Images
  • qantas
    Gambar pesawat-pesawat jenis Boeing 737-888 Qantas Airways di Lapangan Terbang Adelaide. (Gambar: David Gray/Reuters)

Penumpang Qantas saran basikal senaman, realiti maya bagi penerbangan 20 jam

SYDNEY: Syarikat penerbangan Australia, Qantas Airways, mengumumkan hari ini (28 Jan) bahawa para penumpang memohon agar inovasi dalam penerbangan seperti basikal senaman dan peralatan santai realiti maya disediakan semasa penerbangan tanpa henti selama 20 jam dari Sydney ke London.

Syarikat itu dijangka menempah pesawat Airbus-A350 atau Boeing-777X yang berupaya melakukan laluan penerbangan komersil paling panjang di dunia pada lewat tahun ini, dengan khidmat pertama dilancarkan pada 2022.

Hasil kajian kumpulan berfokus serta tinjauan ke atas para penumpang yang melakukan penerbangan tanpa henti selama 17 jam dari Perth ke London sebelum ini mendapati bahawa kesihatan dan kesejahteraan adalah antara trend utama, menurut Qantas dalam kenyataannya.

Para penumpang menyarankan agar syarikat penerbangan itu menyediakan ruang bagi melakukan senaman ringan, dan menyediakan set kapala kalis bunyi bising tanpa wayar serta kafe yang menawarkan minuman keras dan minuman tanpa alkohol dan snek, menurut Qantas.

"Para penumpang saling mengongsi idea-idea menarik, yang merupakan satu cabaran yang kami alu-alukan. Ia juga membantu kami untuk menjadi lebih kreatif dalam menilai dan memperhalusi pengalaman penerbangan jarak jauh," kata Pereka Industri Qantas, David Caon.

Bagi penerbangan antara Perth dengan London yang mula beroperasi pada tahun lalu, Qantas menawarkan kelas meregangkan badan selama 15 minit di kawasan transit lapangan terbang Perth sebelum dan selepas penerbangan itu. Qantas melaporkan bahawa 80 peratus penumpang menyertai kelas berkenaan. Malah, sajian menu dalam penerbangan dan cahaya lampu dalam kabin pesawat juga direka khas bagi membantu para penumpang menyesuaikan jam biologi.

Pesaingnya iaitu syarikat penerbangan Singapore Airlines pula mendapatkan khidmat syarikat kesejahteraan Canyon Ranch untuk mereka dan menyediakan hidangan sihat serta latihan meregangkan badan berpandu menerusi sistem hiburan dalam penerbangan, apabila ia menyambung semula penerbangan selama hampir 19 jam dari Singapura ke New York pada tahun lalu.

Bagaimanapun buat masa ini, kedua-dua syarikat penerbangan itu tidak mempunyai sebarang ruang khas bagi senaman atau bersantai dalam kabin pesawat semasa penerbangan jarak jauh yang disediakan sekarang.

Ketua Eksekutif Qantas International Alison Webster berkata syarikat penerbangan itu akan menilai permintaan para penumpang bagi khidmat antara Sydney dengan London, dengan kabin itu akan direka bagi menjadikannya "lebih dimampui untuk para penumpang serta berdaya maju secara komersial bagi syarikat penerbangan tersebut." 

- Reuters/AI/ai

Top