hingga kepada 12 sahaja.

Menu bagi khidmat penghantaran juga dikurangkan kepada lima hidangan sahaja. Ini supaya makanan dapat disiapkan dengan lebih pantas dan pelanggan tidak perlu menunggu lama.


Bagi Encik Hairul, pengalaman tahun lalu dijadikan iktibar untuk beliau bangkit dengan penuh yakin diri.

"Saya percaya, hari-hari sukar kami sudah berlalu berbanding detik-detik awal pandemik COVID-19 melanda Singapura," ujar Encik Hairul. 

- BERITAmediacorp/nk

Top