Images
  • private homes S'pore
    Gambar hiasan rumah-rumah privet di Singapura. (AFP File)  

Penjualan rumah privet baru susut 2.6% pada Jun, bulan ke-3 berturut-turut

SINGAPURA: Penjualan rumah privet baru di Singapura merosot buat bulan ketiga berturut-turut pada Jun, dengan para penganalisis menyatakan ia disebabkan oleh kurangnya pelancaran projek serta langkah-langkah pengurusan COVID-19 yang lebih ketat pada separuh pertama bulan itu semasa Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat).

Menurut data yang dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) hari ini (15 Jul), sebanyak 872 unit kediaman privet dijual pada Jun tidak termasuk kondominium eksekutif (EC).

Ini adalah kemerosotan 2.6 peratus berbanding 895 unit yang dijual pada bulan Mei dan kemerosotan 12.6 peratus berbanding 998 unit yang dijual pada Jun 2020.

Kawasan luar pusat bandar (OCR) mencatat penjualan paling tinggi bagi bulan Jun dengan 337 unit dijual, diikuti dengan kawasan sekeliling pusat bandar (RCR) dengan 329 unit dijual. Manakala di bahagian tengah pusat bandar (CCR) 206 unit dijual, menurut data URA.

Naib Presiden Kanan Kajian dan Analisis Orange Tee & Tie, Christine Sun, berkata penjualan disifatkan sebagai berdaya tahan meskipun terdapat kesan daripada sekatan-sekatan akibat COVID-19.

"Penjualan rumah baru kekal bertahan pada bulan lalu meskipun kurang projek yang dilancarkan dan langkah-langkah pengurusan diperketat semasa fasa kewaspadaan dipertingkat," kata beliau.

"Kebanyakan pemaju hartanah mengelak daripada melancarkan projek-projek baru sedang langkah-langkah ketat (pengurusan COVID-19) untuk meninjau (unit) terus dilaksanakan di galeri-galeri penjualan hartanah semasa separuh pertama bulan itu.

"Jumlah rumah privet yang dijual hampir sama dengan jumlah yang dilihat dalam bulan-bulan sebelum ini. Berbanding setahun lalu, para pemaju dan agensi-agensi hartanah lebih bersedia untuk menjalankan kegiatan-kegiatan pemasaran baru dan melancarkan projek-projek baru selepas sekatan-sekatan dilonggarkan lagi mulai separuh kedua bulan Jun."

Menurut Cik Sun penjualan pada bulan Jun dirangsang oleh beberapa projek yang dilancarkan lebih awal, sambil menyatakan ramai pembeli unit-unit tersebut adalah rakyat Singapura.

"Penjualan rancak dicatatkan di Hyll on Holland memandangkan beberapa kegiatan pemasaran diadakan bagi unit-unit yang dipilih menarik ramai pembeli yang berminat...Ramai pembeli adalah rakyat Singapura, ada yang merupakan pelabur dan ada yang membeli untuk tinggal sendiri," ujar beliau.

Sebanyak 815 unit kediaman privet tidak termasuk EC dilancarkan untuk dijual pada bulan lalu.

Pengarah Kanan Kajian dan Perundingan JLL, Ong Teck Hui berkata jumlah itu tidak mengejutkan. Namun ia mungkin menunjukkan pertambahan dalam penjualan unit hujung tahun ini.

"Dengan langkah-langkah kewaspadaan dipertingkat dilanjutkan hingga pertengahan Jun, tidak mengejutkan bagi penjualan rumah baru pada bulan Jun kekal sederhana iaitu 872 unit dan kurang sedikit berbanding bulan Mei," kata beliau.

"Bagaimanapun, penjualan dijangka lebih tinggi dalam bulan-bulan mendatang."

Cik Sun melihat tanda-tanda positif bagi penjualan pada bulan Ogos, menyusuli kelonggaran sekatan-sekatan COVID-19 di galeri penjualan.

"Momentum pasaran hartanah mungkin meningkat tinggi menjelang Ogos," kata beliau.

"Para pemaju mungkin berasa lega sedikit sedang sekatan-sekatan ke atas galeri-galeri penjualan yang bertujuan membendung penularan virus mungkin dilonggarkan lagi memandangkan lebih ramai penduduk sudah divaksinasi.

"Kegiatan penjualan kemungkinannya bertambah rancak pada bulan-bulan mendatang memandangkan ramai pemaju akan bergegas untuk melancarkan projek-projek mereka sebelum bermulanya pesta bulan ketujuh mengikut kalendar Cina."

Antara projek-projek yang dijangka dilancarkan dalam bulan-bulan mendatang adalah Klimt Cairnhill, Pasir Ris 8 dan Bartley Vue, tambah Cik Sun.

- CNA/NK/nk

Top