Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Penghantaran perabot dari Johor ke S'pura tertangguh; COVID-19 sekat operasi pengeluaran

Sebelum pandemik COVID-19 melanda, syarikat perabot di Johor, Mi Kuang, akan membuat sekitar lima penghantaran ke Singapura setiap minggu.

Anggaran Waktu Membaca:
Penghantaran perabot dari Johor ke S'pura tertangguh; COVID-19 sekat operasi pengeluaran

Gambar fail kedai perabot di Johor Bahru.

Diterbitkan : 20 Sep 2021 02:55PM Dikemas Kini : 20 Sep 2021 10:57PM

JOHOR BAHRU: Sebelum pandemik COVID-19 melanda, syarikat perabot di Johor, Mi Kuang, akan membuat sekitar lima penghantaran ke Singapura setiap minggu.

Syarikat itu menerima banyak tempahan dari pelanggan dan syarikat rakan kongsinya di Singapura, kata pengurus syarikat itu Philip Fong.

Namun sejak kebelakangan ini, syarikat itu hanya dapat melakukan satu penghantaran setiap minggu melalui Koswe, sekali gus menyebabkan jumlah perniagaan merosot sebanyak 60 hingga 70 peratus.

Banyak syarikat pengeluar perabot dan runcit di Johor, seperti Mi Kuang, menerima tempahan dari Singapura.

Namun dek COVID-19, operasi pengilangannya terjejas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan yang dilakasanakan kerajaan Persekutuan.

Ini menyebabkan syarikat-syarikat tidak dapat memenuhi tempahan dari pelanggan dan rakan kongsi mereka di Singapura.

PERUNCIT PERABOT SUKAR PENUHI TEMPAHAN

Selain daripada kilang perabot, kedai runcit di Johor juga menghadapi kesukaran untuk menghantar produk tepat pada masanya.

Beberapa kedai perabot di Johor Bahru menerima tempahan online dari Singapura. Kedai-kedai ini lazimnya mempunyai kilang di negeri-negeri lain atau negara jiran sebelum menghantar produk yang sudah siap menggunakan syarikat logistik pihak ketiga.

Misalnya, Boo Furniture yang menghasilkan perabot di Indonesia sebelum menghantarnya ke gudang mereka di Johor Bahru. Perabot-perabot itu kemudian dihantar ke Singapura melalui Koswe.

(Gambar: Mediacorp)

Pengurus cawangan syarikat itu di Taman Pelangi, Johor Bahru, Chong Yen Yen memberitahu Mediacorp bahawa penghantaran produknya ke Singapura "tertunda" akibat sekatan COVID-19.

Beliau berkongsi bahawa bagaimana penghantaran dari Indonesia terlewat lebih tiga minggu setelah salah seorang kelasi di atas kapal kargo yangmembawa muatan tersebut diuji positif COVID-19.

HAMPA PERABOT TIDAK KUNJUNG TIBA

Sementara itu, syarikat rakan kongsi dan pelanggan di Singapura juga meluahkan rasa hampa akibat penghantaran yang tertangguh.

Kedai perabot Singapura, Attic Living, yang berurus niaga dengan syarikat-syarikat pengeluar di Malaysia, memberitahu Mediacorp bahawa rakan-rakan kongsi pengeluaran mereka cuba membuat rayuan untuk menyambung semula operasi mereka lebih awal namun tidak berjaya.

Peruncit itu berkata meja khusus dan perabot yang diimport dari Sepanyol tidak terjejas oleh PKP Malaysia. Namun, perabot seperti sofa dan meja yang ditempah khas terjejas akibat operasi pengeluaran di Malaysia yang terhenti.

Seorang pelanggan dari Singapura, yang hanya mahu dikenali sebagai Sue, memberitahu Mediacorp bahawa beliau membeli meja bilik tamu dari peruncit di sini pada Mei namun masih belum menerimanya.

"Mereka beritahu saya bahawa ia akan dihantar pada Jun namun kemudian saya diberitahu berlaku penangguhan disebabkan oleh penutupan kilang di Malaysia," kata Sue.

"Saya sudah mempertimbangkan sama ada untuk membatalkan tempahan saya dan meminta wang dikembalikan kerana saya sudah lama menunggu. Saya memberi mereka masa sehingga hujung bulan ini (September) untuk menghantarnya," kata Sue lagi.

OPTIMIS, KADAR VAKSINASI MENINGKAT

Pengumuman kerajaan Malaysia bulan lalu bahawa sektor-sektor ekonomi termasuk pengeluaran perabot boleh disambung semula bergantung kepada kadar vaksinasi, memberi sinar harapan kepada syarikat dan peruncit terjejas.

Tempat kerja di mana 80 hingga 100 peratus kakitangan sudah divaksin penuh, boleh menyambung semula operasi sepenuhnya.

Operasi juga dibenarkan disambung semula pada keupayaan 80 peratus di tempat-tempat kerja yang mana 60 hingga 79 peratus pekerjanya sudah lengkap divaksin. Bagi sektor di mana 40 hingga 59 peratus pekerjanya sudah menerima kedua-dua dos vaksin, operasi hanya boleh disambung semula pada keupayaan 60 peratus.

Selain itu, kedai runcit perabot merupakan antara 11 jenis aktiviti ekonomi yang dibenarkan menyambung semula operasi.

Namun pemilik perniagaan harus memastikan bahawa pelanggan menunjukkan bukti mereka sudah lengkap divaksin sebelum memasuki kedai.

Langkah baru itu memberi harapan, perniagaan perabot dapat dijalankan semula pada tahap asalnya dalam beberapa bulan akan datang, sedang lebih ramai peruncit dan kilang dapat memastikan kakitangan mereka lengkap divaksin.  

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan