Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pendapatan cukai FY2020/21 IRAS jatuh dek COVID-19

Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) menjana pendapatan cukai S$49.6 bilion pada tahun kewangan 2020/21 iaitu 7.3 peratus lebih rendah berbanding tahun sebelumnya. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pendapatan cukai FY2020/21 IRAS jatuh dek COVID-19

Bangunan Penguasa Hasil Mahsul Singapura. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 02 Sep 2021 03:25PM Dikemas Kini : 02 Sep 2021 03:26PM

SINGAPURA: Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) menjana pendapatan cukai S$49.6 bilion pada tahun kewangan 2020/21 iaitu 7.3 peratus lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Kemerosotan itu akibat "kegiatan perniagaan yang lembap di tengah-tengah pandemik COVID-19 di Singapura", menurut pihak berkuasa dalam satu kenyataan media pada Khamis (2 Sep).

Jumlah pendapatan cukai membentuk 73.6 peratus pendapatan kendalian pemerintah dan 10.6 peratus hasil dalam negeri (GDP) Singapura.

Tunggakan untuk cukai pendapatan, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta cukai hartanah bagi tahun semasa ini juga jatuh kepada S$323.8 juta dari S$357 juta pada tahun sebelumnya.

Cukai pendapatan keseluruhan - yang meliputi cukai pendapatan korporat, cukai pendapatan perseorangan dan cukai pegangan - membentuk sehingga 62 peratus daripada pengumpulan IRAS, menurut kenyataan medianya.

Cukai pendapatan yang dikumpulkan pada tahun kewangan 2020/21 berjumlah S$30.5 bilion, 0.9 peratus lebih rendah berbanding S$30.8 bilion yang dikumpulkan pada tahun kewangan 2019/20.

Pengumpulan cukai pendapatan korporta merosot 3.7 peratus dari S$16.1 bilion pada tahun sebelumnya manakala pengumpulan cukai pendapatan perseorangan menginjak sehingga 3 peratus kepada S$12.8 bilion.

Pengumpulan bagi kedua-dua cukai GST dan hartanah merosot, masing-masing sebanyak 7.3 peratus kepada S$10.3 bilion dan sebanyak 34.3 peratus kepada S$3.1 bilion. Pengumpulan cukai setem juga jatuh sebanyak S$3.9 bilion iaitu 7.2 peratus lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Cukai pertaruhan - merangkumi cukai perjudian, cukai kasino dan cukai cabutan bertuah privet - berjumlah S$1.7 bilion, merosot 34.3 peratus.

"Kejatuhan pada pengumpulan cukai-cukai pendapatan korporat dan hartanah sebahagian besarnya disebabkan pelaksanaan langkah sokongan bagi perniagaan seperti rebat cukai," jelas IRAS.

“Selain itu, pengumpulan GST, cukai setem dan cukai pertaruhan adalah lebih rendah kerana keadaan ekonomi dan langkah pemutus rantaian jangkitan yang dilaksanakan semasa tahun tersebut," tambahnya.

Agensi itu juga menyediakan langkah-langkah untuk menyokong perniagaan dan individu di tengah-tengah gangguan disebabkan pandemik COVID-19.

Ini termasuk rebat cukai, pelanjutan tarikh akhir pemfailan cukai, penangguhan pembayaran cukai pendapatan dan pembayaran ansuran untuk meringankan aliran tunai bagi pembayar cukai yang terjejas.

"Sejak tahun lalu, IRAS juga meningkatkan peranannya sebagai Pusat Kecemerlangan bagi mengagihkan geran pemerintah kepada perusahaan - Skim Kredit Gaji, Skim Bantuan Pekerjaan, Geran Tunai Pemerintah dan Insentif Pertumbuhan Pekerjaan," menurutnya.

Geran sejumlah S$28.2 bilion diagihkan pada tahun kewangan 2020/21 untuk menyokong pekerjaan dan perniagaan mengharungi pandemik.

INISIATIF BARU DIGITAL

IRAS juga meneruskan usaha pendigitalannya dengan memperkenalkan beberapa inisiatif baru untuk membuat pemfailan dan pembayaran cukai lebih mudah.

Ini termasuk memperkenalkan bil cukai hartanah yang disatukan untuk pembayar cukai yang mempunyai banyak hartanah.

Pembayar cukai akan menerima satu pemberitahuan gabungan melalui SMS atau emel apabila bil digital mereka siap untuk dilihat, menurut IRAS. Ia juga membolehkan mereka melihat gambaran keseluruhan portfolio hartanah mereka dan mendapatkan pernyataan ringkasan gabungan di papan pemuka portal myTax mereka.

Ini memberi manfaat kepada lebih 50,000 pembayar cukai korporat dan individu pada tahun kewangan lalu, menurut IRAS.

Pihak berkuasa menambah bahawa ia berencana untuk melakukan peningkatan lebih lanjut bagi membolehkan pembayaran cukai yang disatukan untuk semua hartanah yang dimiliki oleh pembayar cukai menjelang tahun kewangan 2023/24.

Inisiatif lain termasuk borang pemulangan cukai pendapatan yang dipermudahkan untuk syarikat-syarikat yang mempunyai ehwal cukai langsung dan amaran pendaftaran GST dimasukkan ke dalam perisian perakaunan.

“IRAS sudahpun bekerjasam dengan beberapa vendor perisian untuk menyertakan amaran pendaftaran GST ke dalam perisian perakaunan," menurut IRAS.

Perniagaan yang menggunakan ciri itu akan menerima amaran apabila jumlah pemerolehannya pada hujung tahun kalendar melebihi S$1 juta.

Ini akan menggesa mereka untuk mendaftar bagi GST dan membantu meringankan lagi pematuhan cukai untuk perniagaan, tambahnya. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan