Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Penjualan rumah privet baru tumbuh 32% pada Januari

Penjualan rumah privet tumbuh sekitar 32 peratus bulan lalu, didorong oleh kebimbangan pembeli tentang kemungkinan berlakunya langkah-langkah sekatan ke atas hartanah, kata para penganalisis.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Feb 2021 04:06PM Dikemas Kini : 15 Feb 2021 09:05PM

SINGAPURA: Penjualan rumah privet tumbuh sekitar 32 peratus bulan lalu, didorong oleh kebimbangan pembeli tentang kemungkinan berlakunya langkah-langkah sekatan ke atas hartanah, kata para penganalisis.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Isnin (15 Feb), 1,609 unit rumah privet dijual pada Januari, berbanding 1,217 pada bulan sebelumnya.

Sebanyak 2,600 unit rumah privet dilancarkan pada Januari. Penjualan rumah baru dipacu hartanah di baki kawasan bandar (RCR) dengan 1,108 unit terjual, sementara kawasan tengah utama (CCR) dan di luar kawasan bandar (OCR) masing-masing mencatat 83 dan 418 unit.

Berbanding tahun lalu, penjualan rumah baru pada Januari melonjak 159.5 peratus daripada 620 unit pada Januari 2020.

Cik Christine Sun, ketua penyelidik dan runding cara hartanah di OrangeTee, berkata jumlah penjualan bulan Januari itu adalah yang paling kukuh sejak 2013, apabila 2,028 unit bertukar tangan.

Menurutnya ini disebabkan pembelian tergesa-gesa berikutan spekulasi tentang kemungkinan dilaksanakan langkah-langkah penyejukan pasaran.

"Walaupun jika langkah-langkah penyejukan hartanah tidak dilaksanakan, pembeli mungkin masih berada pada kedudukan yang lebih baik untuk membeli unit lebih awal kerana harga rumah dijangka meningkat lagi memandangkan ekonomi global diharapkan pulih tahun ini," kata Cik Sun .

Penjualan ini juga bertepatan dengan beberapa pelancaran bulan lalu dengan jumlah unit yang banyak.

Lebih banyak pelancaran rumah mewah dijangka dalam beberapa bulan akan datang, tambah Cik Sun.

"TIDAK MENCERMINKAN LONJAKAN PERMINTAAN"

"Barang diingat meskipun penjualan rumah privet baru meningkat pada Januari, ini tidak mencerminkan lonjakan permintaan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Propnex, Ismail Gafoor.

Encik Ismail merujuk fenomena ini seperti apa yang berlaku pada Julai 2018, apabila terdapat pembelian tergesa-gesa serupa untuk mengelak langkah penyejukan pasaran hartanah, yang menyaksikan 1,724 rumah privet baru terjual.

"Apa yang kami perhatikan adalah lokasi, ciri produk yang menarik, dan harga yang baik adalah faktor utama dalam mendorong pembelian yang tinggi," katanya.

"Kami percaya kebanyakan pembeli arif dan memasuki pasaran untuk membeli hartanah selepas mempertimbangkan pilihan dan kemampuan mereka dengan teliti."

Pembeli tempatan membentuk hampir 83 peratus daripada urus niaga penjualan rumah privet baru bulan lalu, dengan permintaan daripada pembeli asing dijangka mungkin meningkat secara bertahap-tahap tahun ini, kata Wong Siew Ying, ketua penyelidikan dan kandungan PropNex.

Ini mungkin didorong oleh beberapa pelancaran yang akan datang di CCR, yang sering menarik pembeli seperti itu.

"Secara keseluruhan, kami menjangkakan pasaran hartanah kediaman akan tetap kukuh, tetapi risiko kekal wujud, termasuk kebangkitan semula COVID-19 dan keadaan makroekonomi yang tidak menentu," jelas Cik Wong.

"Selain itu, ada juga risiko langkah-langkah penyejukan lanjut oleh Pemerintah, jika ia menilai bahawa harga rumah tumbuh lebih pantas daripada yang disokong dasar ekonomi."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan