Images
  • toa payoh bus interchange
    Pusat pertukaran bas Toa Payoh di Toa Payoh Lorong 6. (Gambar: Google Maps)

Pendapatan tambang pengangkutan awam junam 30% di tengah pandemik COVID-19: LTA

SINGAPURA: Pendapatan daripada tambang pengangkutan awam yang dikutip oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menjunam 30 peratus pada tahun kewangan lalu, di tengah-tengah jumlah penumpang yang merosot akibat pandemik COVID-19.

Menurut laporan tahunan LTA yang diterbitkan hari ini (30 Sep), pendapatan daripada tambang menjunam kepada S$607 juta bagi tahun kewangan 2020/2021, berbanding S$862 juta untuk tahun kewangan sebelumnya.

Penumpang bas merosot kepada 2.88 juta perjalanan sehari pada tahun lalu, iaitu penurunan sekitar 30 peratus berbanding 2019.

Sementara itu, penumpang MRT berkurangan 40 peratus, daripada 3.38 juta perjalanan sehari pada 2019 kepada 2.02 juta perjalanan sehari pada 2020.

Bagi tahun kewangan yang lalu, jumlah pendapatan operasi LTA merosot S$222 juta kepada S$1.64 bilion - iaitu penurunan sekitar 12 peratus.

Perbelanjaan operasinya pula meningkat S$249 juta menjadi sekitar S$4.59 bilion. Jumlah itu lebih tinggi berbanding sekitar S$2.72 bilion bagi tahun kewangan 2016/2017. Ini adalah lonjakan hampir 70 peratus dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Kenaikan tertinggi peratusan dari segi perbelanjaan itu sebahagian besarnya terdiri daripada insentif-insentif yang dibayar kepada pengendali kereta api kerana memenuhi sasaran keandalan, yang meningkat hampir 60 peratus kepada S$538 juta.

Mantan Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung berkata pada Mei bahawa dua pengendali kereta api Singapura, SMRT dan SBS Transit, dianugerahi insentif keandalan kereta api sebanyak S$173 juta tahun lalu.

Yuran khidmat yang dibayar kepada pengendali bas awam berjumlah kira-kira S$1.7 bilion dari segi perbelanjaan, naik sekitar 11 peratus dari tahun kewangan 2019/2020.

Sementara itu, LTA menerima geran sekitar S$2.9 bilion daripada Pemerintah.

Secara keseluruhan, defisit bersih agensi itu merosot kepada S$16 juta berbanding S$107 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

- CNA/TQ/tq

Top