Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Penjualan runcit S'pura naik 6.6% pada September, dipacu pelancaran telefon bimbit baru

Penjualan runcit di Singapura naik 6.6 peratus pada September berbanding tempoh yang sama tahun lalu, dipacu oleh penjualan lebih tinggi telefon bimbit disebabkan oleh pelancaran produk-produk baru.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Nov 2021 03:49PM Dikemas Kini : 05 Nov 2021 09:56PM

SINGAPURA: Penjualan runcit di Singapura naik 6.6 peratus pada September berbanding tempoh yang sama tahun lalu, dipacu oleh penjualan lebih tinggi telefon bimbit disebabkan oleh pelancaran produk-produk baru.

Ini berbanding kemerosotan sebanyak 2.8 peratus yang dicatatkan pada Ogos, menurut data yang diterbitkan oleh Jabatan Statistik (SingStat) hari ini (5 Nov).

Tidak termasuk kenderaan bermotor, penjualan runcit naik 8.3 peratus setelah mencatatkan pertumbuhan yang mendatar pada Ogos.

Mengikut penyesuaian bulanan, hasil penjualan runcit meningkat enam peratus pada September.

"Nilai penjualan runcit pada September 2021 kekal di bawah paras sebelum COVID," menurut SingStat.

PERALATAN KOMPUTER, TELEKOMUNIKASI CATAT KENAIKAN TERTINGGI

Dalam sektor runcit, kebanyakan industri dijangka mencatat pertumbuhan dalam penjualan pada September berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Penjualan peralatan komputer dan telekomunikasi mencatat kenaikan tertinggi iaitu sebanyak 66.1 peratus, sebahagian besar disebabkan oleh pelancaran telefon bimbit yang baru.

Stesen-stesen minyak pula mencatat kenaikan dalam penjualan iaitu sebanyak 22.3 peratus disusuli dengan penjualan jam dan barangan kemas yang naik 13.3 peratus, disebabkan oleh harga petrol yang lebih tinggi serta permintaan tinggi bagi barangan kemas.

Namun, penjualan barangan optik dan buku-buku, kedai serbaneka dan kedai runcit serta barangan riadah merosot antara lima dengan 10.4 peratus.

Anggaran nilai penjualan runcit secara keseluruhan pada September adalah S$3.4 bilion, dengan penjualan runcit menerusi online dianggarkan membentuk 15.2 peratus daripada jumlah itu berbanding 14.1 peratus pada Ogos.

Tidak termasuk kenderaan bermotor, nilai penjualan runcit secara keseluruhan adalah sekitar S$2.9 bilion, di mana penjualan runcit menerusi online meliputi 18 peratus daripada jumlah itu.

KENAIKAN DALAM PENJUALAN F&B

Penjualan dalam khidmat makanan dan minuman pada September naik 4.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, setelah merosot 6.7 peratus pada bulan sebelumnya.

Mengikut penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, penjualan dalam khidmat F&B naik 12.1 peratus pada September, sebahagian besarnya disebabkan oleh jumlah asas yang lebih rendah pada Ogos apabila sekatan ketat ke atas aktiviti makan di luar dikuatkuasakan.

Aktiviti makan di luar dibenarkan semula pada 10 Ogos dalam sekumpulan sehingga lima individu yang lengkap divaksin. Langkah tersebut diteruskan sehingga 27 September apabila jumlah had individu dikurangkan kepada dua orang.

"Nilai penjualan F&B pada September 2021 kekal di bawah paras sebelum COVID," menurut SingStat.

Nilai penjualan keseluruhan bagi khidmat F&B pada September dianggarkan bernilai S$669 juta, di mana penjualan online membentuk sekitar 34.5 peratus, iaitu jumlah lebih rendah berbanding 39.3 peratus yang dicatatkan pada Ogos.

Dalam sektor F&B, hasil penjualan oleh para penyedia makanan meningkat sebanyak 36.4 peratus pada September dari tahun ke tahun, disebabkan oleh jumlah asas lebih rendah tahun lalu apabila permintaan bagi khidmat katering adalah rendah.

Kadar pusing ganti di cawangan makanan segera meningkat 10.7 peratus sementara di kafe, ruang makanan dan tempat-tempat makan yang lain meningkat 8.4 peratus disebabkan oleh permintaan lebih tinggi bagi khidmat penghantaran makanan.

Namun, kadar pusing ganti bagi restoran pula merosot 5.2 peratus disebabkan oleh sekatan lebih ketat terhadap aktiviti makan di luar pada September berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Mengikut penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, restoran-restoran menyaksikan kenaikan 27.7 peratus dalam penjualan pada September, sebahagian besarnya disebabkan oleh jumlah asas yang lebih rendah pada Ogos apabila peraturan lebih ketat dikenakan terhadap aktiviti makan di luar.

Kadar pusing ganti bagi kafe, ruang makanan dan tempat-tempat makan yang lain, cawangan makanan segera dan penyedia makanan meningkat antara 1.9 peratus dengan 5.7 peratus bagi tempoh tersebut.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan