Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Permintaan bagi khidmat bersih rumah sambilan meningkat di tengah COVID-19

Sebilangan majikan dapati khidmat pembersihan sambilan lebih sesuai berbanding menggajikan amah yang tinggal serumah.

Anggaran Waktu Membaca:
Permintaan bagi khidmat bersih rumah sambilan meningkat di tengah COVID-19

Gambar fail.

Diterbitkan : 06 Sep 2021 08:06AM Dikemas Kini : 06 Sep 2021 10:05AM

SINGAPURA: Lewat tahun lalu, Encik Marcus Lim menghubungi empat syarikat pembersihan untuk bertanya tentang perkhidmatan pembersihan rumah separuh masa. Hanya dua syarikat yang menghubunginya semula.

Lelaki berusia 38 tahun itu mahu seorang pekerja untuk datang dua minggu sekali untuk membersihkan rumahnya, namun syarikat-syarikat yang dihubungi memberitahunya mereka tidak cukup tenaga kerja. Mereka juga hanya akan mengambil tempahan itu sekiranya beliau memerlukan khidmat pembersihan mingguan.

"Saya tidak tahu apa maksudnya. Saya rasa mereka mahukan pelanggan tetap,” katanya.

Encik Lim, yang bekerja dalam industri media, berkata beliau kemudian bertanya kenalan-kenalannya dan berjaya mengupah seorang wanita Singapura untuk membersihkan rumahnya dua kali sebulan.

Permintaan bagi khidmat pembersihan rumah meningkat, dengan sebilangan syarikat melaporkan lonjakan 20 hingga 50 peratus sejak pandemik COVID-19 bermula.

Syarikat pembersihan Nimbus mencatat "lonjakan hampir 50 peratus", sebahagian besarnya didorong oleh aturan bekerja dari rumah dan lebih ramai orang duduk di rumah, kata pengasas dan CEO, Daniel Thong.

Syarikat ini mempunyai anak syarikat, Rooma, yang menawarkan khidmat pembersihan rumah mengikut permintaan dan pembersihan separuh masa

SKIM KHIDMAT ISI RUMAH

Satu lagi firma, Ministry of Clean, telah menyaksikan peningkatan permintaan lebih sederhana sekitar 20 peratus bagi khidmat pembersihan rumah.

Sebahagian daripada permintaan itu terdiri daripada khidmat pembersihan setelah pekerja asing meninggalkan Singapura, atau pembersihan secara sekali-sekala sementara sesebuah keluarga menunggu pembantu rumah yang mereka gajikan untuk tiba, kata pengarah Rio Goh.

Ekoran sekatan sempadan, ketibaan pekerja rumah hijrahan tertangguh bagi banyak keluarga di sini.

Permintaan juga meningkat bagi khidmat pembasmian kuman, termasuk khidmat pembasmian kuman kendiri di rumah, tambah firma itu.

Kedua-dua Nimbus dan Ministry of Clean berada di bawah Skim Khidmat Isi Rumah. Kementerian Tenaga Manusia (MOM) merasmikan skim tersebut pada 1 September dan mengekalkannya.

Skim ini dilancarkan sebagai perintis pada 2017 dengan 15 syarikat. Kini, terdapat 76 syarikat peserta yang menyediakan khidmat pembersihan rumah kepada lebih 10,000 isi rumah, kata MOM.

Syarikat-syarikat itu dibenarkan untuk mengambil pekerja wanita dari India, Myanmar, Sri Lanka, dan Thailand, sebagai tambahan kepada negara-negara atau wilayah yang telah diluluskan untuk sektor perkhidmatan. Kemboja akan ditambahkan ke senarai negara yang diluluskan pada Rabu (8 Sep).

Syarikat-syarikat di bawah Skim Khidmat Isi Rumah juga boleh memohon permit kerja tambahan untuk mengambil lebih ramai pekerja.

LEBIH SESUAI DARIPADA AMAH TINGGAL SERUMAH

Pengarah pengembangan perniagaan Clean Lab, Encik Kelvin Chang berkata syarikatnya juga menyaksikan permintaan meningkat 50 peratus.Sebilangan besar pelanggannya terdiri daripada mereka yang tidak dapat menggajikan atau tidak melihat keperluan mempunyai pembantu rumah yang tinggal bersama.

Terdapat juga pelanggan yang mempunyai ruang di apartmen kecil mereka untuk menggajikan amah yang tinggal serumah, dan ada yang menggunakan khidmat mereka sementara pembantu rumah pulang ke tanah air.

“Ada yang mendapatkan khidmat kami kerana mereka pernah menggajikan pembantu rumah untuk menjaga datuk dan nenek mereka yang kini sudah meninggal. Dengan itu, mereka tidak lagi memerlukan pembantu yang tinggal bersama,” katanya.

Syarikat di bawah Skim Khidmat Isi Rumah juga akan dibenarkan untuk menyediakan khidmat yang lebih meluas, seperti membelikan barangan runcit, mencuci kereta dan menjaga haiwan peliharaan, kata MOM.

"MOM akan terus memantau permintaan dari isi rumah dan menilai sama ada jenis perkhidmatan dapat diperluaskan lagi pada masa depan," tambah kementerian itu.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan