Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pergas lancar portal runcit halal Graciousmart.sg, galak pembeli berbelanja sambil beramal

Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) mencatat sejarah baru apabila ia melancarkan sebuah kedai runcit online pada Jumaat (5 Feb) dalam usaha meluaskan lagi saluran pendapatannya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) mencatat sejarah baru apabila ia melancarkan sebuah kedai runcit online pada Jumaat (5 Feb) dalam usaha meluaskan lagi saluran pendapatannya.

Dipanggil Graciousmart.sg, portal runcit itu juga menawarkan khidmat berbelanja sambil beramal dengan menawarkan pakej fidyah atau hadiah untuk didermakan kepada golongan fakir miskin.

Pelancaran Graciousmart.sg bermakna Pergas, menerusi cabang pelaburannya iaitu Pergas Investment Holdings (PIH), menjadi syarikat runcit online terkini di negara ini.

(Gambar: Syawal Yusoff)

(Gambar: Syawal Yusoff)

Portal tersebut menawarkan lebih 600 produk makanan kering yang 100 peratus halal berserta khidmat penghantaran ke merata negeri.

Menurut Presiden Pergas, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, bukan sahaja barangan yang terdapat di portal itu "dijual dengan harga yang berpatutan dan berdaya saing", daya usaha ini malah memenuhi pelbagai matlamat lain.

"Kini dengan penubuhan Graciousmart.sg, PIH berharap ia dapat meluaskan lagi peluang pekerjaan khusus bagi golongan asatizah yang ingin menceburi bidang halal dan e-dagang selain daripada membantu merancakkan ekonomi negara," kata Ustaz Hasbi yang juga Pengarah Graciousmart.sg.

Memberikan penjelasannya, Ketua Pegawai Eksekutif PIH, Dr Shamsiah Abdul Karim berkata inisiatif tersebut adalah sebahagian usaha untuk mendedahkan golongan asatizah kepada perniagaan makanan halal.

"Mengapa Graciousmart.sg ditubuhkan adalah kerana kita mendapati bahawa pasaran halal ini memang satu pasaran yang giat meningkat. Kami lihat ini adalah sebagai satu peluang untuk bukan hanya untuk mengembangkan ekonomi Pergas dan juga untuk menggembeling tenaga asatizah yang ada untuk kita lebih menolong mereka,"ujarnya.

BAYAR FIDYAH DAN HADIAH UNTUK GOLONGAN SUSAH

Satu ciri menarik perusahaan sosial Pergas ini ialah keupayaan pembeli membantu golongan kurang bernasib baik

Graciousmart.sg menawarkan khidmat atau pakej fidyah di mana orang ramai boleh membuat bayaran menerusi laman itu dan makanan keperluan asas kemudian akan dihantar kepada golongan kurang bernasib baik. Mereka juga boleh memilih untuk menyalurkannya kepada senarai penerima bantuan Pergas ataupun kenalan sendiri.

Di lelaman itu juga, pengguna dapat menggunakan fungsi 'kalkulator fidyah' untuk menghitung jumlah fidyah yang perlu dibayar. Terdapat tiga pakej fidyah berisi barangan keperluan asas seperti beras, minyak, dan makanan dalam tin yang sudah disediakan berharga antara S$30 dengan S$80 setiap satu.

(Gambar: BERITAmediacorp)

Tetamu terhormat, Menteri Negara Ehwal dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Faishal Ibrahim, memuji inisiatif ini sebagai suatu "pengupaya ekonomi" yang memanfaatkan masyarakat am.

"Aspek sosial yang diterapkan dalam Graciousmart.sg ini pada pendapat saya adalah satu usulan yang sangat baik kerana lagi-lagi kita sedang menghadapi wabak COVID-19 di mana mungkin ramai yang memerlukan bantuan."

Sempena promosi pembukaannya, setiap pembelian minimum S$50 layak mendapat potongan harga S$5 dengan menggunakan kod "5OFF" semasa membuat pembayaran. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan