Images
  • apple tim cook
    CEO Apple Tim Cook meramalkan peraturan lebih ketat bagi industri teknologi. (Gambar: Timothy A. Clary/AFP)

Peraturan baru teknologi 'tidak dapat dielakkan'

WASHINGTON: CEO Apple Tim Cook meramalkan bahawa peraturan-peraturan baru bagi syarikat teknologi dan rangkaian sosial untuk melindungi data peribadi "tidak dapat dielakkan".

Dalam satu wawancara bersama laman berita Axios yang disiarkan di saluran HBO pada Ahad (18 Nov), Encik Cook berkata beliau menjangka Kongres Amerika Syarikat akan membincangkan perkara itu tidak lama lagi.

'Secara amnya, saya tidak sokong diadakan peraturan," kata Encik Cook seperti yang dipetik oleh Axios. "Saya percaya dengan dasar pasaran bebas tetapi kita harus akur bahawa pasaran bebas tidak berjalan lancar dan ia tidak dapat dilaksanakan dengan baik di sini. Saya rasa peraturan tidak dapat dielakkan.

"Saya rasa bahawa Kongres dan pentadbiran mungkin akan mengadakan perbincangan dan meluluskan satu undang-undang."

Encik Cook sebelum ini menyokong dilaksanakan pengawalseliaan sendiri, terutamanya berhubung perlindungan data pengguna.

Bagaimanapun menyusuli skandal Facebook-Cambridge Analytica di mana syarikat runding cara data itu mengumpul data peribadi jutaan pengguna Facebook, Encik Cook berkata industri itu kini sudah berada di tahap 'melampaui' skop pengawalseliaan sendiri.

Facebook sebelum ini cuba menangkis keprihatinan mengenai bagaimana ia melindungi data pengguna dan mempertahankan penggunaan laman tersebut daripada penyebaran maklumat palsu yang bertujuan menjejas pilihan raya.

Facebook bergelut dengan kontroversi sejak Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada 2016 menimbulkan tanda tanya sama ada pengasasnya, Mark Zuckerberg, sepatutnya mengekalkan jawatan sebagai ketua eksekutif syarikat tersebut.

Menyentuh mengenai ketidaksamarataan jantina di tempat kerja pula, Encik Cook berkata industri teknologi secara amnya mempunyai kepelbagaian yang kukuh, meskipun ia mempunyai lebih ramai kakitangan lelaki.  

- AFP/AI/ai

Top