Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pendapatan suku pertama Huawei lonjak 39% meski hadapi tekanan AS

Huawei Technologies pada Isnin (22 Apr) mengumumkan pendapatan bagi suku pertamanya melonjak 39 peratus kepada 179.7 bilion yuan (S$36.3 bilion).

Anggaran Waktu Membaca:
Pendapatan suku pertama Huawei lonjak 39% meski hadapi tekanan AS

Gambar fail logo Huawei di sebuah pusat beli-belah di Shanghai, China. (Gambar fail: Reuters/Aly Song)

Diterbitkan : 22 Apr 2019 03:04PM Dikemas Kini : 22 Apr 2019 03:12PM

HONG KONG: Huawei Technologies pada Isnin (22 Apr) mengumumkan pendapatan bagi suku pertamanya melonjak 39 peratus kepada 179.7 bilion yuan (S$36.3 bilion).

Firma berpangkalan di Shenzhen yang juga merupakan pengilang peralatan telekomunikasi terbesar di dunia itu, turut menyatakan margin untung bersihnya adalah sekitar 8 peratus bagi suku tersebut, naik sedikit berbanding tempoh yang sama setahun lalu. Huawei bagaimanapun tidak pula mendedahkan keuntungan bersih yang sebenar.

Pengumuman itu dikeluarkan di tengah-tengah tekanan Washington ke atas Huawei yang turut menuduh peralatan buatan syarikat China itu boleh digunakan untuk tujuan risikan dan ia juga menggesa sekutu-sekutu Amerika Syarikat supaya mengharamkan Huawei daripada membina rangkaian 5G.

Huawei pula sudah berkali-kali menafikan tuduhan itu dan ia juga sudah melancarkan kempen media yang belum pernah dilakukannya sebelum ini untuk menambat hati para wartawan dengan membuka kampusnya kepada pihak media dan membenarkan pengasasnya Ren Zhengfei untuk diwawancara oleh pihak media.

Firma China, yang juga pengilang telefon bijak nombor tiga di dunia, menyatakan minggu lalu bahawa jumlah kontrak yang berjaya diperolehinya untuk menyediakan khidmat 5G terus meningkat meskipun terdapat tekanan daripada Amerika Syarikat.

Pada hujung bulan Mac, Huawei sudah menandatangani 40 kontrak komersil dengan syarikat-syarikat penyedia khidmat, menghantar lebih 70,000 stesen pangkalan 5G ke pasaran-pasaran merata dunia dan menjangkakan lagi 100,000 menjelang bulan Mei.

Perniagaan rangkaian Huawei mengalami kemerosotan pada pendapatannya buat pertama kali dalam tempoh dua tahun pada 2018. Bagaimanapun Encik Ren Zhengfei dalam wawancaranya bersama CNBC pada awal bulan ini mendedahkan bahawa penjualan peralatannya naik 15 peratus manakala perniagaan pengguna meningkat lebih 70 peratus pada suku pertama.

"Perangkaan ini menunjukkan bahawa kita masih berkembang, tidak merosot," kata Encik Ren.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan