Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Penjualan rumah privet menjunam 53.8% pada Disember

Jumlah rumah privet baru yang dijual pada Disember lalu menjunam 53.8 peratus berbanding bulan sebelumnya, disebabkan pelancaran projek baru yang lebih rendah serta cuti hujung tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Penjualan rumah privet menjunam 53.8% pada Disember

Rumah privet di Singapura. (Gambar fail: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 15 Jan 2020 04:20PM Dikemas Kini : 15 Jan 2020 04:26PM

SINGAPURA: Jumlah rumah privet baru yang dijual pada Disember lalu menjunam 53.8 peratus berbanding bulan sebelumnya, disebabkan pelancaran projek baru yang lebih rendah serta cuti hujung tahun.

Syarikat-syarikat pemaju hartanah menjual 538 unit rumah privet - tidak termasuk kondominium eksekutif (EC) - pada Disember, menurut perangkaan yang dikumpulkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Jumlah itu merupakan satu penurunan ketara berbanding 1,165 yang dijual pada bulan sebelumnya.

Berbanding bulan yang sama tahun lalu, penjualan pada Disember merosot 10.6 peratus berbanding 602 unit yang dijual pada Disember 2018.

Hanya 370 unit dilancarkan pada Disember, jumlah bulanan paling kecil pada 2019.

Mengambil kira EC, 551 rumah privet dijual, separuh lebih rendah dari 1,186 unit pada November dan merupakan kemerosotan 8.9 peratus berbanding 605 unit yang dijual pada Disember 2018.

Projek perumahan paling laris adalah Parc Botannia di Fernvale Street dengan 49 unit dijual, disusuli dengan Parc Esta di Sims Avenue dengan 45 rumah dijual.

Bulan Disember secara lazimnya mencatat penjualan lebih hambar bagi pasaran rumah, dengan bakal pembeli bercuti ke luar negara.

PENJUALAN SELURUH 2019 LEBIH BAIK

Secara keseluruhan, tahun lalu mencatat penjualan "lebih baik dari jangkaan", dengan jumlah penjualan baru dijangka melebihi 8.795 urus niaga pada 2018, kata Cik Christine Sun, ketua kajian dan runding cara di OrangeTee & Tie.

Memandang ke hadapan, beliau berkata permintaan bagi rumah baru mungkin kekal kukuh, dengan 9,000 hingga 9,800 unit dijual pada tahun ini.

"Sentimen pembeli dijangka kekal positif memandangkan kebanyakan ahli ekonomi berasa cabaran ekonomi paling teruk mungkin sudah berlalu dan pertumbuhan global dijangka pulih," tambah beliau.

Menurut penganalisis itu lagi, harga rumah baru dijangka naik tahun ini sebanyak 2 hingga 4 peratus.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan