Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pengeluar roselle Johor teroka pasaran S'pura

Roselle, tumbuhan herba yang sinonim dengan Johor dan dieksport ke Australia, kini mula memasuki pasaran Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengeluar roselle Johor teroka pasaran S'pura

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 17 Mar 2019 06:28PM Dikemas Kini : 17 Mar 2019 06:32PM

SINGAPURA: Roselle, tumbuhan herba yang sinonim dengan Johor dan dieksport ke Australia, kini mula memasuki pasaran Singapura.

Roselle atau lebih dikenali sebagai 'asam paya' atau 'asam susur' itu diusahakan oleh 100 petani di Johor, di kawasan seluas 40 hektar dengan usaha sama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Tumbuhan yang kaya dengan kandungan vitamin C dan antioksidan itu boleh digunakan untuk membuat minuman kordial, jem, halwa, Roselle kering, jeli dan aiskrim.

"Setakat ini, FAMA telah mengeksport kira-kira 50 tan Roselle ke Australia, manakala 50 tan lagi untuk pasaran tempatan," kata Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Misdan Adam, kepada agensi berita Bernama ketika ditemui semasa program Halal Fest 2019 di Singapura.

Pelancaran keluaran Roselle itu turut diadakan sempena pameran tersebut yang bermula pada Khamis (14 Mac) di Pusat Konvensyen dan Pameran Ekspo, Changi.

Mengulas selanjutnya, Encik Misdan berkata jumlah pengeluaran semusim bagi tanaman Roselle itu berjumlah kira-kira 200 tan, dengan nilai pengeluaran sebanyak RM600,000 (S$198,000).

Menurut Encik Misdan, Roselle bukanlah tanaman baru, sebaliknya FAMA ingin 'menghidupkannya' semula kerana yakin dengan potensi besar yang mampu dihasilkan melalui komoditi tersebut.

Sehingga kini, terdapat 100 petani dengan 22 orang daripadanya berdaftar dengan Program Ladang Kontrak MOA Inc Johor bagi mengusahakan ladang Roselle di sekitar Batu Pahat, Mersing dan Rompin.

Ladang Roselle itu menghasilkan 70 peratus tanaman gred A dan selebihnya gred B.

Produk hiliran Roselle dijenamakan di bawah penjenamaan Agromas, jenama yang dibangunkan oleh FAMA yang bertanggungjawab memasarkan produk tersebut.

Sumber : Bernama/AI/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan