Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Penjualan rumah privet baru naik seganda pada Mac; permintaan bagi hartanah mewah terus meningkat

Penjualan rumah privet baru meningkat seganda pada Mac di tengah-tengah minat segar terhadap hartanah mewah, dengan seorang penganalisis menjangkakan trend tersebut akan terus meningkat.

Anggaran Waktu Membaca:
Penjualan rumah privet baru naik seganda pada Mac; permintaan bagi hartanah mewah terus meningkat

Projek hartanah privet Midtown Modern di Bugis. (Gambar: GuocoLand)

Diterbitkan : 15 Apr 2021 06:40PM Dikemas Kini : 15 Apr 2021 06:46PM

SINGAPURA: Penjualan rumah privet baru meningkat seganda pada Mac di tengah-tengah minat segar terhadap hartanah mewah, dengan seorang penganalisis menjangkakan trend tersebut akan terus meningkat.

Para pemaju berhasil menjual 1,296 rumah pada bulan lalu, tidak termasuk kondominium eksekutif, berbanding dengan 645 unit pada Februari, menurut data yang dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Khamis (15 Apr).

Menurut pengarah penyelidikan Huttons Asia Lee Sze Teck, ia adalah penjualan Mac yang tertinggi sejak 2017.

Sebahagian besar rumah yang dijual pada Mac berharga melebihi S$1.5 juta, sementara 16 hartanah dijual pada harga lebih S$5 juta setiap satu, katanya lagi.

Salah satu daripadanya ialah unit lima bilik di Midtown Modern yang dijual pada harga S$14.8 juta atau S$4,213 bagi setiap kaki persegi (psf).

"Para pembeli dengan banyak wang tunai dan mahukan kestabilan sedang melabur dalam aset-aset stabil seperti hartanah," jelas Encik Lee.

Penjualan pada Mac juga melonjak 96.4 peratus berbanding bulan yang sama setahun lalu ketika 660 rumah privet baru dijual.

PROJEK MEWAH

Midtown Modern yang menempatkan 558 unit dan dilancarkan pada bulan lalu adalah projek paling laris bagi bulan Mac. Sebanyak 368 unit kondominium mewah di Bugis itu terjual, dengan harga paling rendah adalah S$2,299 psf.

Projek mewah lain seperti RV Altitude di River Valley, The M di Middle Road, Fourth Avenue Residences, Leedon Green, Kopar At Newton dan Martin Modern masih terus menjual unit pada bulan lalu.

Secara keseluruhannya, para pemaju melancarkan 959 rumah untuk dijual pada bulan lalu berbanding hanya 167 pada Februari.

"Para pelabur nampaknya menunjukkan minat dalam segmen mewah kerana penjualan rumah baru di kawasan perdana meningkat semula bulan lalu," kata naib presiden kanan penyelidikan dan analitik OrangeTee & Tie, Christine Sun.

"Singapura akan terus menjadi salah satu kegemaran ramai dalam kalangan pelabur mewah dan pembeli asing yang kaya bagi hartanah semewah itu ... Kita mungkin melihat lebih banyak rumah mewah dijual dalam masa beberapa bulan akan datang kerana lebih banyak hartanah mewah akan dilancarkan," tambah beliau.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan