Images

Penjualan rumah privet baru pada Mei jatuh 29.7% susuli langkah lebih ketat COVID-19

SINGAPURA: Jumlah rumah privet baru yang dijual di Singapura pada Mei semakin berkurangan berbanding bulan awal dari itu sebelum langkah-langkah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) dikuatkuasakan.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Selasa (15 Jun), para pemaju berhasil menjual 891 unit rumah privet pada Mei, tidak termasuk kondominium eksekutif.

Ini menunjukkan penurunan penjualan sebanyak 29.7 peratus berbanding April tahun ini, meskipun ia masih 83 peratus lebih tinggi berbanding Mei tahun lalu, ketika Singapura menguatkuasakan 'circuit breaker' atau tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Kawasan luar pusat bandar (OCR) mendahului penjualan rumah paling laris pada Mei, dengan 401 unit terjual. Ini disusuli dengan kawasan sekeliling pusat bandar (RCR) dengan 299 unit dan diikuti oleh bahagian tengah pusat bandar (CCR) dengan 191 unit dijual, menurut perangkaan URA.

Kemerosotan penjualan berlaku di tengah-tengah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat), yang berkuat kuasa 16 Mei untuk membendung penularan lanjut COVID-19. Sesi rumah terbuka untuk meninjau-ninjau rumah rpivet baru dihadkan sepanjang tempoh tersebut.

"Kemerosotan pada jumlah penjualan bagaimanapun tidak begitu mendadak berbanding tahun sebelumnya semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan," kata Christine Sun, naib presiden kanan penyelidikan dan analitik di OrangeTee & Tie.

Prestasi penjualan lebih kukuh pada tahun ini kerana sektor hartanah "nampaknya lebih bersiap sedia untuk memastikan kelangsungan perniagaan" di tengah-tengah langkah yang diperketatkan, kata Cik Sun, sambil menambah bahawa banyak pemaju dan ejen penjualan berupaya beralih ke pameran rumah terbuka secara maya dengan pantas.

Lima projek paling laris yang mencatatkan penjualan unit terbanyak pada Mei adalah One Bernam, dengan 83 unit terjual, diikuti oleh Treasure di Tampines, Normanton Park, Midwood dan Affinity di Serangoon.

Sepuluh unit dijual dengan harga sekurang-kurangnya S$10 juta setiap satu pada Mei, kata Cik Sun. Unit yang paling mahal adalah sebuah apartmen di tingkat 20 seluas 548 meter persegi di Park Nova yang dijual pada harga S$34.4 juta.

RAMALAN DENGAN BERMULANYA FASA 3 (KEWASPADAAN DIPERTINGKAT)

Dengan sekatan-sekatan COVID-19 dilonggarkan setelah Singapura melangkah ke Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat), para pakar berkata penjualan boleh terus meningkat.

"Penjualan bulan Jun berpotensi menandingi perangkaan Mei kerana langkah-langkah COVID-19 lebih longgar yang membenarkan sehingga lima orang dalam satu kumpulan, mungkin akan menyaksikan permintaan bertukar menjadi hasil penjualan sebenar," kata CEO Huttons Asia, Mark Yip, sambil menambah bahawa beliau menjangkakan bulan Julai akan menjadi "bulan yang sangat sibuk, dengan beberapa pelancaran dijadualkan".

- CNA/TQ/tq

Top