Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendekatan 'kreatif dan berwaspada' kunci MAS tempuhi cabaran, peluang baru bagi S'pura: PM Lee

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan memerlukan "gabungan optimum pendekatan kreatif dan sikap berhati-hati" untuk menempuhi cabaran baru selain mewujudkan peluang bagi sektor kewangan serta ekonomi Singapura, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Khamis (7 Okt). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Oct 2021 07:54PM Dikemas Kini : 07 Oct 2021 09:17PM

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan memerlukan "gabungan optimum pendekatan kreatif dan sikap berhati-hati" untuk menempuhi cabaran baru selain mewujudkan peluang bagi sektor kewangan serta ekonomi Singapura, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Khamis (7 Okt).

Dalam ucapannya sempena meraikan ulang tahun ke-50 bank pusat itu, Encik Lee menggariskan cabaran-cabaran termasuk teknologi yang mencetuskan gangguan seperti kecerdasan buatan dan model perniagaan baru seperti sistem internet IoT, rantaian blok dan khidmat kewangan tidak berpusat, penggunaan aset kripto serta peralihan ke sebuah ekonomi rendah karbon.

Pendekatan berwaspada dengan daya kreatif yang diamalkan MAS sejak sekian lama sudahpun membuahkan hasil bagi Singapura, kata Encik Lee.

Beliau menarik perhatian meskipun MAS pada awalnya dibentuk sebagai sebuah pertubuhan untuk menjalankan "fungsi khusus" perbankan pusat dan kawal selia kewangan, tanggungjawabnya sudah "berkembang dengan pesat".

"MAS memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan kewangan Singapura," kata Encik Lee.

"Ia mematuhi prinsip ekonomi yang baik sambil secara kreatif menyesuaikan rangka kerja dasar agar cocok dengan konteks Singapura. Ia menetapkan piawai kawal selia dan penyeliaan yang tinggi sambil mengambil pendekatan memudahkan serta mengimbangi risiko dan faedah. Ia memastikan kestabilan kewangan sambil menggalak inovasi dan merebut peluang."

Dalam ucapannya di majlis penghargaan bagi rakan kerja MAS itu, Encik Lee juga mengiktiraf kejayaan agensi itu atas kerjasama rapatnya dengan sektor swasta dan awam sambil menukil lima contoh utama.

LIMA EPISOD UTAMA

Encik Lee menarik perhatian pada 1968, Pemerintah bekerjasama dengan sektor swasta untuk merapatkan perbezaan dalam waktu perdagangan global antara Amerika dengan Eropah.

Pada 1981, MAS menjadi bank pusat pertama untuk mengamalkan rangka kerja dasar kewangan tertumpu pada kadar pertukaran. Bersama-sama dengan "etos fiskal berhemat dan haluan jangka panjang" Pemerintah, ia memastikan kadar "inflasi yang rendah dan stabil: selama lebih empat dekad", tambah beliau.

Pada lewat 1990-an, MAS melonggarkan "secara menyeluruh" sektor kewangan di tengah-tengah landskap kewangan yang global dan lebih berdaya saing, kata Encik Lee. Beliau menambah MAS "meraih manfaat besar" daripada pandangan dan kepakaran sektor privet.

Agensi itu juga beralih daripada pendekatan standard dalam mengawal selia institusi kewangan kepada pendekatan penyeliaan yang "lebih khusus".

Krisis Kewangan Global 2018 menyebabkan kadar faedah yang rendah dan banyak kecairan di Singapura. Ini mendorong pasaran hartanah kediaman "melonjak pesat pada kadar yang tidak mampan", kata Perdana Menteri.

Beliau menambah MAS mengambil tindakan "luar biasa" kepada tekanan-tekanan ini termasuk menyelaraskan tindak balas dasar dengan agensi pemerintah lain, sesuatu yang dihindari kebanyakan bank pusat.

"Ini terbukti satu gabungan yang amat berkesan dalam meredakan serta menstabilkan pasaran hartanah, dan dalam proses itu, melindungi kestabilan kewangan," katanya.

Pembangunan utama terakhir adalah penubuhan FinTech pada pertengahan tahun-tahun 2010 - para pemain bukan kewangan menggunakan teknologi untuk menawarkan huraian khidmat kewangan.

MAS adalah antara pengawal selia kewangan "yang terawal" untuk mempromosikan FinTech tetapi ia juga memastikan peraturan itu sesuai dengan risiko, ujar Encik Lee.

“Semua ini tidak mungkin dapat dikecapi tanpa kerjasama rapat dengan industri kewangan, masyarakat FinTech, institusi pengajian tinggi, dan tentunya, seluruh pemerintah," kata Perdana Menteri.

Kerjasama serta kepercayaan ini akan menjadi "lebih genting dan relevan lagi dari sebelumnya", tambah beliau.

"Perjalanan pada masa hadapan akan menjadi lebih mencabar. Namun saya yakin bahawa pasukan MAS, bersama-sama sokongan daripada industri kita, akan terus memenuhi misi badan itu dengan jayanya." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan