Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Peniaga baru F&B Melayu tangkas buat penyesuaian harungi Fasa 2 lebih ketat

Peniaga-peniaga baru yang dihubungi BERITAmediacorp turut mendedahkan hasil penjualan mereka merosot sehingga 95 peratus.

Anggaran Waktu Membaca:
Peniaga baru F&B Melayu tangkas buat penyesuaian harungi Fasa 2 lebih ketat

Peniaga baru F&B Melayu tangkas buat penyesuaian harungi Fasa 2 lebih ketat. (Gambar: Love, Food Club, Permata Singapore, Hong Kong Halal)

BERITAmediacorp: Perniagaan mereka belum sampai setahun dan baru baru nak menapak. Ada juga yang perniagaan mereka baru mula rancak.

Lebih-lebih lagi memandangkan bulan Ramadan sudah berakhir dan orang ramai dijangka kembali melakukan kegiatan makan di luar bersama keluarga dan rakan-rakan.

Namun kini, mereka terpaksa pula bersiap sedia untuk berdepan dengan cabaran-cabaran baru apabila Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) diumumkan pada Jumaat (14 Mei), di mana para pelanggan tidak lagi boleh duduk makan di luar.

Peniaga-peniaga baru yang dihubungi BERITAmediacorp turut mendedahkan hasil penjualan mereka merosot sehingga 95 peratus.

Restoran Love, Food Club milik pasangan suami isteri Suhari Mustaffa, 40 tahun dan isterinya Nina Zazali, 34 tahun dibuka pada September tahun lalu.

Sedang jumlah kes baru COVID-19 dalam masyarakat terus meningkat, mereka sudah dapat mengagak langkah-langkah pengurusan selamat mungkin diperketatkan lagi. Namun, apa yang tidak disangka-sangka adalah langkah itu diumumkan "begitu pantas", iaitu pada Hari Raya kedua.

"Saya tiada pilihan tetapi untuk mengadakan mesyuarat tergempar dengan pasukan saya untuk membincangkan perancangan kami bagi tempoh tersebut, meskipun mereka sedang cuti Raya.

"Kami perlu segera mengeluarkan menu baru, aktifkan laman bagi khidmat penghantaran. Kumpulkan para petugas penghantaran kami. Fikirkan waktu-waktu penghantaran kerana saya pasti semua restoran F&B sedang menimbangkan khidmat penghantaran," cerita Encik Suhari kepada BERITAmediacorp.

Encik Suhari Mustaffa bersama isteri Nina Zazali, pemilik restoran Love, Food Club. (Gambar: Suhari Mustaffa)

Encik Suhari Mustaffa bersama isterinya Nina Zazali. (Gambar: Suhari Mustaffa)

Memandangkan beliau dan isterinya pertama kali berdepan cabaran seumpama itu, penting untuk mereka "bertindak pantas" bukan semata-mata untuk perniagaan mereka tetapi juga "demi para pekerjanya", kata Encik Suhari yang menggajikan kira-kira 15 pekerja.

"Perniagaan kami belum pun setahun dan kami dan nama serta jenama kami baru sahaja hendak dikenali orang di luar sana. Jadi kami mesti pastikan pelanggan tahu yang kami masih beroperasi dan ada pilihan khidmat penghantaran ditawarkan," tambah Encik Suhari.

Beliau menambah, tujuh bulan pertama sejak restorannya dibuka, penjualannya konsisten.

"Perniagaan kami bagus semasa baru dibuka. Januari dan Februari pula merosot sedikit kerana sekolah sudah dibuka. Dalam bulan Ramadan pula sangat baik. Penjualan meningkat 50 peratus. Setiap hari penuh dengan pelanggan untuk iftar dan penuh tempahan bagi penghantaran ke rumah," cerita Encik Suhari.

Namun, dengan keadaan kembali tidak menentu sekarang, beliau meramalkan kemerosotan "mungkin 40 peratus".

Love, Food Club, yang terletak di Perak Road itu, adalah antara perniagaan F&B baru yang terjejas ekoran langkah-langkah pengurusan selamat lebih ketat yang dikuatkuasakan pada Ahad (16 Mei).

TIDAK LALUI 'CIRCUIT BREAKER', FASA 1

Mungkin bagi sebahagian besar perniagaan F&B, yang sudah melalui langkah pengurusan selamat COVID-19 sebegitu ketat semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan tahun lalu, mereka kini perlu membuat penyesuaian berdasarkan pengalaman yang ada.

Bagi perniagaan-perniagaan baru, yang tidak melalui tempoh pemutus rantaian jangkitan dan Fasa 1, langkah-langkah lebih ketat baru-baru ini diumumkan ibarat satu "tamparan" kepada perniagaan yang baru hendak menapak.

Restoran Permata Singapore di Gedung Kuning. (Gambar: Permata Singapore/Instagram)

Restoran Permata Singapore di Gedung Kuning. (Gambar: Permata Singapore/Instagram)

Restoran Permata Singapore yang baru dibuka pada 23 April lalu, tidak menyangka langkah itu diambil memandangkan Singapura sejauh ini dilihat menangani krisis COVID-19 dengan "sangat baik".

"Penjualan kami merosot 95 peratus. Namun kami faham (langkah itu) menunjukkan bahawa risiko COVID-19, jadi kami faham keputusan dan sokongan Pemerintah," kata Pengurus Gedung Kuning, di mana Permata Singapore beroperasi, Fajar Ali Mohd memberitahu BERITAmediacorp.

Permata Singapore adalah konsep hidangan bufet yang memerlukan pelanggannya duduk makan di premisnya.

Bagaimanapun, sebaik sahaja larangan duduk makan di luar diumumkan, pihaknya segera membuat penyesuaian pada khidmat-khidmat penghantaran ke rumah.

Menurut Encik Fajar, pasukannya di Permata Singapore kemudian segera memerah otak untuk memikirkan menu makanan yang boleh dibeli untuk dibawa pulang dan juga penghantaran ke rumah.

Malah, seluruh kakitangan Gedung Kuning berganding bahu untuk memastikan khidmat penghantaran dapat berjalan lancar.

"Seluruh pasukan di Gedung Kuning bersatu. Malah para pengurus kami juga membantu dari segi tempahan untuk penghantaran. Kami ada tenaga manusia, jadi kami susun atur semula dan manfaatkan mereka serta kemahiran mereka," tambah Encik Fajar.

Restoran itu juga sudah menyediakan wadah tempahan online di laman Gedung Kuning untuk memudahkan pelanggan menempah lebih 50 hidangan yang ditawarkan.

PEMBELAJARAN DI RUMAH BURUKKAN KEADAAN

Satu lagi perniagaan yang berusia genap sebulan hari ini (18 Mei), iaitu Hong Kong Halal juga "terkejut" dengan langkah yang diambil Pemerintah itu dan mengalami kemerosotan penjualan sekitar 90 peratus.

Lebih-lebih lagi, perniagaan makanan Hong Kong halal itu terletak di Politeknik Republik, di mana semua penuntut sudah mula melakukan pembelajaran secara online (HBL) menyusuli kes-kes yang dikesan di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi.

Pemilik bersama Hong Kong Halal, Encik Ismail Karsani. (Gambar: Hong Kong Halal)

Hong Kong Halal di Politeknik Repulik. (Gambar: Hong Kong Halal)

Pemilik bersama perniagaan itu, Encik Ismail Karsani, 40 tahun, memberitahu BERITAmediacorp perancangannya sekarang adalah untuk memperhebat pemasaran di wadah-wadah online.

"Perancangan kami adalah untuk menyebarluaskan jenama perniagaan kami di media sosial serta di platform seperti Foodpanda, Grab dan sebagainya.

"Asalkan kami dapat memperhebat jenama kami online, kami akan dapat menjana pendapatan daripada sumber-sumber lain," kata Encik Ismail.

BERAPA LAMA BOLEH BERTAHAN?

Meskipun reda dan mencuba sedaya-upaya untuk berdaya bingkas dalam perniagaan yang masih lagi baru, para peniaga itu tentu sekali mengharapkan pelangi segera muncul agar mereka dapat bertahan dalam industri F&B.

Namun, sejauh manakah mampu mereka bertahan?

"Kami tidak disokong pelabur atau rakan niaga. Jadi jika pandemik ini berlarutan dan perniagaan tidak bertambah baik, mungkin lagi enam bulan sahaja (untuk kami bertahan)? Saya hanya mengagak.

"Meskipun ada sokongan daripada pemerintah, ia tidak banyak beza kerana kos mengendalikan perniagaan seperti ini agak tinggi. Kami berharap kami boleh bertahan sampai September supaya boleh meraikan setahun dalam perniagaan," Encik Suhari memberitahu BERITAmediacorp penuh harapan.

Restoran Love, Food Club. (Gambar: Suhari Mustaffa)

Love, Food Club di Perak Rd. (Gambar: Suhari Mustaffa)

Buat masa ini beliau memanfaatkan geran sokongan tenaga kerja oleh Pemerintah untuk menampung sebahagian kosnya.

Encik Ismail pula berkata selagi perniagaannya dapat memperkukuhkan pemasaran online, beliau tidak begitu bimbang. Namun, "setiap sesuatu ada hadnya" kata pemilik perniagaan dengan tiga kakitangan termasuk dirinya sendiri.

Tumpuannya sekarang adalah untuk mempertingkat diri, menimba kemahiran dari segi pemasaran online di samping mengendalikan perniagaan supaya dapat memberikan khidmat lebih baik kepada pelanggan, selain meneliti sokongan-sokongan pemerintah yang boleh dimanfaatkan untuk membantu perniagaannya terus bertahan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan