Images
  • jony ive apple
    Jony Ive (kiri) bersama ketua eksekutif Apple, Tim Cook (Gambar: AFP)

Pereka bentuk iPhone, iPad tinggalkan syarikat Apple

SAN FRANCISCO: Jony Ive, yang sekian lama menjadi ketua pereka Apple dan memainkan peranan penting dalam penghasilan iPhone dan produk-produk ikonik lain, akan meninggalkan syarikat gergasi teknologi itu untuk menubuhkan firmanya sendiri. Demikian diumumkan Apple pada Khamis (27 Jun).

Encik Ive akan meninggalkan syarikat tersebut pada lewat tahun ini "untuk menubuhkan syarikat reka bentuk bebas, dengan Apple menjadi salah satu klien utamanya," menurut kenyataan Apple.

Encik Ive akan memulakan "beberapa projek peribadi" namun akan terus bekerja rapat" bagi beberapa projek dengan Apple," menurut syarikat teknologi California itu.

"Jony adalah seorang individu luar biasa dalam dunia reka bentuk dan peranannya dalam kebangkitan Apple sungguh tidak ternilai, bermula dengan iMac pada 1998 hingga ke iPhone dan baru-baru ini Apple Park, di mana beliau banyak meluangkan masa dan tumpuannya," kata ketua eksekutif Tim Cook.

"Apple akan terus meraih manfaat daripada bakat Jony dengan bekerjasama secara langsung dengannya bagi projek-projek eksklusif dan menerusi kerja-kerja yang diteruskan oleh pasukan hebat yang ditubuhkannya.

"Setelah bertahun-tahun bekerja bersama, saya amat gembira hubungan kami akan terus berkembang dan saya mengalu-alukan kerjasama dengan Jony pada masa akan datang."

Dilahirkan di Britain dan menyertai Apple pada 1992, Encik Ive bertanggungjawab mereka iPod, iPhone, iPad dan Macbook serta sistem perisian iOS bagi peralatan Apple.

'RAKAN KEROHANIAN' STEVE JOBS

Encik Ive adalah rakan kerja Steve Jobs di Apple semasa Apple bangkit semula dengan kemunculan iPod dan kemudian iPhone.

Dalam biografi yang ditulis Walter Isaacson, Encik Jobs memuji Encik Ive kerana tidak gentar menghasilkan sesuatu yang baru.

"Jika saya ada seorang rakan kerohanian di Apple, tentu sekali ia Jony," Jobs dipetik sebagai berkata. "Jony dan saya akan sama-sama memikirkan produk dan kemudian bertanya kepada orang lain tentang pandangan mereka."

"Selepas hampir 30 tahun dan banyak projek yang diusahakan, saya amat bangga dengan kejayaan kita untuk menubuhkan sebuah pasukan reka bentuk, membentuk proses dan budaya di Apple yang tiada tolok bandingnya," kata Encik Ive dalam kenyataan pada Khamis.

"Hari ini, ia lebih hebat, lebih bertenaga dan lebih berbakat berbanding tempoh lain dalam sejarah Apple."

- AFP/TQ/tq

Top