Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Penjualan rumah privet baru di S'pura susut 2.6% pada April

Penjualan rumah privet di Singapura merosot 2.6 peratus pada April, dengan seorang penganalisis menyifatkan prestasi keseluruhan pasaran sebagai "sihat" walaupun terdapat penurunan sedikit.

Anggaran Waktu Membaca:
Penjualan rumah privet baru di S'pura susut 2.6% pada April

Rumah privet dan eksekutif kondominium di Singapura. (Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 17 May 2021 05:54PM Dikemas Kini : 17 May 2021 05:59PM

SINGAPURA: Penjualan rumah privet di Singapura merosot 2.6 peratus pada April, dengan seorang penganalisis menyifatkan prestasi keseluruhan pasaran sebagai "sihat" walaupun terdapat penurunan sedikit.

Menurut data yang dikeluarkan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Isnin (17 Mei), 1,262 unit kediaman privet dijual pada April 2021. Ini tidak termasuk kondominium eksekutif.

Baki Kawasan Bandar (RCR) mencatat penjualan paling banyak dengan 507 unit rumah baru terjual, diikuti oleh Kawasan Tengah Bandar (CCR) dengan 444 unit dan Luar Kawasan Bandar (OCR) dengan 311 unit.

"Prestasi penjualan bagi keseluruhan pasaran sihat walaupun terdapat sedikit penurunan dalam jumlah penjualan memandangkan lebih banyak rumah yang lebih mahal dijual dan tidak ada projek hartanah bagi pasaran umum yang dilancarkan," kata Christine Sun, Naib Presiden Kanan Penyelidikan & Analisis di OrangeTee & Tie.

Penjualan rumah baru, tidak termasuk kondominium eksekutif, melonjak lebih empat kali ganda pada April 2021 berbanding bulan yang sama tahun lalu, apabila hanya 277 unit terjual.

Penganalisis berkata lonjakan besar tahun ke tahun itu disebabkan oleh pelaksanaan langkah-langkah "pemutus rantaian jangkitan" pada April 2020 ketika semua flat pameran ditutup.

"Kami mungkin tidak akan melihat jumlah penjualan mencecah serendah 277 unit seperti yang dicatat semasa pemutus rantaian jangkitan pada April 2020 kerana perangkaan awal menunjukkan sekitar 400 terjual pada dua minggu pertama Mei," kata Encik Mark Yip, CEO Huttons Asia.

Cik Sun berkata bahawa terdapat peningkatan yang ketara dalam jumlah kondominium yang dijual dengan harga yang lebih tinggi, yang menunjukkan "keyakinan dan selera pengguna yang lebih kukuh bagi rumah lebih mahal".

Sebanyak 14 rumah baru tanpa halaman bertukar tangan pada harga sekurang-kurangnya S$5 juta pada April 2021, kata Cik Sun. Unit yang paling mahal adalah flat pegangan bebas seluas 470 meter persegi di 15 Holland Hill yang dijual dengan harga S$15.2 juta atau S$3,002 setiap kaki persegi (psf).

LANGKAH-LANGKAH COVID-19

Dengan langkah-langkah COVID-19 baru yang lebih ketat yang dilaksanakan dalam tempoh Fasa 2 (Kewaspadaan Tinggi) dari 16 Mei hingga 13 Jun, Cik Sun berkata rentak penjualan dan sentimen pasaran mungkin terjejas dalam jangka pendek.

Bagaimanapun, prasarana teknologi telah meningkat sejak tempoh pemutus rantaian jangkitan pada April tahun lalu, yang dapat membantu mengurangkan kesan sekatan baru.

"Penggunaan realiti maya telah membantu pengalaman membeli rumah dan membuat carian online lebih lancar dan mudah diakses oleh pembeli," kata Cik Sun.

Encik Yip pula berkata, kumpulan pengunjung lebih kecil yang diizinkan masuk ke flat pameran hingga 13 Jun akan "memperpanjang proses membuat keputusan bagi pembeli dan mengurangkan lagi jumlah jual beli pada Mei dan Jun".

"Lawatan maya di pameran boleh membantu mengurangkan kesan ini," katanya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan