Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peniaga Geylang Serai ambil sikap positif atasi COVID-19 meski jumlah pelanggan merosot 10-30%

Para peniaga di Pasar Geylang Serai mengambil sikap positif dalam menangani pasang surut perniagaan di tengah-tengah penularan virus korona COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para peniaga di Pasar Geylang Serai mengambil sikap positif dalam menangani pasang surut perniagaan di tengah-tengah penularan virus korona COVID-19.

Ini meskipun jumlah pelanggan jatuh antara 10 hingga 30 peratus sejak jangkitan virus tersebut melanda negara ini.

Peniaga ayam Cik Roslina Onn berkata: "Dalam minggu ini, kuranglah, dalam 10 peratus kurang. Bila dengar macam lagi ramai yang kena, orang macam risau nak datang pasar."

Peniaga daging Encik Mohd Yazid Abu juga berkongsi: "Macam dulu, kita boleh nampak pelanggan-pelanggan daripada China, orang-orang China, tapi sekarang kita dah nampak agak kurang sekali."

Pasar Geylang Serai.

(Gambar: BERITAmediacorp)

Yang jelas, seperti banyak perniagaan lain, para peniaga di sekitar Pasar Geylang Serai juga merasakan kesannya dari segi jumlah pelanggan yang datang ke kedai mereka.

Ini walaupun hampir sebulan sudah berlalu sejak kes pertama penyakit virus korona baru COVID-19 dilaporkan di Singapura.

JEJAS SEDIKIT PENDAPATAN, NAMUN RATA-RATA STABIL 

Menurut para peniaga lagi, suasana juga agak sepi pada hari-hari biasa selepas jam 12 tengah hari - sesuatu yang agak janggal bagi mereka.

Ini sekali gus sedikit sebanyak memberi kesan kepada pendapatan yang dapat dijana.

"Sekiranya kalau hari biasa kita boleh dapat $1,000, sekarang dah berkurangan, $900 atau $800 saja," jelas Encik Yazid.

AMBIL SIKAP POSITIF ATASI PASANG SURUT PERNIAGAAN

Namun, para peniaga tetap mengambil sikap positif dalam mengharungi wabak COVID-19.

Peniaga makanan D' Original Bambu, Cik Subaidah Saibe: "Alhamdulillah. Mereka ambil perkara ini secara positif. Saya rasa tidak banyak beza, sama saja.

"Saya ada tempahan dari luar, jadi saya tidak begitu nampak banyak perbezaan. Sebab tempahan itu mengatasi kekurangan pelanggan."

(Gambar: BERITAmediacorp)

Cik Roslina menambah: "Macam hujung minggu, pendapatan kita naik sedikit, pasal orang terburu-buru beli barang nak simpan sebab lebih kepada simpan stok."

Perdana Menteri dalam amanatnya kepada seluruh negara baru-baru ini meyakinkan penduduk bahawa negara ini mempunyai bekalan barang-barangan yang mencukupi.

Yang pasti, kedua-dua pembeli dan peniaga berharap penularan COVID-19 akan berakhir dengan segera bagi membolehkan kehidupan kembali berjalan seperti sedia kala. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan