Pengiklan, agensi dan media sosial ganding bahu basmi ancaman online
Sebanyak 16 pengiklan terbesar dunia bergabung tenaga untuk menggesa wadah-wadah media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube milik Google supaya melakukan lebih lagi bagi menangani kandungan online yang berbahaya lagi palsu.
LONDON: Sebanyak 16 pengiklan terbesar dunia bergabung tenaga untuk menggesa wadah-wadah media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube milik Google supaya melakukan lebih lagi bagi menangani kandungan online yang berbahaya lagi palsu.
Global Alliance for Responsible Media juga akan meliputi agensi-agensi pembeli media daripada kumpulan pengiklan besar - WPP, IPG, Publicis, Omnicom dan Dentsu - serta para pemilik wadah. Kumpulan tersebut menyatakan demikian pada Selasa (18 Jun) di perhimpunan tahunan industri periklanan di Cannes, Perancis.
Naib Presiden Eksekutif media global di Unilever, Luis Di Como, berkata ia adalah kali pertama kesemua pihak dalam industri tersebut bersatu untuk menangani masalah yang sudah membawa banyak kesan kepada masyarakat.
"Apabila cabaran industri menjejas masyarakat, mewujudkan perpecahan dan membahayakan anak-anak kami, ia menjadi tanggungjawab kami untuk bertindak," katanya.
"Mengasaskan perikatan ini adalah satu langkah baik untuk membina semula kepercayaan dalam industri dan masyarakat kita."
Beliau menambah kumpulan tersebut akan, sebagai permulaan, menumpukan perhatian kepada kandungan yang berbahaya buat masyarakat seperti pengganasan.
Para pemilik wadah sudahpun mengambil langkah-langkah untuk menangani masalah-masalah tersebut, katanya, namun tumpuan mereka mungkin boleh bersifat tindak balas - menangani kandungan setelah ia muncul - dan bukan proaktif.
Perikatan itu akan bekerjasama untuk membangunkan proses dan protokol demi melindungi orang ramai dan jenama.
Jenama-jenama lain dalam perikatan itu termasuk Adidas, Danone, Diageo, Mondelez International, Nestle dan Procter & Gamble.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.