Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Penjualan rumah baru terus meningkat pada Jul; naik 3 bulan berturut-turut

Para pemaju privet menjual 1,080 rumah baru tidak termasuk kondominium eksekutif (EC) pada Julai, pertumbuhan tiga bulan berturut-turut.

Anggaran Waktu Membaca:
Penjualan rumah baru terus meningkat pada Jul; naik 3 bulan berturut-turut

Rumah privet di Singapura. (Gambar fail: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 17 Aug 2020 11:05PM Dikemas Kini : 17 Aug 2020 11:09PM

SINGAPURA: Para pemaju privet menjual 1,080 rumah baru tidak termasuk kondominium eksekutif (EC) pada Julai, pertumbuhan tiga bulan berturut-turut.

Namun, berbanding bulan yang sama setahun lalu, penjualan rumah privet jatuh 8.4 peratus berbanding 1,179 unit yang dijual ketika itu, menurut data oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) hari ini (17 Ogos).

Berdasarkan perbandingan dari bulan ke bulan, penjualan pada bulan Julai mencatat peningkatan 8.2 peratus berbanding 998 unit yang dijual pada Jun yang turut mencatat peningkatan berbanding bulan sebelumnya.

Menurut pengamatan seorang penganalisis, permintaan tersebut disebabkan oleh keinginan para pelabur yang mahu meletakkan wang mereka dalam aset-aset yang selamat.

"Para pelabur terus membanjiri pasaran hartanah... di tengah-tengah ekonomi yang semakin tidak menentu dan pasaran ekuiti yang terumbang-ambing," kata Cik Christine Sun, ketua kajian dan runding cara di OrangeTee.

"Sesetengah pembeli mungkin memanfaatkan kadar faedah yang menjunam untuk menjamin pembayaran cagaran lebih rendah bagi beberapa tahun akan datang."

Kesan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 meskipun menjejas ramai orang, mungkin kurang dirasai sesetengah pihak.

"... mereka yang merasa lebih selamat dari segi prospek pekerjaan atau mempunyai simpanan yang banyak ... mungkin menyifatkan waktu ini sebagai peluang baik untuk memasuki pasaran," kata Cik Wong Siew Ying, ketua kajian dan kandungan di Propnex.

Bagi suku kedua, ekonomi Singapura menguncup sebanyak 13.2 peratus berbanding tempoh yang sama setahun lalu, jatuh mendadak berbanding penyusutan 0.3 peratus pada suku sebelumnya.

"Jika pertumbuhan GDP Singapura kekal pada paras bawah sifar pada 2020, pemberhentian pekerja dan gulung tikar tidak dapat dielakkan dan ini akan menjejas pasaran hartanah privet meskipun ia sekarang kelihatan berdaya tahan," nasihat ketua kajian Knight Frank Singapore, Leonard Tay.

PERMINTAAN TINGGI BAGI RUMAH MEWAH

Sementara itu, penjualan rumah mewah, yang biasanya dibeli oleh pelabur dan rakyat Singapura yang berpendapatan lebih tinggi, mencecah paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, berdasarkan analisis oleh Cik Sun dari OrangeTee.

"150 rumah tanpa halaman (tidak termasuk EC) dijual pada harga lebih S$2 juta bulan lalu, dengan jumlah tertinggi kali terakhir dicatatkan dengan 181 urus niaga pada Disember 2013," katanya, sambil menambah bahawa dua rumah privet dijual pada harga melebihi S$10 juta.

"Permintaan yang meningkat bagi rumah mewah seperti itu membuktikan daya tahan dan daya tarikan hartanah kediaman di Singapura." 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/SM/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan