Images
  • sg covid crowd
    (Gambar fail: Calvin Oh)

Permohonan Geran Pemulihan COVID-19 (Sementara) dilanjutkan sehingga 31 Ogos

SINGAPURA: Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) melanjutkan tempoh permohonan bagi Geran Pemulihan COVID-19 (Sementara), atau CRG-T sehingga 31 Ogos 2021.

Ini dibuat untuk menghulurkan bantuan kepada lebih ramai individu yang terjejas oleh langkah-langkah COVID-19 sedia ada.

Demikian dikongsi oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli melalui satu catatan di Facebook pada Jumaat (6 Ogos).

Menurut Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, CRG-T melengkapkan Geran Pemulihan COVID-19 (CRG) sedia.

CRG-T adalah bentuk bantuan kepada pekerja dan individu bekerja sendiri yang perlu menjalani cuti tanpa gaji tanpa rela atau mengalami kehilangan mata pencarian dari 16 Mei sehingga 31 Ogos.

Memberikan kemas kini, beliau berkongsi bahawa setakat 18 Julai, sekitar 21,000 individu disokong di bawah CRG manakala kira-kira 8.900 individu pula menerima sokongan melalui CRG-T.

Salah seorang penerima CRG-T ialah Encik Chan Meng San yang bekerja sebagai seorang pelayan di restoran.

Encik Chan diletakkan di bawah cuti tanpa gaji (NPL) semasa tempoh Kewaspadaan Dipertingkat apabila duduk makan di luar tidak dibenarkan. Selepas terbaca tentang CRG-T di surat khabar, lelaki berusia 65 tahun itu memohon untuk geran tersebut dan menerima S$700 melalui CRG-T untuk bulan Jun 2021.

"Menyediakan dokumen sokongan anda terlebih dahulu akan membuatkan prosesnya berjalan lebih lancar. MSF akan secara automatik mengakses data yang tersedia seperti kewarganegaraan pemohon dan pendapatan isi rumah jadi pemohon hanya perlu menyerahkan dokumen sokongan mengenai kehilangan pendapatan atau NPL tanpa rela," menurut Encik Masagos.

Para pekerja boleh menyediakan surat majikan untuk membuktikan mereka kehilangan pendapatan. Bagi individu bekerja sendiri pula, mereka dikehendaki untuk mengisytiharkan Pendapatan Perdagangan Bersih (NTI) sama ada pada 2019 atau 2020 dan menyerahkan dokumen sokongan berkaitan pekerjaan mereka seperti lesen perdagangan sah, kontrak bagi perkhidmatan serta senarai pelibatan klien.

Encik Masagos juga menarik perhatian bahawa beliau faham sesetengah pemohon berasa kecewa kerana permohonan tidak berjaya. Maka itu, beliau berkongsi beberapa sebab biasa yang menyebabkan kegagalan permohonan CRG-T,seperti dijelaskan oleh rakan-rakan sekerjanya dari MSF.

Dua sebab yang dipetik Encik Masagos adalah:

(i) Tidak memenuhi kriteria kelayakan bahawa mereka mengalami kehilangan pendapatan sekurang-kurangnya 50 peratus atau

(ii) Melebihi kriteri pendapatan isi rumah atau pendapatan per kapita

"CRG-T bertujuan menyediakan sokongan bersasar untuk keluarga berpendapatan rendah terutama individu yang mengalami kehilangan mata pencarian," jelas Encik Masagos.

"Bagi mereka yang tidak layak dan memerlukan bantuan, sila hampiri Pejabat Perkhidmatan Sosial (SSO) berdekatan anda (go.gov.sg/ssolocator) dan rakan-rakan sekerja kami akan mencuba sedaya upaya mereka untuk menolong anda," tambah beliau lanjut.

Dalam pada itu, Encik Masagos juga mengajak semua saling menjaga satu sama lain dan kekal selamat sepanjang tempoh Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) ini. 

- BERITAmediacorp/FZ/fz

Top