Images
  • yuslina
    Pasangan ini harap dapat galak para pelanggannya memahami budaya lain dengan lebih mendalam. (Gambar: yuslina_b/Instagram melalui FMT)

Peniaga Melayu beranikan diri jual patung babi sempena Tahun Baru Cina

KOTA KINABALU: Sempena Tahun Baru Cina, ramai peniaga yang merebut peluang untuk memasarkan produk masing-masing dan mengaut keuntungan.

Bagi pasangan Melayu ini, Adam Baderun dan Yuslina Badrum, mereka menawarkan pelbagai barang perhiasan seperti rantai kunci, pin dan tanda buku untuk menarik perhatian para pelanggannya. Namun, yang menarik perhatian media tempatan Malaysia, pasangan ini menjual patung babi khas bagi para pelanggan yang menyambut Tahun Baru Cina.

Haiwan itu menjadi ikon perayaan tahun ini.

Jarang sekali kita mendengar seorang peniaga Melayu menjual barang-barang yang mempunyai ciri-ciri seekor babi.

Namun, pasangan itu memberitahu Free Malaysia Today (FMT) bahawa para pelanggannya tidak kelihatan terkejut atau marah melihat mereka menjual patung babi.

"Perniagaan macam biasa saja. Tak ada reaksi pelik daripada para pelanggan, malah mereka memberi komen positif," kata Cik Yuslina.

Mengulas lebih lanjut, wanita itu berkata beliau tidak faham mengapa haiwan tersebut boleh menimbulkan kekecohan di sesetengah tempat.

“Kalau orang faham agama mereka, mereka tidak akan jadi kecewa dengan perkara-perkara kecil.

“Bagi saya, (menjual patung babi) tidak jadi isu.

“Babi dan anjing adalah ciptaan Tuhan juga. Selagi kamu pegang ajaran agama, seperti tidak makan babi, kamu okay sahaja,” katanya.

Cik Yuslina juga seorang guru sekolah menengah dan beliau hanya membuka kedai di bazar setiap dua bulan, bersama suaminya dan dua orang lain. Kali ini, mereka membuka kedai di bazar Riverson Walk di Kota Kinabalu Times Square.

KENAL BUDAYA LAIN

Seolah-olah tidak gentar sekiranya kritikan dilemparkan ke atas dirinya, peniaga itu sebaliknya berasa teruja kerana berupaya menggalak orang ramai untuk mengenali budaya kaum lain dan bersikap bertolak ansur.

Encik Adam memberitahu FMT, semua barang hiasan termasuk patung yang dijual, diperbuat di kedai mereka sendiri menggunakan teknologi laser.

Ditanya mengenai pengalaman mereka menjual patung babi itu, dia juga berpendapat ia bukan isu di Sabah.

“Di Semenanjung, menyebut babi boleh akibatkan (orang angkat) bendera merah, tapi kita tahu akidah kita. Jual ikon itu tidak akan menggoyang akidah kita. Kita tak makan daging babi. Barang-barang hiasan itu cuma seni.

“Kita tidak pandang rendah budya orang lain. Di Sabah, kita tinggal dalam suasana pelbagai kaum dan pelbagai bangsa dan agama dan kita bertolak ansur sesama kita. Kita belajar menghargai kepercayaan masing-masing,” katanya.

SYUKUR ISTERI BANYAK MENGAJAR

Encik Adam juga bersyukur dapat ditemukan dengan Cik Yuslina yang banyak mengajarnya tentang kehidupan yang harmonis. Mereka mendirikan rumahtangga pada 2013.

“Dalam kalangan keluarga isteri saya, ada Islam dan ada bukan Islam. Dari situlah saya betul-betul belajar mengenai toleransi dan persefahaman dalam kepercayaan orang lain,” katanya.

Menurut FMT lagi, patung babi sangat diminati para pelanggan pasangan itu.

Pada masa lalu, mereka juga jual barang perhiasan sempena Krismas, termasuk ukiran yang mempunyai ayat-ayat daripada Injil.

“Kami juga terima tempahan barang perhiasan daripada pelanggan. Kami tahu akidah kami dan (menjual barang-barang seperti ini) tidak mengganggu akidah kami. Ia hanya seni,” kata Encik Adam. 

- Agensi berita/AQ/aq

Top