Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pengarah bebas Hyflux letak jawatan ekoran 'perbezaan' perubahan pasukan guaman

Dalam perkembangan terkini kes berprofil tinggi berhubung penyusunan semula hutang Hyflux, syarikat tersebut mengumumkan pengarah bebas bukan eksekutifnya Simon Tay sudah meletak jawatan bermula Jumaat (7 Feb) ekoran "tidak mampu memenuhi tugasnya".

Anggaran Waktu Membaca:
Pengarah bebas Hyflux letak jawatan ekoran 'perbezaan' perubahan pasukan guaman

(Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 10 Feb 2020 06:17PM Dikemas Kini : 10 Feb 2020 06:23PM

SINGAPURA: Dalam perkembangan terkini kes berprofil tinggi berhubung penyusunan semula hutang Hyflux, syarikat tersebut mengumumkan pengarah bebas bukan eksekutifnya Simon Tay sudah meletak jawatan bermula Jumaat (7 Feb) ekoran "tidak mampu memenuhi tugasnya".

Ini diumumkan dalam satu kenyataan yang difailkan syarikat itu ke bursa saham pada Jumaat malam, yang menyatakan terdapat "perbezaan pendapat yang tidak terlerai" antara Encik Tay dengan lembaga pengarah syarikat itu berhubung keputusan firma guaman WongPartnership baru-baru ini untuk undurkan diri sebagai peguam Hyflux.

Syarikat tersebut juga menerbitkan surat yang menyatakan pasukan guaman barunya mengeluarkan respons terhadap catatan Facebook yang dibuat Encik Tay awal bulan ini.

Dalam catatan tersebut, Encik Tay menulis bahawa beliau kekal sebagai penasihat kanan di WongPartnership manakala di Hyflux, beliau mengecualikan diri dan tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang mesyuarat atau keputusan berhubung firma guaman itu.

PERKEMBANGAN HYFLUX

WongPartnership secara mengejut mengumumkan pada 29 Jan bahawa pihaknya memohon kepada mahkamah untuk menarik diri daripada mewakili syarikat rawatan air itu. Hyflux pada hari yang sama menyatakan "di pihaknya, ia hilang keyakinan dan kepercayaan" terhadap WongPartnership.

Syarikat air itu mengumumkan perlantikan Clifford Chance dan Cavenagh Law sebagai penasihat guaman barunya pada keesokan harinya.

Pada 2 Feb, Encik Tay yang memegang jawatan pengarah bebas bukan eksekutif Hyflux sejak Mei 2011, berkata beliau "sedih" namun menghormati keputusan firma guaman itu.

Dalam catatan sama beliau menambah: "Di Hyflux, saya akan mengecualikan diri dan tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang rundingan atau keputusan berhubung WongPartnership. Saya akan terus berkhidmat sebagai anggota lembaga pengarah bebas."

Hyflux mengeluarkan makluman pada 7 Feb menyatakan bahawa para peguamnya dari Clifford Chance and Cavenagh Law menghantar surat kepada Encik Tay sebagai respons kepada catatan Facebooknya.

Para peguam memohon Encik Tay menerbitkan surat itu di ruang komen Facebook, namun Encik Tay tidak melakukannya.

Surat tersebut bertarikh 4 Feb menyatakan Encik Tay tidak mengecualikan diri mahupun membantah pengumuman lembaga pada 29 Jan bahawa Hyflux hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap WongPartnership. Encik Tay juga tidak melakukan sedemikian bagi ketetapan yang diluluskan lembaga pada 30 Jan yang menjelaskan pengumuman syarikat berkenaan sebelum ini.

"Kami mendapati anda tidak menyebut hal ini dalam catatan anda," menurut surat itu.

Surat itu menyatakan Encik Tay diarah untuk mengecualikan diri daripada semua hal berhubung WongPartnership sebelum beliau menulis di Facebook itu dan beliau sudahpun bersetuju sedemikian pada 30 Jan.

"Nampaknya meskipun anda bersetuju mengecualikan diri dari sebarang perbincangan berkaitan dengan WongPartnership, anda menganggapnya wajar sebagai seorang pengarah bebas untuk membincangkan hal yang sama secara awam," tambah surat itu.

Dengan peletakan jawatan Encik Tay dari Hyflux, beliau juga tidak lagi menjadi anggota jawatankuasa pengurusan risiko dan pelaburan Hyflux, menurut kenyataan yang difailkan di bursa.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan